Tips wajib tahu sebelum ke luar negara

Persiapan ke luar negara sama sahaja persiapan kita semasa ingin menyertai lawatan sekolah. Sebelum kita ke mana-mana, perkara yang perlu dilakukan mesti disenaraikan. Seterusnya, senarai yang telah dibuat wajib dilaksanakan bagi memastikan perjalanan kita di luar negara berjalan dengan lancar. Takdelah kita akan panik atau kelam-kabut apabila ditimpa masalah. 
Kami sentiasa buat persediaan awal selama berbulan lamanya. Perlu fikirkan kemungkinan perkara negatif yang bakal berlaku. Perkara negatif bukan bermaksud berdoa mengharapkan sesuatu yang buruk. Cuma berfikir selangkah awal daripada hal yang tidak sepatutnya menjadi realiti kepada kita. Baik, di sini, kami membuat senarai berdasarkan pengalaman sendiri.

1) Semak tempoh tamat passport 


Rata-rata yang dah beli tiket flight ni, bukan main gembira sehinggakan lupa nak cek tamat tempoh passport. Jangan sampai dah berada di airport dan passport dah nak cop baru tahu tempoh dah nak abis. Kang tak pasal-pasal terpaksa bersusah-payah daripada airport ke imigresen untuk renewel passport. Yang tu ok lagi. Kalau burn tiket sebab flight dah berlalu? Tak ke berhuhu la kamu di hadapan tingkap memandang sambil melambai-lambai ke arah kapal terbang...

2) Upload dokumen penting di cloud

Dokumen penting tu yang mana satu? Apa tu cloud? Mungkin yang ni leceh sikit. Sebab banyak langkah kena buat. Pertama sekali, anda perlu scan segala perkara penting seperti:
  • No. Kad Pengenalan
  • Passport
  • Itinerary
  • Tiket Penerbangan
  • Booking Hotel
  • Insuran
  • Nombor telefon orang yang penting
Kan dah bawa bersama. Betul. Kita memang kena bawa bersama kita dan disimpan di dalam beg. Namun, kemungkinan dokumen tersebut hilang pun boleh jadi juga. Mana lagi nak cekau kalau bukan di internet kan. Sila upload di mana-mana cloud pun tak ada masalah. Kami biasa di google drive. Buat folder siap-siap. Letak nama negara yang dilawati untuk memudahkan pencarian.

3) Sediakan buku nota
Bab ni paling suka. Memang cantik tersusun buku nota kami penuh diisikan dengan pelbagai maklumat. Permulaan buku kami masukkan biodata setiap ahli yang pergi. Jangan lupa letak itinerary, waktu solat, jadual tren, map dan segala info yang tidak memerlukan kita buka phone. Memang tiada masalah kalau save di phone, tapi, takkan nak on sentiasa phone tu. Rasanya lebih baik jimatkan bateri dengan mengambil gambar dan video. Buku nota ini juga memudahkan kita mencatat. Sayangkan kalau ke tempat orang tetapi tiada catatan dibuat. Catatan sewaktu berada di sana juga merupakan sumber rujukan yang berguna.

4) Insurans

"Alah... Kena amik ke insuran?" Ya. Usah mengeluh. Isu keselamatan kita semasa di luar negara amatlah penting. Kot kita ditimpa musibah macam mana? Masuk hospital, kena rompak, kemalangan, flight tertinggal dan macam-macam lagi. Insuran akan membantu kita melindungi hak-hak yang sepatutnya dimiliki selepas ditimpa sebarang masalah apabila di luar negara. Kami bukan ajen insuran atau mempromosi mana-mana skim. Tetapi kami berbincang atas dasar risiko.

5) Kenali negara yang akan dikunjungi


Sememangnya kita akan ketahui negara yang dikunjungi. Namun, tidak bagus kiranya kita ke sana tanpa ketahui apa yang menarik di sana. Buat rujukan tentang perkara menarik yang boleh dilakukan, mana tempat yang boleh dikunjungi dan perkara yang dilarang dibuat. Hal-hal ini akan menjadikan kita peka dengan negara bakal dikunjungi. Keadaan ini akan menyebabkan kita tidak ralat berada di negara orang. Jika kita dapat mengetahui beberapa perkataan atau ayat mudah lagi baik. Rakyat akan berasa kita seorang yang ramah. Barulah senang nak tanya mereka jika sesat kan.

