Selamat Hari Lahir sayangku Naura


Lahirnya seorang insan seberat 2.95 kg di Hospital Raja Perempuan Zainab II pada pukul 9.49 pagi bertarikh 26 September 2010 (Ahad). Pertama kali mendengar tangisanmu di dalam bilik bersalin merupakan satu perkara yang sangat indah buat ibu dan abah. Saat itu jugalah, kami namakan kamu, NAURA AUNI BINTI NORAZIZI.

Kamu diiqamatkan oleh abahmu sendiri. Moga di hari akad nikahmu nanti, abah tidak berwakil wali kepada orang lain. Hihi... Jauh betul kami mengelamun, kan? Bukan apa, sungguh tidak disangka-sangka bahawa kamu akan membesar secepat ini. Sayu hati ibu dan abah. Kalau ikutkan, ibu dan abah inginkan kamu sentiasa menjadi kanak-kanak. Gelak tawa, tangisan, rengekan yang selama ini hanya akan menjadi kenangan sahaja.


Membesarlah nak. Membesar menjadi anak yang solehah. Menjadi seorang anak yang baik budi pekerti. Mampu hidup berdikari. Sentiasa meletakkan agama di hati. Waras dalam membuat pertimbangan. Dan yang paling penting, sentiasa ingat ibu dan abahlah yang membesarkan kamu.

Congratulations and best wishes to my beautiful daughter whose birthday is today. May you always be as happy as you are right now! 

Sebenarnya, tiada kata-kata yang dapat menggambarkan betapa gembiranya kami hari ini. Naura Auni telah pun menjangkau ke usia 7 tahun. Kami cuba memikirkan ayat yang indah untuknya, tapi tak dapat! Apa yang pasti, Naura, kamu sebenarnya telah melengkapkan hidup kami sekeluarga. Kami πŸ’— Naura.

Psst, Nufail pun sayang Naura. Dia suka menyakat dan mengusik Naura kerana Nauralah satu-satu adiknya. Itu namanya gurau-gurau sayang. Bunyi rengekan Naura membuatkan Nufail makin suka membina akal untuk kenakan lagi adiknya seroang ni. Jangan marah. Redha sahaja dilahirkan sebagai seorang adik perempuan kepada Ahmad Nufail πŸ˜€

~ ~ SELAMAT HARI LAHIR NAURA AUNI ~ ~

Naura tetap Juara


Buat pertama kali Kelab Rukun Tetangga (KRT) di taman kami mengadakan Pertandingan Sukaneka. Anak-anak sangat gembira dan memaklumkan hal ini kepada kami seminggu awal. Setiap hari diingatkan oleh anak-anak kepada kami tentang waktu mula sukaneka adalah pukul 8 pagi. Anak-anak kan. Mereka sangat teruja kalau bab bermain ni.

Maka, pada pagi Sabtu lagi anak-anak telah bangun awal 2 jam daripada waktu berkumpul. Tanpa disuruh, mereka boleh mandi dan bersiap berpakaian sukan dengan jayanya.

Sebelum itu kami ajak anak-anak pergi makan pagi dahulu. Mereka mula mengeluh kerana kami tidak kotakan janji. 5 minit lagi nak pukul 8. Kami pula mengajak untuk sarapan. Memang merajuklah... Sebenarnya, kami boleh fikirkan. Kebiasaan aktiviti tidak akan dimulakan tepat pada waktunya. Tapi, disebabkan rasa integriti yang tinggi dengan jadual, kami akur dengan janji kami dengan anak-anak.

Dan, sebagaimana telahan kami, acara pertama yang disertai oleh kanak-kanak berusia 1-3 tahun bermula pukul 8.35 pagi. Di antara tempoh acara tersebut, sempat kami semak nama Nufail dan Naura di kaunter pendaftaran. Nama Naura tiada. Sedangkan namanya telah diberi 3 hari awal. Sedih juga. Mujurlah masih ada kekosongan.

Acara untuk umur 7-9 tahun mengambil masa hampir 30 minit untuk persediaan. Bawa bola ping pong dalam sudu je pun... Kenapa macam ni ya? Ada kekurangan dalam aktiviti ini. Tiada papan makluman tentang jadual acara. Nama-nama peserta dipegang kemas oleh urusetia. Sepatutnya ditampal. Walaupun sekadar nak suka-suka, tapi biarlah bersistematik.

Waktu sudah menghampiri pukul 9 pagi. Kami dah lapar. Anak-anak yang hendak memasuki acara pun belum makan. Kami ingin menunggu sehingga acara anak-anak selesai dahulu.

