Travelog Hohhot, Inner Mongolia Siri IV - Akhir

Sedar tak sedar, kami telah berada selama 3 hari di bandar Hohhot. Bumi Hohhot adalah tempat pengembaraan yang sangat bermakna buat kami sekeluarga. Memilih untuk ke bandar ini merupakan satu pilihan yang amat tepat. Perjalanan dari Beijing ke Hohhot sejauh 495 km memang berbaloi. Namun sayangnya, sekejap sahaja kami berada di sini. Di siri keempat ini, kami akan bertolak balik ke Beijing semula dan memilih untuk menggunakan perkhidmatan kereta api sekali lagi.


========================================================================

10 Disember 2017

Kami kejutkan anak-anak seawal 4.30 pagi untuk bersiap pergi ke stesen kereta api. Kami telah memintak pihak hotel sehari sebelum untuk memanggil teksi. Ini pun selepas mengalami pengalaman kesukaran mendapatkan teksi sebelum ini. Alhamdulillah, teksi berada di hadapan hotel tepat pada pukul 5.30 pagi. Pemandu membawa kami sehingga berhampiran dengan stesen kereta api. Bayaran telah diuruskan oleh pihak hotel.

Alhamdulillah. Anak-anak sangat mudah mengikut jadual waktu travel kami biarpun terpaksa bangun awal pagi.

Ketika orang ramai berpusu-pusu berjalan menuju ke satu arah, kami yang kebingungan terus menuruti tanpa mengetahui mana hala tuju yang betul. Sedang ralit melangkah, ada seorang lelaki menarik tangan abah dan menunjukkan arah ke stesen kereta api yang sebenar. Malu juga kami kerana telah tersalah jalan. Nasib baik juga ada orang yang sudi membantu. Ingatkan tarik tangan sebab apa... Terkejut dengan tindakan begitu pagi-pagi ni. Hilang terus rasa mengantuk!

Keadaan di dalam stesen masih lengang. Mungkin kami tiba terlalu awal. Tapi bagus juga. Tak perlu nak berasak masuk sebagaimana kami ketika di Beijing West Railway Station. Solat Subuh pun tak usah risau orang akan tenung. Kami sempat membeli makanan bekal di kedai runcit di dalam stesen. Cari sahaja tanda halal pada bungkusan. Tak susah pun.

Makanan wajib beli apabila berada di China. Telur memang ada sekali dalam bungkusan. Tak ada persamaan rasa jika dibandingkan dengan megi Malaysia.

Petugas meminta semua penumpang untuk masuk ke dalam kereta api. Sama sebagaimana sebelum ni, kami hanya berlenggang-kangkung dan tidak bergegas untuk masuk ke dalam koc. Tiket yang kami beli kali ini jenis Soft Sleeper dengan harga tiket 142 yuan seorang. Satu kabin, 4 katil. Muat untuk kami sekeluarga sahaja. Lagipun, ruang penyimpanan beg juga luas. Perjalanan kali ini lebih privacy dan sangat menenangkan.

 Walaupun nampak sempit, tapi amat berpuas hati dengan ruang yang disediakan kerana cukup muat untuk kami sekeluarga. 

Ruang penyimpanan barang juga ada di bawah katil. Kami boleh muatkan bagpack bersaiz 75 liter. Jangan berangan nak letak beg yang paling besar kat atas. Sakit pinggang nak mengangkatnya.

Kami sengaja menaiki kereta api waktu siang kerana ingin menikmati pemandangan semula jadi bentuk muka bumi negara China. Sudah beberapa hari kami asyik melihat bangunan sahaja. Inilah peluang untuk kami melihat bukit, hutan dan sungai.

Tiada gangguan diterima daripada penumpang lain. Sangat mententeramkan. Rasa seronok melihat pemandangan ke arah tingkap.
 Naura sedang bermain rumah-rumah bersama abangnya di ruangan katil atas.