6) Bekalan makanan 
Penuhkan beg pakaian dengan makanan. Menyesal kami ke Jepun tanpa membawa makanan yang banyak daripada Malaysia. Bukan sebab tiada makanan di sana. Tetapi sayangnya dengan perbelanjaan makan. Bawa makanan sendiri lebih jimat. Kami cadangkan anda membawa cokelat sebagai tenaga, air milo paket 3 in 1, serunding, paket Brahim dan megi. Memang inilah makanan terbaik kami di mana-mana.

7) Pakaian

Jika anda bukan jenis OOTD (Outfit of that day) yang vogue sentiasa, maka pakaian yang banyak diperlukan. Kami ni lebih suka minimumkan pakaian. Baju sama berulang kali pun tiada masalah. Yang penting bersih. Untung kalau sewa apartment yang ada mesin basuh. Boleh basuh dan ulang pakai. Jimat membawa pakaian amatlah digalakkan. Rugi beli berat beg. Duit tu boleh membawa kita pergi ke destinasi yang lebih jauh.

8) Beg
Backpack atau beg tarik? Dua-dua tiada masalah. Tanya sahaja kepada tuan empunya diri. Mana yang selesa, itu yang disediakan. Jangan ikut trend orang lain. Orang lain pakai backpack, anda pun beriya-iya membeli. Alih-alih, beg tarik tu juga yang dibawa. Keselesaan hanya tuan empunya diri sahaja yang tahu.

9) Ubat-ubatan

Bawalah ubat-ubatan daripada Malaysia. Kalau sakit di sana, sekurang-kurangnya bekalan ubat sudah tersedia. Kita tidak tahu bagaimana prosedur membeli ubat di sana dan di mana boleh dibeli. Kami berpengalaman ketiadaan ubat semasa di luar negara. Azab mencari kedai satu hal. Urus niaga membeli ubat pun menjadi masalah.

10) Toiletry

Jaga kebersihan diri semasa berada di negara orang. Bawalah kelengkapan yang ringkas. Kecilkan kuantiti sabun, syampu dan ubat gigi. Bawa yang travel kit sahaja. Ini akan meringankan berat dalam beg. Travel kit banyak dijual di Daiso dan Kaison. Di youtube pun ada menunjukkan tutorial penyediaan kelengkapan sanitari ini.

11) Plag

Setiap negara mempunyai pin plag yang berbeza. Buat research tentang pin plag negara yang akan dikunjungi. Kami cadangkan, belilah sahaja plag universal. Memang mahal, tapi sangat berbaloi jika anda sentiasa ke luar negara.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat dan membantu anda keluar negara dalam keadaan bersedia. Merancang lebih baik daripada memperjudikan diri. Namun, walaupun kita sudah buat perancangan yang rapi, perancangan kadang-kala akan berubah. Kenapa? Kerana Allah swt adalah sebaik-baik perancangan.

DIY Paper Bag

Kaedah menyediakan apron menggunakan paper bag. 
Bukan mudah hendak memenuhi permintaan puteri Naura. Sudahlah minta apron bila dah pulang daripada kerja, minta pula yang comel-comel. Mana nak cari? Of course di Youtube. Banyak tutorial DIY (Do It Yourself) di sana. Banyak channel kita boleh buka. Bagi yang tidak tahu hendak cari di mana, di sini pun boleh. Kaedah ini disertakan dengan gambarajah. Jangan risau. Semudah ABC!

Cari punya cari, tak jumpa pun paper bag. Yang ada hanyalah beg konvo tahun 2015. Belasah jelah. Lagi berkualiti bahan kain berbanding kertas. Murid tahun satu ni lasak bila bekerja. Lebih-lebih lagi kerja berseni. 

Bahan dan alatan.
  1. Gunting
  2. Marker pen
  3. Jarum
  4. Benang
  5. Butang/Kancing


Langkah 1
  • Guntingkan kedua-dua muka beg. Pisahkan depan dan belakang.
  • Lipat di kedua bucu kira dan kanan agar menjadi tiga segi. Untuk selesakan ketiak anak anda.
  • Pastikan muka taip menjadi bahagian dalam.