Main tak sampai 5 minit. Tapi seronok tu ada. Dapat bersorak untuk anak-anak, dan mengambil gambar kenangan buat mereka. Kumpulan Naura menjuarai tempat pertama. Nufail kalah disebabkan pasukannya lambat. Biasalah. Adat pertandingan, ada menang, ada kalah. Hadiah perlu dituntut pada waktu petang. Jadi, masing-masing pulang ke rumah untuk berehat.

"Saya menang!"
"Petang nanti amik hadiah!"

Itulah yang diulang-ulang oleh Naura. Sanggup menunggu untuk dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama. Budak kan. Memang seronok sangat.

Malangnya, nama Naura tak wujud. Hadiah tak dapat, demam je dapat. Hari yang terlalu panas... Entah panas cuaca keadaan itu atau panas di hati. Ko rasa?

Kami membeli hadiah lain untuk Naura. Sebentuk cekak rambut. Dengan memberitahu yang makcik urusetia tadi lupa bagi. Kami laki bini dah tipu sunat. Termasuklah Nufail sekali ikut sama menipu. Kasihan sangat. Macam mana nama boleh tercicir? Nama budak yang tidak menang boleh je dapat hadiah tu. Adakah anak xxx? Kalau cakap, akan timbulkan fitnah pula. Biarkan sahaja. Mereka mengambil hak anak kami.

Kenapa tidak dimaklumkan kepada penganjur? Jika diadukan, hal ini akan menjadi semakin besar. Besar kemungkinan, kami yang akan dipandang teruk. Seolah-olah berkeinginan sangat hadiah yang tidak seberapa itu. Bukan. Ini berkaitan dengan jiwa seorang kanak-kanak. Kami tahu hadiah itu bukanlah mahal, tapi erti hadiah tu berbeza di sudut pandangan budak. Impian dan harapan budak boleh hancur disebabkan sikap orang tua. Oleh itu, kami beralah. Demi anak kami.

Buat Naura. Walaupun nama tidak tersenarai, Naura telah membuktikan Naura adalah juara di hati ibu, abah dan Nufail. Sayang kamu.

Hijrah kami

1 Muharam 1439 (22 September 2017)

"... Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang dikurniakan-Nya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri."



Di 1 Muharam ini, aku membaca sebuah buku travelog Ulu Yam di Liverpool 2. Seolah menggambarkan diri kami sekeluarga satu hari nanti. Walaupun tidak sehebat penulis berhijrah ke England, tapi terasa penceritaan mereka sangat dekat di hati.

Kami sekeluarga juga pernah melalui pengalaman berhijrah.  Penghijrahan ini hanyalah di dalam  negeri sahaja. Aku dan suami ditempatkan mengajar di Terengganu. Sedangkan rakan semaktab lain pulang berkhidmat di negeri masing-masing. Kami kira, tak apalah. Tak lama lagi baliklah kami di bumi Kelantan. Setahun kami sebagai guru, akhirnya kami dipindahkan ke sekolah kedua atas dasar keperluan mengisi kekosongan guru MPV (mata pelajaran vokasional)

Apa yang menyeronokkan pertukaran ini ialah jarak sekolah dengan rumah di kampung hanya 2 jam lebih sahaja. Berbanding dahulu, kami terpaksa memandu jauh hampir 5 jam. Kalau banyak berhenti, lagilah bertambah masa. Yang tak sukanya... Aku telah berpisah tempat tinggal dengan suami. Rumah kuarters yang baru sebulan kami duduki di Felda Kerteh 2 terpaksa kami lepaskan. Sebelum ini, kami telah menghabiskan beratus ringgit terhadap kuarters lama yang usang. Rumah lama memang banyak yang perlu dibaiki. Kami sudah siap cat, baiki elektrik dan renovate perpaipan. Biarlah. Bukan rezeki kami. Kira sedekah jelah kepada penghuni lain.

Ke mana sebenarnya kami dipindahkan? Suami aku ditukarkan dari Dungun ke Kerteh. Aku pula dari Rasau Kerteh ke Kuala Terengganu (sekarang ini sudah dinamakan sebagai Kuala Nerus) Kesian suami terpaksa ulang-alik 2 kali seminggu. Suami terpaksa bertolak seawal 4.30 pagi untuk tiba sebelum perhimpunan rasmi di sekolah.

Waktu itu aku mengandungkan anak sulung. Rumah kuarters di tingkat 3 yang aku duduki tidak selesa. Terpaksa berselipar di dalam rumah kerana lantai yang sangat kotor. Biarpun telah dimop hari-hari, namun, debunya masih melekat hitam di tapak kaki. Nak dipasangkan tikar getah, rasa tidak berbaloi. Duit sudah banyak berhabis di kuarters sebelum ini. Lagipun, pegawai JPN telah berjanji, hanya sekejap sahaja aku ditempatkan di sekolah ini kerana kesilapan mereka tidak melihat status perkahwinan kami sebelum dipindahkan.