Dengan penuh bergaya anak teruna kami bergambar di lorong kabin. 

Bila bosan, bolehlah keluar daripada kabin dan melihat ke luar tingkap yang lebih besar.
Sebagaimana yang dibayangkan sebelum ini, kami betul-betul dapat menikmati pemandangan semula jadi di luar tingkap dengan tenang. Tiada langsung gangguan daripada penumpang lain. Seronok dapat mengambil gambar keadaan di luar tingkap.

Air sungai yang telah membeku, hutan yang tidak berdaun, lantai yang menguning, bukit-bukau bewarna keemasan dan dapat melihat orang yang sedang mengorek air beku untuk mengail ikan. Suasana yang kami biasa lihat di rancangan National Geographic pada kaca televisyen dan sekarang mampu melihat sendiri secara langsung. Yang membezakan adalah, tingkap telah menggantikan televisyen.

 Bukit menguning bagai sedang dimasak.

 Terlihat penduduk sedang mengorek lubang di tasik beku untuk mengail ikan.

Kalau perut dah lapar, makan sahaja bekal yang dibeli tadi. Air panas telah disediakan di setiap hujung koc. 

6 jam perjalanan dirasakan amat sekejap. Entah kenapa perjalanan pulang lebih cepat 4 jam berbanding waktu malam. Tak puas rasanya. Perasaan ingin sekali lagi kembali untuk menaiki kereta api ini. InsyaAllah, satu hari nanti dengan menaiki Tren Siberian pula. Doakan agar impian kami termakbul.

Pengembaraan di bumi Hohhot telah berakhir. Terima kasih atas segala pengalaman yang diperolehi sepanjang 3 hari ini.

------------------------------------------------------------------------------

Terima kasih kerana sudi membaca. Maaf jika catatan penulisan ini ada menyinggung sesiapa. Mungkin kami tidak pandai memberi penyampaian dalam bentuk penulisan. Kami hanya berharap telah membawa pembaca membayangi apa yang kami rasa sewaktu mengembara. Bagi yang berminat untuk ke tempat yang telah kami pergi, sila teruskan niat anda. Tak rugi pun. Mengembara adalah satu ilmu pengetahuan yang berbeza jika dibandingkan dengan buku. Pergi dan rasai sendiri. Semoga impian anda untuk turut sama mengembara tercapai!


CHINA LIKE NEVER BEFORE

Travelog Hohhot, Inner Mongolia Siri III

Perjalanan dari Beijing - Hohhot sejauh 495 km telah pun selamat tiba di stesen kereta api pada pukul 5 pagi bertarikh 8 Disember 2017 baru-baru ini. Kami membeli tiket kereta api jenis Hard Sleeper dan memakan masa selama 10 jam 35 minit. Kami hanya naik dan tidur di dalam kereta api bagi menjimatkan duit penginapan di hotel. Untung masa, untung belanja. Harga tiket pun hanyalah 138 yuan sahaja untuk seorang.

Kami ke Hohhot bertujuan untuk merasai salji. Tapi salji tak ada pun. Yang dirasai hanyalah suhu yang boleh dikatakan ekstrim bagi kami iaitu -16°C. Kami beranggapan, kemungkinan tak ada awan. Langit kosong membiru. Tak ada satu pun awan yang membentuk untuk menurunkan salji. Kecewa kami hanya bersifat sementara. Kami berpeluang merasai pengalaman baru seperti melihat pdpc yang berlaku di sekolah rendah, menimba ilmu pengetahuan di muzium bersama host dan berjalan-jalan di sekitar hotel. Itu cerita di siri kedua. Di siri ketiga pula, kisahnya dah lain. Teruskan pembacaan!


========================================================================

9 Disember 2017

Selesai bersolat Subuh, kami tidak bercadang untuk keluar awal. Kami hanya bersarapan pagi di dalam bilik dan masih berehat kerana sakit kepala abah masih belum hilang. Nak keluar jalan-jalan dalam keadaan macam ni, tak seronok juga, kan. Lebih baik berehat. Kalau ikut rancangan, kami akan ke tempat bermain ski bersama dengan Lisa. Tetapi, disebabkan kesihatan tidak mengizinkan, batalkan rancangan adalah lebih baik.