Langkah 2
  • Ukur saiz labuh apron mengikut ketinggian anak. Potong jika terlalu labuh. Cantumkan menggunakan velcro tape. (Ada dijual di Daiso)
  • Jahitan lebihan basi yang ditetas tadi dicantumkan di bahagian tepi. Ikut ketinggian anak anda. Letakkan kancing sebagai hiasan.
  • Jahitan di bahagian kedua-dua bucu secara automatik menjadi hiasan.
  • Kancing / butang adalah hiasan semata-mata. Nampak lebih menarik dan terserlah kecomelan anak anda memakai apron
  • Untuk meningkatkan lagi kecomelan tuan puteri anda, Lukiskan apa-apa di bahagian tengah apron.
  • Naura minta nak poket. Jadi tambah satu di bahagian tengah. 
  • Tulis nama anak anda supaya murid lain dengki melihatnya. Haha 😊
Inilah hasil yang sangat memuaskan hati. Walaupun tidak secantik di kedai, tapi sangat bernilai. Kenapa? Mana ada kedai jual yang sama macam yang ini kan? Satu-satunya yang wujud di dunia ini. Siapa yang bertuah? Mestilah Naura kan...!

Ramai yang menyukainya. Senang sahaja. Duk rumah pun boleh buat apron. Tidak perlu buang masa keluar membeli. Jimat pun jimat. Ini namanya projek menyelamatkan bumi. Recycle balik apa yang ada. Inilah kuasa DIY. Just Do It Yourself.

SELAMAT MENCUBA!
🐰



MENJAWAB PERTANYAAN ANDA BERKAITAN TRIP KE ACEH

Pantang ada cuti sekolah, kami akan keluar mencari pengalaman dengan mengadakan percutian. Sebagaimana tajuk di atas, baru-baru ini kami telah ke Aceh, Indonesia. Untuk lebih terperinci, kami catatkan segala butiran penting sebagai panduan pembaca. Semoga bermanfaat!

Ramai yang bertanyakan mengenai Aceh. Pelbagai soalan yang dikemukan kepada kami. Ini menunjukkan ramai yang berminat. Cuma tidak tahu cara ke sana. Sejujurnya, kami pun tiada pengalaman. Hanya perbanyakkan membuat research sebelum pergi. Persediaan pengetahuan amat diperlukan bagi membantu perjalanan menjadi lancar tanpa sebarang masalah. 
  1. Kenapa Aceh?
  2. Apa best kat sana?
  3. Pegi backpacker ke pakej?
  4. Boleh percaya ke orang sana?
  5. Berapa kos kesemuanya? πŸ˜…
Inilah bentuk soalan yang ditanya berulang kali. Jawapan yang kami beri juga sama kepada setiap yang bertanya. Kami akan cuba memberi penjelasan di sini dengan sebaik mungkin. Perjalanan ini tentang pengalaman yang kami alami sendiri. Lain orang, lain cerita. Dan ini, adalah kembara kami cuti sekolah.

Kenapa Aceh?

Kami telah menyenaraikan beberapa destinasi sebelum membuat tempahan. Antara senarai pilihan dibuat adalah Aceh. Keinginan yang tinggi untuk ke sana dikuatkan lagi dengan kemampuan kami menempah tiket tambang murah pergi dan balik menggunakan AirAsia. Pernah orang kata, jika mampu bayar, terus book. Tidak perlu lagi dibanding-bandingkan harganya. Kalau melepas, kita tidak mungkin dapat harga semurah itu lagi. Apabila destinasi telah ditetapkan, baharulah kami membuat research tentang  Aceh.


Apa best kat sana?