Setelah beberapa bulan menunggu, jawapan pertukaran yang dijanjikan hambar... Pegawai itu mungkir janji. Dikatakan tiada kekosongan buat suami berpindah dan tinggal bersama aku. Dibukakan cerita mengenai ramai lagi suami isteri tetap sabar menunggu dengan pertukaran yang belum berjaya selama bertahun-tahun. Diceramahnya lagi aku tentang keindahan hidup berjauhan adalah perkara yang sangat manis.

Buat pertama kali dalam hidup aku, aku menjadi orang yang sangat degil. Mengekor pegawai itu ke mana sahaja di perkarangan JPN. Ke tandas, ke stor, ke pejabat, ke biliknya, semua aku turuti. Aku nekad untuk mendapatkan surat pertukaran hari ini juga! Tak kasihankah dia kepada aku yang sedang mengandung 6 bulan? Suami lagi sedang berjauhan? Aku yang tiada siapa-siapa di sini? Aku yang turun berat mendadak daripada 52kg ke 44kg! Aku mempunyai alahan yang sangat teruk. Tiada teman di sisi amat menyeksakan. Bila direnung balik, cukuplah...

Pegawai itu menyuruh kami pulang dan berjanji sekali lagi untuk mencuba menyelesaikan pertukaran ini. Tapi aku enggan. Aku langsung tidak berganjak. Suami sudah bangun pun aku tarikkan tangannya dan aku dudukkan kembali dia di kerusi. Demi anak yang bakal lahir ini, aku tetap berusaha. Akhirnya, pegawai itu mengalah jua. Dibukakannya laci dan mengeluarkan selembar kertas bersaiz kertas mahjong. Nah, pilihlah mana-mana sekolah yang kamu inginkan di daerah Kemaman ni. Alhamdulillah, rezeki anak!

Seminggu kemudian, aku berpindah ke Kerteh. Walaupun kami sudah mengundur jauh daripada negeri kelahiran, tapi biarlah. Demi keluarga baru. Asalkan kami dapat hidup sebumbung satu keluarga. Satu hari nanti kami akan pulang juga untuk berbakti di kampung.

Kehidupan kami amat bahagia di Kerteh. Namun, jiwa suami masih belum rasi sebagai seorang pendidik setelah 3 tahun bergelar guru. Mungkin kerana apa yang diajar di maktab tidak sebagaimana kami fikirkan. Jauh betul bezanya antara yang dipelajari dengan suasana realiti kerja. Sepatutnya kami ditempatkan di sekolah teknik dan vokasional. Akibat tiada kekosongan guru di sekolah berkenaan, kami ditempatkan di sekolah harian biasa. Pada awalnya kami protes juga di hati. Mana taknya, disuruhnya ajar Lukisan Seni, IT, BM, yang langsung tiada kena-mengena dengan opsyen kami. Dan kami tidak tahu pula kerja guru ni bukan sekadar mengajar sahaja. Tapi banyak kepada kerja penyediaan fail dan kerja-kerja perkeranian.

Suami mencuba nasib memohon bertukar jabatan di BPTV sebagai pegawai TEKNOPEN di PKG. Alhamdulillah, suami diterima dan sangat gembira. Tapi tidak bagiku. Aku baru melahirkan anak kedua. Suami banyak bekerja di luar kawasan. Waktu kerjanya sama dengan waktu pejabat. Tiada cuti sekolah sebagaimana guru. Kebetulan pula kami sambung belajar (PJJ) di UTTHO. Tetapi berpindah tempat pembelajaran ke UPSI kerana masalah ulang-alik. Sangat tertekan kerana aku mengalami fasa yang terlalu sibuk. Aku adalah guru, pelajar, isteri dan ibu.

Waktu suami berkursus, aku perlu menguruskan rumah tangga seorang diri. Menyiapkan 2 assignment serentak. Kerja-kerja di sekolah lagi. Waktu itu sangat susah. Tiada saudara-mara. Yang ada, aku dan anak-anak sahaja. Dua-dua sedang menyusu.

Disebabkan otak aku sentiasa berfikir dengan menyusun jadual harian, aku pernah terlupa menghantar anak-anak ke pengasuh dan membawa mereka ke sekolah. Tidak sedar bahawa anak-anak masih di kerusi belakang kereta. Ketika toleh untuk mengambil botol air barulah perasan mereka memandang aku dengan mata membulat.... Mungkin pelik melihat suasana di luar tidak sama sebagai mana waktu pagi yang lain. Allahu... Nasib baik tidak ditinggalkan anak-anak di dalam kereta.