Ingat nak gunakan insurans kami untuk menjalani pemeriksaan di hospital. Apabila Lisa bagitahu kami perlu menunggu berjam-jam untuk mendapatkan rawatan, kami batalkan juga rancangan ke sana. Bukan sakit melampau pun. Saje je. Sakit ni mungkin disebabkan terlalu lama mengangkat backpack seberat 16 kg. Tekanan di bahu itulah yang menyebabkan sakit sehingga ke kepala. Makan ubat jelah.

Dalam pukul 10 pagi, kami seolah tak tahan duduk lama-lama dalam bilik. Ubat tahan sakit pun dah menjadi. Kami keluar jauh sedikit daripada kawasan hotel dan singgah di kuil lama. Kami boleh masuk begitu sahaja tanpa dikenakan sebarang bayaran. Di dalamnya ada campuran tulisan Rusia, China dan Mongol. Nak terangkan pun kami tak faham juga. Sempat kami ambil beberapa keping gambar di kawasan kuil ini.

 Papan petunjuk arah ke sesuatu tempat. Kami tak pasti ke mana. Hanya mengikut langkah kaki sahaja.

Tulisan Rusia tu kan? Kami pun keliru. Maksudnya, di sini terdapat pengaruh dari 3 buah negara dalam satu kawasan. 

Sekitar kawasan kuil Nama kuil pun tak tahu sebab tak pandai nak baca tulisan di pintu gerbang.

Kami berjalan lagi sehingga terjumpa binaan yang sama sebagaimana senibina kuil sebelum ini. Ada tangga tinggi ke atas. Kami tak naik pun. Kami cuma perasan ada orang keluar masuk melalui satu pintu pengadang angin sejuk. Ada apa dalam tu? Kami pun masuk dengan perasaan ingin tahu. Rupa-rupanya di dalam ni adalah kedai membeli-belah. Suhu sejuk pun dah tak rasa. Ramai orang membeli pakaian musim sejuk di dalam ni. Kami pun turut membeli seluar panas. Murah je. Banyak pakaian dijual di sini dengan harga yang jauh bezanya dengan Malaysia. Cantik dan bergaya lagi.

Senibina yang sama dengan kuil, masjid dan pasaraya. 

Keadaan dalam bangunan. Luar nampak biasa dan kosong. Tapi di dalam meriah dengan penjual dan pembeli.

Penat mencuci mata, kami pulang semula ke hotel. Berehat dahulu sambil makan tengahari di dalam bilik. Malas nak cari makanan di luar. Biskut pun bukan main banyak dibeli kelmarin dengan harga 11 yuan sahaja satu plastik timbang. Buah tak payah cakap. Masih banyak. Buah di sini segar, manis dan murah. Lebih kurang seringgit sahaja sebiji epal.

Gerai jualan karpet yang dijumpai sewaktu berjalan. Banyak jumpa gerai macam ni. Ada yang jual buah, air, kuih dan macam-macam lagi. Alah bisa tegar biasa. Dengan cuaca bawah takat beku pun masih lagi berniaga di luar pada tempoh yang lama. Kami jalan 10 minit pun dah mula mencari tempat hangat.

Pukul 3 lebih kami keluar lagi. Niat kami petang ini untuk menjengah Masjid Besar Hohhot. Susah juga mencari sebab di sini kebanyakan bangunan berbentuk kubah. Jika diperhatikan, yang berkubah adalah pusat membeli-belah. Masjid langsung tidak mempunyai kubah. Senibina masjid lebih kurang dengan kuil yang kami singgah pagi tadi. Pening kejap. Adakah senibina kedua bangunan tersebut adalah campuran dari negara Mongolia dan Rusia? Sebab kami perasan akan tulisan pada kuil dan masjid adalah sama. Wallahualam. Takmau tulis panjang sebab tak pasti.