Kami pun bingung pada awalnya. Kami langsung tidak dapat bayangkan apa yang menarik di sana. Yang terbayang hanyalah bencana tsunami yang teruk telah melanda bumi Aceh pada Disember 2004. Kami mula membaca blog dan menonton youtube. Daripada situ, kami mulai merasakan Aceh adalah tempat yang menarik.
  • Kami mempelajari budaya orang sana. Tak kenal, maka tak cinta. Kehidupan seharian mereka tidak ubah dengan kita. Cara pemakaian pun sama. Mereka amat bersopan dan beradab. Nama penduduk Aceh tidak sama dengan kebanyakan rakyat Indonesia yang lain. Nama mereka lebih kurang nama di Malaysia. 
  • Kesan bencana tsunami dijadikan sebagai tempat tarikan pelancongan. Ramai pengunjung dalam dan luar negara datang melihat kesan tinggalannya. Setiap tempat yang kami kunjungi akan ditemukan dengan mangsa tsunami. Mereka akan menceritakan saat cemas yang berlaku pada waktu itu. Kami terdiam mendengar kisah tragis yang disampaikan oleh mereka. 
  • Terdapat banyak tempat yang menarik untuk dikunjungi. Kami snorkeling di Pulau Sabang, melihat sunset di Pantai Lampuuk, mandi-manda di Air Terjun Suhom, membeli cenderahati di Banda Aceh dan melawat masjid-masjid yang masih utuh berdiri selepas 12 tahun dilanda tsunami. 
  • Makan pula macam mana? Mereka akan menghidangkan pelbagai lauk di atas meja. Bayar untuk yang telah dimakan sahaja. Lauk yang tidak diusik tidak perlu dibayar. Air basuh tangan akan siap-siap ada di atas meja untuk setiap pelanggan. Pada awalnya, kami ingatkan itu adalah sup kosong. Nasi merupakan makanan lengkap buat mereka bagi setiap waktu. Jika anda menempah sate, maka hidangan dengan nasi putih. Bukan nasi impit. Tidak lupa, air paling utama adalah Kopi O.
Nasi lemak + Lontong + Kopi O

Pegi Backpacker atau pakej?

Serba salah nak menjawab. Ramai yang berfahaman bahawa Backpackers pergi sendiri tanpa agen, dan pergi pakej bermaksud ada tour guide. Bukan Backpackers, dan bukan pakej. Hendak pendekkan penjelasan, kami akan jawab, pergi ala Backpackers. Walaupun malu nak menggunakan perkataan Backpackers, tapi itu sahaja jawapan yang memudahkan orang lain faham. 
  • Buat tempahan penginapan sendiri melalui laman Booking.com, Agoda atau Trivago. Menginaplah di tempat yang tidak jauh dari destinasi yang ingin dituju bagi menjimatkan masa perjalanan. Selepas menempah, jangan lupa membawa segala dokumen ke sana.
  • Ya, kali ini kami menggunakan khidmat supir. Perjalanan kami kali ini melibatkan umi yang berusia 62 tahun. Untuk sampai ke setiap destinasi boleh dikatakan jauh dan mungkin memakan masa. Kami membayar upah RM780 sebagai pemandu, sewa kereta, minyak dan tiket parking selama empat hari.
Boleh percaya ke orang sana?

Ya, ampun! Baik banget orang-orang di sana. Mereka boleh dipercayai. Berkenalan dan berjumpa dengan orang sana mengubah persepsi kami terhadap mereka. Orangnya sangat ramah dan baik hati. Situasi yang jarang dilihat di negara kita ialah pembonceng perempuan di sana boleh meletakkan tas tangan di bahagian belakang seat motosikal dengan perasaan selamat. Bayangkan kalau di Malaysia...

Bergambar bersama anak-anak Aceh. Baju pink sebaya dengan Nufail.

Supir kami seramai tiga orang di berlainan tempat. Mereka inilah yang bertanggungjawab memastikan perjalanan kami lancar. 
  • Di Banda Aceh, Fauzan Ihsan (+6281269555408) 
  • Di Pulau Sabang, Bang Alak (001361245001)
  • Snorkeling Pulau Rumbir, Haikal Sandy (085271705979) 
Kami berkenalan dengan Fauzan di Facebook Messenger dan seterusnya menjadi supir kami di Banda Aceh. Perkhidmatannya bermula dengan menjemput kami di airport dan seterusnya di pelabuhan menuju ke Pulau Sabang. Pulau Sabang diambil alih oleh supir Bang Alak. Bang Alak adalah rakan kerja Fauzan. Jika mampu menguruskan sendiri perjalanan di Banda Aceh tanpa menggunakan khidmat supir, anda boleh menggunakan perkhidmatan awam seperti teksi. Jika ingin ke pulau, anda perlu ke Pelabuhan Balohan, Ulee Lhueu. Untuk lebih mudah, hubungi terus Fauzan. Tak perlu pening-pening. Dia akan menguruskan segalanya. Pada asalnya, kami tidak ingin mengupah supir untuk aktiviti snorkeling. Tapi, memandangkan keselamatan dalam laut tidak dapat dijangka, kami membuat keputusan mengupah seorang supir. Dan kami sangat bertuah. Haikal seorang yang sangat bagus! Highly suggest.