Selama 6 tahun di Kerteh, kami berpindah sekali lagi ke Binjai Kemaman. Kali ni, makin jauh dari Kelantan dan menghampiri sempadan Pahang. Ini kerana kami telah membeli rumah teres di sebuah perumahan. Nak beli di Kerteh memang tidak mampu. Situ kawasan elit. Terpaksalah kami membeli jauh sedikit di kawasan kampung.

Aku memohon pertukaran sekolah buat kali keempat dan ditempatkan di SMK Banggol. Waktu ini kami di tahun akhir PJJ. Perpindahan kali ini merupakan kepayahan yang luar biasa. Sebelum ini kami dah berasa selesa dengan rutin harian di Kerteh. Tiba-tiba terpaksa bermula daripada zero. Peritnya Allah sahaja yang tahu. Sebagai guru baru, kawasan kejiranan yang baru, segala-galanya baru bagi kami. Suami pula makin terbeban dengan kerjanya yang semakin bertimbun akibat kekurangan staf di pejabat. Tugasan UPSI juga tidak pernah putus. Ya Allah... Dugaan yang tak mampu kami bendung. Engkau permudahkanlah urusan kami ini... Itulah doa yang sentiasa kami selitkan di dalam solat.

Alhamdulillah, dengan susah payah, kami berjaya menamatkan pengajian pendidikan peringkat ijazah selama 4 tahun. Tempoh pengajian yang seusia dengan Naura. Waktu konvokesyen kedua kami berdua amat meriah berbanding konvo pertama kami. Kali ini kami diraikan dengan kehadiran dua keluarga ibu bapa kami dan mempunyai anak-anak. Inilah kenangan yang sangat manis...

Suami sudah berpindah sebanyak 5 kali sepanjang perkhidmatannya. Mengajar di 2 buah sekolah dan 3 kali pertukaran di Pusat Kegiatan Guru (PKG). Suami terlebih dahulu berpindah randah berbanding aku. Aku banyak mengikut jejaknya. Tempat terbaik bagi seorang isteri adalah di sisi suami. Walau ke mana pun suami bertukar, akan aku ikut bersama.

Selama setahun kami tidak sesibuk seperti tahun sebelumnya, kami berasa janggal. Sebelum ini kami terpaksa berkejar dengan masa. Hantar tugasan, mengurus anak, kerja di sekolah, berulang alik ke UPSI dan Kuantan, balik kampung dan macam-macam perkara yang meributkan. Tiba-tiba menjadi tenang. Sangat tenang sehinggakan membosankan. Rutin yang sama, masalah yang sama, jalan yang sama, makanan pun sama. Memang semuanya dah cemuh.

Kami terfikir untuk membuat perancangan gila. Kami ingin berjalan ke luar negara. Tak jauh pun. Bangkok je. Pergi pun dengan tren. Bukan ada ongkos pun nak naik flight. Nak jimat punya pasal, kami terpaksa bermalam di atas tren selama 5 hari. Yang paling tak boleh tahan, kami tersalah beli tiket ekonomi kelas kedua. Bayangkan tren yang sangat daif. Kipas sahaja. Tiada aircond. Macam-macam pengalaman baru kami tempuhi selama 7 hari berkelana dari KL Sentral ke Bangkok. Sekali dah ada pengalaman, kami jadi tidak puas. Kami inginkan lagi perjalanan seperti ini. Sekali lagi kami buat persiapan untuk ke luar negara. Kali ini, ke Tokyo.

Belanja yang sangat besar untuk membawa kami bereempat ke sana. Kami menyediakan khidmat photobook untuk mendapatkan duit lebih. Sangat penat tapi berbaloi. Kerana duit berniaga itulah sedikit sebanyak membantu kami ke Jepun.

Pulang ke Malaysia, aku terpaksa bersedia untuk perpindahan tempat mengajar untuk kali kelima. Kali ini bukan sekolah, tapi kolej vokasional. Sengaja memohon untuk tukar jabatan kerana matlamat kami masih sama dengan 10 tahun lepas iaitu ingin pulang ke tempat kami membesar iaitu Kelantan. Kali ini, aim kami di Kota Bharu. Sebab itulah, aku gatal jari mengisi borang ke kolej. Tak sangka dapat. Biarpun aku dikatakan bodoh oleh beberapa orang guru sebelum ini kerana sengaja cari penyakit masuk mengajar ke institusi yang belum tetap sistem pembelajarannya. Tak kurang dengan orang yang mengatakan aku ni guru biasa yang tidak layak mengajar di kolej vokasional kerana aku daripada sekolah harian biasa. Sedangkan terang bersuluh aku mempunyai diploma pendidikan Binaan Bangunan. Cuma aku tidak mempunyai pengalaman mengajar sahaja.