Kebetulan kami masuk ke perkarangan masjid, terdengar melalui corong pembesar imam sedang membacakan bacaan dalam solat. Sudah masuk waktu Asar. Kami tidak masuk solat berjemaah sebab telah solat jamak siap-siap dalam masjid. Ingatkan nak datang sekali lagi pada waktu Maghrib, tapi kami dijemput oleh salah seorang jemaah masjid untuk makan di kedai makan.

 Pintu masuk menuju ke dalam Masjid Besar Hohhot. Tak ada satu pun kubah di bahagian atas bangunan. Itu yang keliru dengan bangunan membeli-belah.

Ahli jemaah baru sahaja selesai solat Asar. 

Yang paling tak tahan, kami dihidangkan dengan mi semangkuk seorang. Biasanya kami berkongsi semangkuk 2 orang. Makanan di sini terlalu banyak dalam satu hidangan. Kami tidak boleh habiskan seorang diri. Bayangkan anak-anak kami dihidangkan mi semangkuk yang besar... Memang tak habis. Membazir sahaja. Kami ingatkan nak bayar. Rupanya ahli jemaah tu merupakan tuan kedai mi!

Semangkuk seorang mi diberi. Manalah mungkin kami dapat habiskan. Malu sebab telah bazirkan makanan. Dah la orang belanja.

Beliau mengajak kami untuk singgah sebentar ke rumah untuk bertemu ahli keluarganya. Hari mulai gelap. Kami dibawa sehingga ke sebuah bangunan di belakang kedai mi tadi. Dekat je. Apabila pintu dibuka, kelibat seorang wanita muda menyambut kedatangan kami. Nasib baik wanita muda tu dapat bercakap dalam bahasa Inggeris. Dia memperkenalkan dirinya sebagai menantu kepada Haji Bai Zhong. Tahun ni mereka telah mengerjakan haji dan dalam tahun ini juga telah melancong ke Malaysia. Baru faham cerita. Haha..

Kedatangan kami dialu-alukan oleh mereka sekeluarga. Kami dihantar oleh anak lelaki Haji Bai Zhong sehingga ke muka pintu hotel dengan menaiki kenderaan. Sempat juga kami bertanyakan kepadanya kenapa tidak bersalji Hohhot ketika ini sedangkan suhu di bawah takat beku. Katanya, 4 5 hari lagi kawasan ini akan bersalji tebal. Salah tarikh rupanya kami ni. Tak apalah. Bukan rezeki kami. Anggap sahaja Allah swt nak ganti yang lagi baik lepas ni.

Bergambar kenangan bersama dengan keluarga Haji Bai Zhong. Sempat lagi bertukar ID WeChat. Boleh sambung berhubung selepas pulang ke Malaysia nanti.

Walau bagaimana hebat pun rancangan yang dirangka, hebat lagi perancangan Allah. Rancangan kami banyak yang tidak menjadi.

Tapi, Allah itu maha pengasihani. Mungkin kami tidak mengeluh dengan ujian-Nya. Banyak reda sahaja. Jadi, Allah telah ganti dengan perkara yang tidak disangka-sangka. Malah, lebih baik daripada perancangan asal kami. Pengalaman paling berharga adalah dapat bergaul rapat dengan penduduk setempat. Sebagai seorang pengembara, pengalaman sebegini paling ingin dirasai. Bukan sekadar datang dan tangkap gambar. Tapi, merasai budaya dengan lebih rapat.

Syukur kepada-Mu. Dapat kami sekeluarga mengenali dengan lebih dekat lagi masyarakat Islam di bumi Hohhot. Semuanya adalah kebetulan. Jangan mengeluh jika rancangan tidak berjaya. Reda dan berserahlah. InsyaAllah, semuanya akan baik-baik sahaja.