Berapa kos kesemuanya?

Kosnya bergantung kepada individu yang mengurus. Jika anda membeli waktu peak hour, memang harga tiket flight mahal. Kami beli semasa tambang murah. Hotel kami sewa tidaklah taraf 5 bintang. Makan pun tidak semewah orang lain. Kami biasa-biasa sahaja. Kami sediakan anggaran kos perjalanan bagi enam orang iaitu empat dewasa dan dua kanak-kanak.

Flight return + luggage 40kg + Insuran = RM1868.48
3 tempat penginapan (2 bilik) = RM680
Supir Banda Aceh dan Pulau = RM780 
Tiket bot = 480k rupiah sehala untuk 6 orang.
Guide snorkeling = 150k rupiah
Peralatan snorkeling =150k rupiah untuk 6 orang.
Bot kaca = 350k rupiah
Makan = RM6-8 sekepala
Membeli-belah = ** Pandai-pandailah πŸ˜€ 

:: Sila membuat anggaran sendiri untuk trip anda. Maaf kerana campur-aduk rupiah dan ringgit malaysia. RM1000 = 3 Juta Rupiah (lebih kurang) ::

Perkara yang perlu diingatkan :
  1. Bawa adapter. Plag Malaysia tidak sama di Indonesia. Kami terpaksa beli adapter di pasaraya sana. 
  2. Tidak perlu membeli simkad atau melanggan internet kerana wifi banyak. Selalunya di kedai makan mesti ada.
  3. Sila sediakan wang rupiah semasa melawat masjid dan tempat kesan tsunami untuk menderma.
  4. Kawasan larangan merokok sebenarnya hanyalah sekadar papan tanda sahaja. Mereka merokok di mana-mana sahaja termasuklah di tempat ber air-cond
  5. Cakap sahaja Bahasa Melayu. Mereka faham dan berusaha untuk bercakap mengikuti dialek kita. 
  6. Jika ada masalah, hanya ceritakan kepada mereka. Mereka akan membantu sedaya-upaya sehingga masalah kita selesai.
 Pelabuhan Balohan yang terletak di Ulee Lhueu. Datang seawal 8 pagi untuk menaiki jadual yang pertama. Perjalanan pergi ke Pulau Sabang memakan masa selama 50 minit. 

 Jem durian dipek dalam satu bekas. Dimakan bersama dengan pulut bakar panas-panas. Sangat sedap. Kedai ini berada di hadapan Masjid Ulee Lhueu. 

 Masjid Rahmatullah terletak di Kampung Lampuuk ini (Disebut seperti Lampu-uk) adalah masjid yang kekal teguh semasa berlakunya bencana tsunami. Kedudukan binaan telah terkesot daripada arah kiblat akibat penolakan kuat oleh gelombang air. 

Kedai makan ini berada di kaki kulu. Kulu bermaksud bukit.

Setiap hidangan utama pada waktu pagi, tengahari dan malam adalah nasi. Jika sarapan anda adalah roti, maka itu masih belum dikira sebagai sudah bersarapan.

Perkuburan Masal Siron merupakan kubur tanpa batu nisan. Seramai lebih kurang 50 000 jasad dikuburkan dalam satu kawasan.


Pulau Sabang. Orang sana panggil Pulau Weh. Mana-mana pun sama. Kami bermalam di Casanemo. Rugi menyewa semalaman sahaja. Bilik kami berada di puncak bukit. Buka langsir akan terus nampak pemandangan laut yang menyegarkan.

Kami menyewa full set alatan snorkeling. Kalau rabun, boleh sewa gogel yang ada power. Baru clear nak tengok ikan kan. 

 Tidak lupa umi dan adik. Trip kali ini, mereka teruja untuk turut bersama. 

Kami menyewa bot kaca. Apa bezanya dengan bot laju? Bot kaca ada lubang di tengah-tengah bot. Bila dah sampai di kawasan karang, guide akan menurunkan bekas berupa kaca untuk melihat ke dasar laut. Kalau naik bot laju, takde penerangan tentang laut. Terus sampai ke pulau untuk aktiviti snorkeling.  