Biasalah. Manusia yang suka menghina dan memperlekeh orang memang wujud. Aku dah lalui 4 buah sekolah sebelum ini. Takkan lah sekolah ke 5 ini tak ada karektor sebegini kan. Kadang-kala aku kesian pada orang begini. Lagak bicara tinggi melangit. Pengalaman hanya sejengkal. Suka membandingkan kerja dulu dan kini. Sentiasa berfikir dia sentiasa perfect. Sekali Allah bagi sedikit ujian, mulalah bising. Padahal hal kecil je. Bagi aku la... Kita semua dalam tempoh belajar. Pengalaman lepas telah dijadikan teladan. Bukan menjadi penunjuk aras kejayaan seseorang pun. Cuba bersabar. Impak belum nampak, tapi dah macam-macam taklukan masa depan telah dikata oleh sesetengah orang.

Sebab itulah kawan. Kita perlu berhijrah. Lihat dunia. Dunia kau sangat kecil. Berkisar hal yang sama sahaja. Kami dah lalui banyak sekolah. Pelbagai ragam. Belajar dan hidup berPJJ sudaj dirasai. Hidup hanya berempat tanpa keluarga di sisi. Susah senang dirasai bersama. Alhamdulillah, pengalaman yang sangat berharga. Walau pun mempunyai harta setinggi gunung, tidak mampu membayar pengalaman yang telah kami lalui ini. Kerana ianya terlalu mahal.

Sekarang kami sudah mulai takut. Hidup semakin selesa. Kami sudah melampaui zon perit jerih. Kami sudah ada segalanya kecuali pulang semula ke kampung. Kami tidak lupa. Kami sedang berusaha. Matlamat masih sama. Plan sahaja yang berbeza.

Kami dah ralat hidup selesa. Selesa ni boleh membunuh. Kadangkala kami sengaja mencipta aktiviti mencabar diri. Aktiviti baru kami adalah mendaki bukit. Sengaja sibukkan diri dengan pelbagai perkara yang melibatkan ukuwah kekeluargaan. Hujung tahun masih sama iaitu mengembara ke luar negara. Itulah satu-satunya cara untuk kami berada di luar zon selesa.

Kami juga tidak tahu masa depan kami bagaimana. Perasan atau tidak, kami memang tidak boleh hidup terlalu tenang. Huhu... Mungkin satu hari nanti kami buat perkara yang lebih gila seperti cuti tanpa gaji 5 tahun atau berhenti kerja kerana bosan dengan rutin harian. Tak mustahil kan. Hehe... Sebab sudah biasa dengan cabaran.

Sempena Maal Hijrah ini, kami berazam agar kami sekeluarga akan sentiasa membuat penghijrahan dalam diri ini. Semoga sentiasa maju ke hadapan dengan pelbagai pengalaman baru. Biarlah kami berubah titik hidup yang sama ini kepada lebih daripada apa yang kami miliki kini. Apa yang penting, jadikanlah kami orang yang kuat. Permudahkan segala urusan kami agar dapat mencapai impian. Amin.

Sebenarnya, kita semua pernah melalui penghijrahan. Bukan hanya berpindah-randah sahaja yang dipanggil sebagai hijrah. Hijrah bermaksud berpindah, bertukar, beralih dari satu perkara lama kepada yang baru. Pemikiran baru, kehidupan baru dan pelbagai lagi yang baru dilakukan adalah satu penghijrahan. Berhijrahlah. Kerana anda pasti akan menemui perkara yang tidak disangka dalam hidup ini. Sampai bila kita hendak berada di kehidupan yang selesa yang telah dicapai kini? Ingat, selesa itu membawa padah. Terimalah cabaran hidup ini agar kita tidak terlalu mudah mengalah untuk menghadapi masalah di masa hadapan.


hasil nukilan : Nhazla Fikri

Aku tahu kerja aku.

Macam ni. Sewaktu menunggu di lapangan terbang, ada seorang lelaki yang sangat bergaya, dalam perbualan telefon dia berdatuk-datuk, berambut hitam dan bersikat rapi (macam pakai pomade) serta berkot, tiba-tiba menegur aku.

