Hotel menginap berdekatan KLIA - my review

Susah juga kan kalau terpaksa transit lama di KLIA kan. Lebih-lebih lagi kalau menunggu di waktu malam. Transit ni kadang-kala mengambil tempoh berjam juga lamanya. Ada yang lebih 12 jam pun ada. Kesian pula apabila membabitkan orang tua dan anak-anak kecil. Nak golek-golek di airport bukan selesa pun. Orang di airport ramai. Kerusi tak banyak disediakan. Kalau ada pun, tak selesa nak lelapkan mata. Jika dilihat, ada yang bersila menyandar di dinding, ada yang baring di lantai, dan ada yang langsung tak boleh tidur sepanjang malam kerana resah menunggu waktu untuk berlepas. Hasilnya, pengsan sepanjang hari di tempat yang dituju. Sepatutnya boleh teruskan berjalan, ni makin penat adalah.

Sumber google : Rasa nak hempas badan ke katil kan bila tengok bilik ni. Berbaloi menginap daripada menunggu berjam-jam di airport. 

Cadangan tempat menginap ni berdasarkan pengalaman sendiri. Kami cadangkan Empress Hotel di Sepang. Hanya mengambil masa 10 minit sahaja untuk tiba di hotel. Apa yang menarik, bas disediakan di Level 1. Hanya di airport KLIA dan KLIA2 sahaja. 

Sumber google : Tak sempat berkelip dah sampai. Tipu sunat sikit. Haha

Bas akan mula beroperasi seawal 4.30 pagi dan berakhir pukul 12.50 tengah malam. Jangan risau tentang masa. Bas akan berada tepat pada waktunya di parking yang disediakan khas untuk penginap hotel. 

Sumber sendiri : Nah, dah bagi siap-siap jadual bergerak dan tiba. Tak ada tipu-tipu. 

Pengalaman menggunakan bas di sini, sangat tepat masanya. Kami tidak pernah tertinggal flight. Siap boleh lenggang kangkung lagi dalam airport. Kemudian boleh lagi melepak di mana-mana restoren untuk minum kopi. 

Sumber google : Saiz bas bergantung kepada waktu. Kalau waktu klimak, nilah rupanya saiz bas. Kalau pukul 12.50 pagi, van sahaja yang disediakan.

Harga bilik penginapan tidak mahal. Harga serendah RM113 untuk satu bilik. Sangat berbaloi. Daripada sakit badan, baik rehatkan diri dengan secukupnya dengan berbaring selesa di atas katil. 

Sumber google : Besar kan hotel ni. Tak mahal pun. Harga yang rendah jika ditempah secara online.

Ramai yang menginap di sini kerana terlalu dekat dengan airport. Hotel ini juga mempunyai banyak deretan bangunan yang mempunyai banyak jenis kedai. Daripada kedai runcit, alat tulis, dobi, kedai makan dan macam-macam lagi. Memang meriah. Kawasan perumahan juga mengadap elok di sebelah hotel. Menampakkan tergantungnya baju pramugari di ampaian. Tengok, pramugari pun tinggal berdekatan. Nampak sangat airport tidak berada jauh, kan!

Sumber google : Banyak sangat pilihan kedai. Tak usah risau kalau tertinggal berus gigi. 

Banyak lagi hotel lain yang boleh menginap. Tapi, kami langsung tidak ada pengalaman. Sebab hotel yang satu ni pun dah terbaik jika dinilai daripada pengalaman. Selamat menginap!

Link berkaitan :

Selamat Hari Lahir Putera Sulung


Ahmad Nufail bin Norazizi. Kenapa ibu abah pilih nama ni? Sebab, waktu itu yang glemer adalah Naufal. Untuk kelainan, kami namakan Nufail, yang bermaksud hadiah. Hadiah bermaksud penerimaan perkara yang menggembirakan. Nufail adalah hadiah ibu abah yang paling bermakna tau pada ketika itu. Nufail anak sulung. Ibu abah menerima banyak perkara baru. Ibu dan abah terus-terusan belajar dalam membesarkan Nufail. Ibu abah baru tahu macam mana nak bancuh susu, tukar lampin, bagaimana nak tenangkan Nufail yang sedang menangis, sakit dan macam-macam lagi. Semuanya baru. Seolah-olah, ibu dan abah menerima hadiah setiap hari. Walaupun hadiah yang ibu dan abah terima bukan dalam bentuk bungkusan yang berwarna-warni, tapi, telatah dan tingkah laku kamu amat menghiburkan ibu dan abah. Sehingga kini, ibu dan abah masih belajar. Yelah, kamu sulung kan. Semua perkara yang pertama yang ibu abah terima, semuannya daripada kamu.