-----------------------------------------------------------

Siri keempat merupakan siri yang terakhir. Panjang betul cerita di Hohhot. Satu daerah yang jarang dikenali oleh rakyat Malaysia. Kami berkongsi pengalaman bagi membuka mata rakyat kita untuk ke sana. Terima kasih kerana sudi membaca!

https://ralitmedia.blogspot.my/2017/12/travelog-hohhot-inner-mongolia-siri-i.html ☚ SIRI I

CHINA LIKE NEVER BEFORE

Travelog Hohhot, Inner Mongolia Siri II

Kami telah berada di Beijing selama 3 hari sebelum ini dan memulakan perjalanan menaiki kereta api menuju ke Hohhot iaitu salah satu bandar di wilayah Inner Mongolia. Ingat! Inner Mongolia masih berada di dalam negara China. Outer Mongolia barulah dikenali sebagai negara Mongolia sebagaimana di dalam peta dunia. Usah berlaku lagi kekeliruan. Jika sebelum ini kami telah menceritakan bagaimana dan di mana kami memulakan perjalanan menuju ke Hohhot. Kali ini, kami akan sambung semula pengalaman kami di siri kedua Travelog Hohhot, Inner Mongolia. Dan inilah catatan kami sekeluarga setelah perjalanan sejauh 495 km ditempuhi. Terima kasih kerana sudi membaca!


========================================================================

8 Disember 2017

Perjalanan malam kami mengambil masa 10 jam dan kami hanya tidur sahaja tanpa menikmati pemandangan di luar tingkap. Mana nak nampak kalau gelap sahaja di luar tu. Sebab itulah kami membeli tiket koc berkatil dengan harga 138 yuan pada waktu malam. Dua keuntungan kami dapat dalam satu masa. Penginapan dan pengangkutan. Amacam? Jimat, kan. 

Jam loceng telefon bimbit berbunyi tepat pukul 5 pagi menandakan masa untuk bersiap bangun dan akan tiba ke destinasi tidak lama lagi. Dengan keadaan masih mamai, kami bersiap apa yang patut. Anak-anak masih dibiarkan tidur supaya cukup rehat. Kalau rehat cukup, maka baiklah peel mereka siang nanti.
Kesian nak kejutkan. Biar Naura rehat sepuas-puasnya sebelum meneruskan aktiviti yang padat pada hari ini.

Petugas tiba 30 minit sebelum sampai ke destinasi untuk menukar tiket. Kami diberikan tiket yang sama sebagaimana tiket ditukarkan semalam. Setelah kereta api berhenti, kami diarahkan untuk turun bersama dengan beg. Serta-merta kosong kereta api daripada semua penumpang.

Tiket sebelum dan selepas ditukar oleh petugas. Jaga baik-baik tiket ini semasa berada di dalam kereta api.

Suhu awal pagi pada ketika ini sangat dingin. Kami berjalan cepat menuju ke dalam pusat stesen untuk mencari sedikit kehangatan. Malang bagi kami kerana ruang di dalam stesen hanya mempunyai pintu terbuka. Tak ada langsung pintu tertutup. Ketika kami di dalam stesen, wap daripada mulut pun boleh keluar. Sejuk sangat ni. Berapakah suhu sekarang ni ek? Disebabkan tiada kehangatan di sini, tanpa membuang masa, kami keluar daripada stesen menuju ke hentian bas. 

Suasana pagi kelihatan sangat sibuk. Banyak kenderaan bersesak-sesak di atas jalan raya. Orang ramai berjalan cepat menuju ke destinasi masing-masing. Ramai pemandu teksi yang menawarkan perkhidmatannya. Kami hanya menidakkan dengan tangan. 