Kelik Klate ko?
Aku angguk jela. Senyum tanda ramah menyambut soalannya. Walaupun jelas dia dan aku satu kapal ke Kota Bharu 
Klate beloh mano?
Kito duk Pasir Hor.
Ohoo... Dale banda nah dio duk. Jale besar doh koknu.
Besa la mugo ore duk buat highway.
Doh bakpo duk KL? Kijo ko ngaji?
Kito khijo.
Duk mano sini?
Kito tok duk ssini. Kito duk Kmame. Sini mari khusus jah.
Khijo gapo...?
Kito cikgu...
Ohoo... Bakpo eh, budok-budok loni parok bbuli? Cikgu tok reti aja ko?
πŸ€”πŸ€”πŸ€”πŸ€”πŸ€”πŸ€”πŸ€”
Panjang pulak kalau aku buat perbualan dengan pakcik tu. Dipendekkan cerita, dia tak puas hati kenapa cikgu tak ajar budak-budak bermoral. Perbualan ni memang lama dan panas. Rakan sebelah aku memang dah senyap. Terus zip mulut. Taknak amarah kot. Tapi aku ada sedikit berdesing mendengarnya. Aku cuba membalas.
Encik, cikgu-cikgu tok mampu nok tegur anak-anak loni. Sohke nak meronte. Cubit sikit pun, mok pok mari sere. Kami maroh, mari same slalu.
Maknonyo cikgu tok mampu jago pelajarlah loni? Cikgu, pelajar ni banyok duk prabih maso duk sskoloh. Ssitulah jugok pok dio banyok blaja. Tokke la cikgu tokleh aja pelajar? Anok saya keno te di skoloh, cikgu mampu buat gapo? Sayo aja anok sayo balah smula ko budok tu. Bdaroh habih muko budok tu. Hahaha... Cikgu? Cikgu lasung tokleh tulong anok sayo.
Korang nampak mainannya? Dia sibuk. Sepanjang anak membesar di rumah, di manakah dia selama itu? Sibuk dengan pangkat datuknya, kan. Boleh pulak dia mengajar anak melawan balik dengan sambung bergaduh keesokan hari. Sekolah atau rumah yang memberi pendidikan kasar begitu?
Gini encik. Pribadi anok maghi dari ghumoh blako. Skoloh ni, adolah pertemue peel dari semo ghumoh hok ada. Pokok pakal, pendidike asasnyo maghi dumoh masing-masing. Buoh nyiur, kalau capok, mano-mano bulih idup. Buke sebab tanohnyo. Tapi, dari sipat dio. Bakpo tok didik anok lagu tu? Kami ni gak abih aja doh supo dale silibus.
Dia diam....
You ado anak?
Ado. Jah 3.
Eleh... Kecik lagi. Buke tau hal budok besar.
Encik, kalu anok sayo 18 tahun raso tok munosaboh nga umur sayo ni.... Pah lagi, sayo ngaja budok besa. Buke skoloh rendoh. Tau bena pranga nawok budok loni. Takpolah, flight sapa doh. Kito lorat ni nok brebut tempat duduk. (Padahal nombor seat tak perlu direbut pun.... 
Cakap banyak tak guna. Duk cuba juga menegakkan benang yang basah. Susahlah bila jumpa orang yang terlebih tahu kerja orang lain. 
-Cikgu Nhazla-

Medical Check up di Farmasi

Sekeping resit kesihatan. Lengkap segala maklumat selepas check darah dapat diketahui. Yang kanan adalah bacaan normal. Yang kiri itulah bacaan bagi tuan badan sendiri.

Umur dah tua... Eloklah pergi cek keputusan kesihatan sekali-sekala. Nak ke hospital tu memang tak ada masa. Singgah farmasi pun kira dah memadai. Biarpun tak detail data yang diperoleh. Sesetengah orang tu cakap tak accurate. Sekurang-kurangnya boleh dijadikan titik tanda untuk dimajukan atau dikekalkan.
Macam keputusan body fat dan kolesterol aku tu, patut dikurangkan lagi. Kalau ikutkan, tahap kolesterol aku dah tahap paras hidung. Yang lain-lain perlu dikekalkan.
Baru aku tahu, semakin berat bertambah, semakin tinggi BMI. BMI yang ideal mengelakkan badan daripada mendapat penyakit. Rendah BMI akan menyebabkan risiko sakit asteophorosis dan sakit sendi. (entah betul ejaan). BMI tinggi pula akan cenderung mendapat penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis. Penyakit pakej 3 + 1.
Keperluan kalori badan aku sehari-hari 1800 kcal sehari. Jadi, makan sebanyak tu jela. Tak lebih, tak kurang. Macam mana nak kira keperluan kalori dalam badan?
Berat badan (kg) x 30 kcal = (___) kcal. Jawapan formula tula jumlah kalori dalam badan anda.
Buah saiz sederhana (epal) = 60 kcal
Satu enduk nasi putih = 75 kcal
3 keping biskut kraker = 75 kcal
Sekeping roti = 75 kcal
Kalau diperhatikan, sesenduk nasi=3 keping biskut=satu keping roti=75 kcal. Sama je kan. Baik makan nasi. Haha. Kenyang pun kenyang kan.
Minum air putih 2 liter sehari. Banyakkan buah dan sayur. Kalau ikut overall, keputusan ni memang dah baik. Perlu kekalkan sahaja.