 Kami tiba di Pulau Rumbia untuk snorkeling.

Pemandangan di dalam laut di kelilingi dengan ikan-ikan. Sila bawa bersama action cam untuk mendapatkan kenangan seperti ini. Guide tidak akan sediakan kelengkapan kamera kepada pelanggan. Guide akan sentiasa bersama kita sebagai penjagaan keselamatan.  

Inilah orang yang pandai mengambil gambar di dalam air. Haikal berasal daripada Sumatera. Menetap di pulau ini dan bekerja sebagai tour guide. Sangat ohsem!


Bang Alak bertanggungjawab terhadap kami sepanjang berada di Pulau Sabang. Pengalaman dirinya semasa peristiwa GAM dan menjadi pekerja asing di Malaysia. Kisah perkongsian yang sangat menarik.


 Masjid yang pertama menerima rempuhan gelombang tsunami. Keadaan yang sama dengan masjid lain, masjid ini juga masih kekal teguh binaannya.

Bang Hadi merupakan salah seorang mangsa tsunami yang terperangkap di Masjid Baiturrahim. Mendengar pengalamannya semasa bencana berlaku, menimbulkan keinsafan buat kami. Sebelum ini, beliau seorang yang mengejar urusan duniawi semata-mata. Semenjak peristiwa tsunami yang menimpa dirinya, beliau telah bertaubat dan nekad untuk menjadi penjaga masjid ini. Sultan Brunei telah menyuarakan hasrat untuk membina semula dan ingin memperbaharui masjid ini. Namun ditolak baik oleh Bang Hadi kerana sumbangan orang ramai yang telah meninggal kepada masjid ini amat bermakna. Bang Hadi tidak sanggup memutuskan pahala orang yang sudah meninggal walaupun dengan menggantikan sekeping jubin. 

Kapal apung PLTD yang berada di pelabuhan telah dibawa arus tsunami. Kini, kapal 2.600 ton ini berada di tengah Banda Aceh dan tidak berganjak lagi semenjak 12 tahun yang lalu. Kapal ini dijadikan muzium tsunami. Bergambar bersama Fauzan. Supir yang bertanggungjawab sepanjang kami berada di Aceh. Flexible dengan perubahan jadual aktiviti. 

Muzium di dalam Kapal PLTD. Masuk adalah percuma. Segala maklumat berkaitan tsunami ada di sini. Anda tidak akan bosan dengan bahan yang disediakan. 

Pelajar sekolah keluar makan semasa rehat pagi. Kantin sekolah tidak dapat memuatkan kesemua pelajar dalam satu masa. Kerana itulah pelajar-pelajar ini keluar makan di kedai luar. Murah dan berpatutan. 

Kapal atas rumah berada di Lampulo. Rumah ini milik orang kaya. Semasa kejadian, seisi rumah melarikan diri dengan menaiki kereta dan mati. Orang kampung yang lari daripada arah bertentangan memasuki rumah ini dan bersembunyi. Tiba-tiba, terdengar bunyi hentakan kuat dan kapal seberat 20 ton ini tersadai di atas rumah. Seramai 59 penduduk menyelamatkan diri memanjat ke atas kapal dan akhirnya mereka selamat daripada bencana tsunami ini. Gambar atas selepas 12 tahun. Gambar bawah selepas berlakunya tsunami. 

Salah seorang penduduk yang bertahan di atas kapal sehingga air surut. Semasa turun daripada kapal terdapat banyak longgokan mayat di serata tempat sehinggakan tiada ruang untuk dipijak.

Kubah seberat 80 ton ini merupakan sebahagian daripada masjid yang berada di Kampung Lamteungoh, Aceh Besar. Terdapat tujuh penduduk yang selamat berada di atas kubah ini dan dibawa arus tsunami sehingga ke Kampung Gurah. 


Menjelang senja di Pantai Lampuuk, Lhoknga. Di sini ada deretan kedai makan. Anda boleh menikmati makan malam sambil melihat pemandangan matahari terbenam yang mempesonakan. 

Mau tengok full perjalanan kami macam mana? Tontonlah VLog kami di bawah ni. Konpem terasa nak terus book tiket ke sana. Selamat menonton!



WONDERFUL INDONESIA