Kami cuba untuk menghubungi host kami. Lisa (host) memaklumkan kepada kami untuk terus berjalan ke hentian bas seterusnya bagi memudahkan dia mengambil kami. Kami tiba di hentian bas yang tidak pasti sama ada betul atau tidak tempat yang perlu kami tunggu. Nak baca dan fahami tulisan pun tak boleh. Akhirnya kami tunggu sahaja di hentian tersebut sehinggalah ketibaan Lisa bersama suami. 30 minit juga kami menunggu dalam kesejukan.

Inilah satu-satu papan tanda yang kami faham. Itupun sebab ada ditulis dalam Bahasa Inggeris. Takde kena-mengena pun dengan arah yang dicari.

Lega rasanya apabila masuk ke dalam kereta yang mempunyai alat pemanas. Kaki kami dah rasa macam beku. Pad pemanas ditampal bahagian depan dan belakang badan. Dalam poket pun kami tak lupa untuk letak juga. Sejuk yang tak mampu nak bagitahu. 

"How much degrees is it right now, Lisa?"
"I quess that would be -16॰C. And it normal here."

Terkedu kami mendengar. Dah mana saljinya? Terkebil-kebil kami melihat langit. Sebab tak ada awan ke salji taknak turun? Rasa kecewa timbul dalam hati kerana tujuan utama ke sini sebab nak main salji. Hancur musnah harapan nak main baling-baling salji ke muka si... Haha. 

Rasa kecewa ini diganti dengan pemandangan cantik awal pagi di bumi Hohhot. Kelihatan cahaya matahari memancar indah di balik bangunan berkubah. Masjid ke tu? Kami dibawa makan pagi di salah sebuah kedai makan halal. Minta air kosong, diberinya air Pepsi. Memang masalah betul bab komunikasi di sini.

Indah betul suasana matahari sedang menaik. 

Selesai makan, kami dijanjikan untuk dibawa ke sekolah rendah swasta iaitu tempat di mana Lisa mengajar. Lisa merupakan guru bagi mata pelajaran bahasa Cina. Tapi tahu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Yang hebatnya, dia hanya belajar sendiri. Tujuannya untuk memudahkan dia berkomunikasi dengan orang asing. Bagi memperkasakan lagi bahasa Inggeris, Lisa mendaftar sebagai host di web couchsurfing. Di situlah kami mengenali Lisa. Kami merupakan tetamu kedua Lisa selepas pengembara dari Rusia sebelum ini. 

Setibanya kami di sekolah, kami diperkenalkan kepada guru besar yang juga merupakan kakak kepada Lisa. Patutlah mudah diberi kebenaran memasuki sekolah. Anak-anak kami ditempatkan di salah sebuah kelas dan mempelajari komunikasi bahasa Cina. Pengalaman yang sangat bererti jika anda seorang guru. Dapat mempelajari teknik lain dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

 Anak-anak turut berpeluang belajar di dalam kelas. "Menggeletar kaki saya ibu." Kata Naura menceritakan pengalamannya. Haha...

 Sesi memperkenalkan diri. Main cakap, main tulis, main bantai je. Bolehlah labu... Haip, jangan bersebang murid di sana!

 Murid sangat ceria dan berdisiplin. 

Bergambar kenangan dengan guru sekolah Children H-B-H Potencial Club. Dari kiri, guru kelas, penulis, guru besar dan Lisa.

Kami singgah sekejap sahaja. Nufail dan Naura masing-masing dihadiahi sebuah beg dan botol air. Malunya kami sebab langsung tidak membawa apa-apa cenderahati. Bab hadiah, fikir semula selepas pulang ke Malaysia nanti. Kemudian, Lisa membawa kami ke hotel yang telah kami tempah awal-awal di Booking.com. Malang bagi kami kerana hotel tu tak wujud pun. Yang ada cuma bangunan kosong yang sedang dibina semula. Kami buka semula website dan masih aktif beroperasi. Dah kena tipu. Duit tetap akan dipotong daripada simpanan bank hari ini. Pembatalan bilik hanya dibenarkan dua hari sebelum menginap. Agak tertekan juga ketika itu. Lisa cuba membantu dengan mendapatkan hotel lain buat kami. 