Melalui perbincangan dengan pegawai diet kesihatan di farmasi berkenaan, banyak yang dapat dipelajari. Kami kongsikan di sini sebagai manfaat buat semua.
1. Ramai yang meninggalkan pengambilan karbohidrat dalam diet dan menggantikan dengan protein sebagai makanan utama seharian. Mengikut aturan penghadaman, karbohidrat akan dihadam terlebih dahulu. Yang terakhir barulah protein. Jika tiada pengambilan karbohidrat, maka ginjal akan bekerja keras untuk menghadamkan protein dalam badan. Ini akan menyebabkan ginjal akan mengalami kerosakan satu hari nanti akibat bekerja lebih.
2. Bersenam akan meninggikan metabolisme. Metabolisme ini bekerja sebagai pembakar kalori dalam badan. Kalori diambil semasa pengambilan pemakanan. Perlu bijak mengambil pengambilan yang rendah kalori.
3. Basal metabolisme adalah kalori yang terbakar pada ketika kita sedang bekerja dan juga waktu tidur. Bagi yang sentiasa bersenam kadar kalori yang terbakar masa tidur juga akan menjadi tinggi. Satu kelebihan bagi orang yang bersenam. Bagi yang tidak bersenam, kadar kalori terbakar pada waktu malam akan turut rendah. Rugi kan!
4. Senaman pada waktu petang membakar kadar karbohidrat untuk hari ini. Senaman waktu pagi pula membakar lemak semalam.
5. Karbohidrat terdiri dari gula. Gula pula ada dua iaitu Simple dan Complex. Gula Simple terkandung salah satunya dalam minuman 3 in 1. Manakala gula Complex adalah daripada gula pasir.
6. Pengambilan kalori terdiri dari 3 iaitu karbohidrat, protein dan lemak. karbohidrat dalam 50-60%, protein 10-15% manakala lemak pula 20-30%. setiap kali bersenam karbohidrat dulu terbakar baru di ikuti dengan lemak. Protein yang terakhir akan terbakar itu pun jika kita mengalami kebuluran.
Cukup dengan bersenam hanya 20-30 minit minimum 3 kali seminggu. Ambil pemakanan sebagaimana piramid makanan yang disyorkan. Jangan sesekali tinggalkan karbohidrat. Nasi dan roti adalah sumber tenaga untuk kita bekerja sehari-hari. Bakarlah kalori dalam badan dengan senaman. Sayur dan buah adalah vitamin terbaik dan tidak mampu diganti dengan mana-mana supplement. Jom sihat bersama!

Mendaki Bukit Panorama

Sejak kebelakangan ini, kami macam dah minat sangat mendaki bukit. Berpeluh, penat, busuk, tapi kepuasannya sangat berbeza! Jadi, kami ingin memenuhi semangat yang masih ada ini dengan memanjat Bukit Panorama pula. Bukit Panorama ini terletak di Sungai Lembing. Lokasi ini masih di daerah Kuantan, Pahang. 

Jauhnya dari tempat tinggal kami iaitu di Kemaman berjarak 88 km. Disebabkan kami tidak mahu menginap di sana (walaupun homestay paling murah RM28 ada disediakan), kami terpaksa bertolak pada waktu hari masih gelap. Ini kerana, kami ingin melihat selimut awan yang diselang-seli dengan bukit-bukau. Awan akan mula menghilang selepas pukul 8 pagi nanti. 

Kami kejutkan anak-anak seawal pukul 3.30 pagi. Cepat je bangun kerana mereka memang teruja. Makanan bekal seperti sandwich dan jajan telah siap sedia dari malam hari lagi. Mi sempat digoreng kerana tumis telah dimasak awal-awal. Bagpack dan khemah dah siap dimasukkan di dalam binet kereta. Semua perkara ini akan melancarkan urusan. Kami bertolak dari rumah pada pukul 4.25 pagi dengan melalui jalan lebuhraya LPT2 Chukai. Waktu ni kereta tak banyak. Anak-anak masuk kereta dan terus lena. 

Tiba di Masjid Jamek Sungai Lembing pada pukul 5.30 pagi. Kebetulan turun je daripada kereta dan azan Subuh pun berkumandang. Sempat kami solat berjemaah bersama penduduk sana. Ramai juga jemaah di kalangan pendaki. Boleh dilihat daripada gaya pemakaian mereka. 

Seusai solat, kami bergegas meninggal masjid dan menuju ke kaki bukit. Ingatkan bolehlah perking berdekatan, rupanya dah ramai pun orang pada waktu itu. Terpaksa parking jauh dan berjalan. Kerika itu ada yang sedang breakfast untuk tenaga mendaki. Kami dah siap-siap makan dalam kereta sejam awal. Makan sebelum naik akan menjadikan kami cepat semput dan rasa macam nak terkeluar balik.  