Jangan kecil hati jika menjadi sulung. Jangan kata ibu dan abah lebih sayangkan Naura. Bukan. Cuma nampak begitu kerana ibu dan abah sudah tenang menghadapi yang kedua. Tegas bermakna sayang. Ibu abah inginkan kamu menjadi insan yang saaaaangat berguna. Jika ibu dan abah pergi dahulu, tolong jaga Naura. Nufail sulung kan. Ibu dan abah sayang kamu berdua. Tak lebih, dan tak kurang.

Satu sahaja ibu dan abah ingin katakan, Nufail, kamu adalah hadiah yang paling dinantikan selepas perkahwinan ibu dan abah dahulu. Sayang Nufail sangat-sangat.

Selamat Ulang Tahun Perkahwinan yang ke 10


10 tahun membina bahtera. Bukan mudah. Setiap hari, setiap minggu, setiap bulan dan setiap tahun adalah berlainan. Mana ada yang sama. Setiap pahit manis dilalui dengan pelbagai cara. Semuanya bersama. Walaupun kami tidak sehebat pasangan yang berkahwin 20 tahun, tapi kami tetap gembira dengan hubungan yang masih dianggap tempoh bercinta ini. Hihi

Cerita bermula pada hari pertama pendafataran di Maktab Perguruan Teknik Kuala Lumpur. Waktu menunggu yang sangat lama. Muka setiap pelajar dah ketat. Bangun seorang pelajar dan aku terus menarik kerusi untuk duduk. Belum sempat nak berbuat demikian, ada seorang lelaki ni cepat-cepat duduk. Kurang asam. Nasib baik aku tak duduk lagi. Kalau tidak memang beriba aku atas lelaki tu.

Dia buat muka toya. Rasa nak hempuk kepala dia dengan fail. Sabar jelah. Disebabkan ramai mata yang memandang, aku duduk semula dan menunggu. Entah bila lelaki itu selesai, aku pula cepat-cepat duduk sebelum hal yang sama berulang. Aku tak sempat melihat mukanya. Nak aje aku simpan muka orang tu untuk aku balas di lain kali. Geram.

Seminggu pertama selepas pendaftaran adalah aktivti orientasi. Sesi kenal mesra dengan rakan sekelas. Bukan ramai pun. 22 orang sahaja. Dalam satu waktu, kami dikehendaki berinteraksi sesama rakan. Aku lihat seorang rakan ni sedang melukis kartun seperti muka rakan yang lain. Cantik sangat. Rakan tu memberikan kepadanya. Aku pinta untuk pegang dan lihat dengan lebih dekat. Tau tak apa jawab rakan tu?

"Ni muka aku, mana boleh bagi mung pegang" Jawabnya dengan dagu terangkat. Kerek gila mamat ni! Lukisan ni bukan dia lukis pon.

Siapakah mamat yang tarik kerusi aku ni? Siapakah yang sombong sangat tak bagi gambar dia ni? Dialah suami aku kini! Haha. Dua peristiwa yang amat menyakitkan hati. Biasanya aku yang sombong dengan orang lelaki. Tapi, suami ni pula berani menyombong dengan aku. Aku memang tak suka suami pada ketika itu. Aku anggap suami memang tak boleh dibuat kawan. Kalau jadi musuh pada ketika itu aku memang percaya. Macam mana boleh baik semula tak nak cerita. Hehe

Betullah orang tua-tua cakap, "Jangan gaduh, nanti seksok akan berjodoh..." Tepat sekali. Kahwin dah 10 tahun dah pun. Masin mulut orang tua dulu-dulu kan.

Selamat Ulang Tahun Be. Itu cerita lama kita. Kita tak gaduh-gaduh macam budak-budak dulu. Kita dah matang. Mempunyai tanggungjawab terhadap dua permata daripada Allah swt, iaitu Nufail dan Naura. Kita sama-sama menjaga hubungan dan saling mempercayai antara satu sama lain. Kita ada jauh lagi nak ke depan. Banyak perkara yang disenaraikan dalam hubungan kita untuk dilaksanakan bersama. Kita dah rancang sehingga ke hari tua. Jangan lupa janji kita be.

La sayang Abe.