Yang sedang warm up semuanya muda-muda. Kami sahaja yang bersama anak-anak. Tuanya rasa pada waktu itu. Huhu... Tanpa berlengah panjang, kami terus memanjat tangga.

Kawasan yang sangat gelap. Memerlukan lampu suluh untu menerangi laluan. Sangat bahaya jika tidak berhati-hati. tapi kejap je. Lebih kurang 10 minit kemudian hari sudah mulai cerah. Kami pun sudah mula tercungap-cuangap. Kita tidak seharusnya berhenti berehat macam tu sahaja di tangga. Mesti beralih ke tanah bahagian tepi tangga bagi memberi laluan kepada pendaki yang lain.  Tangga ni sempit dan hanya muat-muat untuk seorang sahaja yang lalu dalam satu-satu masa. Permudahkan perjalanan orang lain, insyaAllah, perjalanan kita pun turut dipermudahkan.

Tangga ni tak akan ada sehingga ke puncak. Ada tangga, adalah susur tangan. Tiada tangga, tiadalah susur tangan. Tiada susur tangan, susahlah nak berpaut. Sifir yang mudah. Tengok budak-budak sebaya anak kami macam tak ada perasaan penat. Terlompat-lompat lagi semasa menaiki tangga. Badan ringan je... Adoii.... Susah ke senang, pendakian sejauh 360 meter perlu diteruskan juga. 

"Nak dekat dah ni"
"Sikit je lagi..."
"Tak jauh dah pun......"

Ayat pemberi semangat buat diri sendiri. Haha! Akhirnya kami tiba pada pukul 6.56 pagi. Dah ramai pun sampai ke puncak waktu itu. Kebanyakkannya kaum Cina. Masing-masing dah ada port baik untuk mengambil gambar dan video.

Cantik... Matahari terbit memancar waktu pagi. Selimut putih menyelubungi bumi. Subhanallah... Buat pertama kali kami melihatnya. Anak-anak, beruntunglah kami! Usia yang sangat muda dah dapat naik bukit dan melihat keindahan ciptaanNya


Tengok gambar bersama dengan keteranganlah. Rasanya mudah nak faham dan jelas flow pendakian. Selamat mendaki semua!

6.24 pagi. Hanya menggunakan lampu suluh menerangi laluan.

Baru suku pendakian.... Pendakian sejauh 360 meter perlu ditempuhi juga.

 Toleh melihat pemandangan sekeliling untuk melepaskan lelah. Matahari sudah mula menyinar...

 Macam ni punya pemandangan, lelah pun hilang...

 6.56 pagi. Lebih kurang 30 minit mendaki, kami berjaya tiba di puncak. Dah ramai amik port mengambil gambar. 

 Selimut awan memutih menutupi bumi. Pertama kali kami melihatnya secara realiti.

Nufail mengambil kesempatan untuk ber-selfie.

Sedang whatsapp call dengan umi. Pemandangan live kami berikan kepada orang tua kami 

 Naura pula cuba ber-wefie.

 Sekali-sekala romantik di puncak bukit. Apa salahnya kan  Jurugambar kami adalah Naura Auni.

 Kami mula menuruni bukit pada pukul 7.30 pagi.

 Laluan bertangga sepanjang jalan. Tapi, ada juga laluan yang berbatu. Time tu kena hati-hati.

 Awan semakin menghilang. Waktu yang elok untuk melihat awan selimut ni adalah sebelum pukul 8 pagi.

 Budak-budak ni tak reti penat. Siap melompat-lompat lagi. Kami ni dah terketar-ketar lutut nak menahan beban badan.

 Kami jejakkan kaki di tangga terakhir pada pukul 8.06 pagi. Turun lagi lama daripada mendaki. Pelik betul. Haha...

 Kami menunaikan solat Subuh di masjid ini. Ramai betul pendaki bukit berjemaah bersama.

 Di sini ada banyak tempat yang boleh dilawati. Muzium, terowong, gua, sewa basikal dan lain-lain. Kami hanya melalui jambatan gantung sahaja sebab ianya percuma. Hihi...

 Tempat percuma seterusnya adalah Air Terjun Sungai Pandan. Biarlah air yang mengurut badan kami yang sedang lenguh ni. Segar balik bila dah berendam.

 Ntah macam mana terasa nak bersanding dalam air. Khemah kami belakang tu. Semangat hutan hari ni.

 Upah buat anak-anak kerana melayan aktiviti mendaki ibu dan abah hari ini.

Cun sangat tempat ni. Bayaran masuk untuk parking RM3, dewasa RM2 dan kanak-kanak RM1.