Akhirnya kami menginap di Hotel Now Yu Lou yang berada di kejiranan orang Islam. Alhamdulillah. Allah swt telah ganti yang lebih baik daripada sebelum ini. Berbanding sebelum ni, hotel hantu itu agak susah juga nak mencari makanan halal. Ada hikmahnya, kan.

Kami berjanji dengan Lisa akan berjumpa di Muzium Hohhot pada pukul 1 tengahari. Kami naik untuk membersihkan diri dan bersiap semula untuk turun. Kali ni, pakaian kami lebih tebal berbanding pagi tadi. Tak tahan...

Kali ni Lisa tidak datang menjemput kami. Kami perlu mendapatkan teksi untuk ke sana. Masalahnya, pemandu tak faham destinasi yang kami bagitahu. Terpaksa mesej kepada Lisa dan meminta untuk hantar dalam tulisan cina perkataan muzium. Barulah pemandu teksi membenarkan kami masuk ke dalam teksi dan membawa kami ke destinasi yang tepat. Walaupun tiba agak lewat, tapi sempat juga masuk ke dalam muzium sebelum ditutup pukul 4 petang.

Proses mendapatkan teksi. Pemandu lebih rela mengambil penumpang orang tempatan daripada memilih kami kerana sukar berkomunikasi. Lama weh menunggu.

Pemegang pasport luar negara diberi masuk secara percuma. Muzium di sini agak besar dan luas. Kamera tidak dibenarkan dibawa masuk. Tetapi, kalau nak ambil gambar menggunakan telefon bimbit tak menjadi masalah. Lisa tiba selepas beberapa minit bersama suami dan anaknya bernama Tom yang sebaya dengan Nufail.  

Sempat kami bersembang mengenai sejarah Inner Mongolia. Outer Mongolia berpisah daripada negara China bagi membentuk negara sendiri. Jika dilihat, budaya dan masyarakat di Inner Mongolia masih mengekalkan adab dan budaya sana. Oleh kerana itulah, tulisan di papan tanda terdapat dua bahasa. Boleh dibaca dalam tulisan Cina dan Mongol.

Di perkarangan Muzium Hohhot. Sangat besar dan luas. Jauh juga berjalan untuk sampai di kaunter tiket. 

Tiba-tiba abah sakit kepala dan menyatakan hasrat untuk pulang. Lisa membawa ke farmasi terlebih dahulu untuk memeriksa  tekanan darah. Bawah ada sedikit tinggi. Maka pulanglah kami sekeluarga ke hotel. Namun, sebelum siang berlabuh, kami sempat keluar berjalan-jalan di kawasan sekitar. Dapat melihat suasana orang tempatan pulang kerja, ibu bapa menjemput anak-anak dari sekolah dan gerai jualan rancak berurus niaga di sepanjang jalan. Seronok dapat melihat keadaan orang sini menjalani rutin harian. 

Sepanjang berjalan, kami sempat singgah di kedai runcit, buah, biskut dan farmasi. Apabila melangkah sahaja ke dalam kedai, mereka seolah-olah panik menerima kunjungan kami. Asyik tergaru-garu, tersengeh-sengeh dan malu-malu. Kami beranggapan, mereka amat jarang menerima orang luar sebelum ni. Di kedai makan pun sama. Mereka yang berada di dapur pun akan turut sama keluar berjumpa kami sekeluarga. Berminat betul mereka dengan kami. Kami jelah terkebil-kebil memandang bingung kerana tak faham apa yang dikatakan mereka. Cara komunikasi kami adalah kertas. Bukan tulis, tapi lukis. Inilah pertama kali kami berkomunikasi dengan cara ini. Hehe...

Orang tempatan sangat ramah dan membantu sedaya-upaya agar masalah kami selesai. Habis satu pekerja kedai keluar untuk berjumpa dengan kami. Ada yang dah lari semasa gambar ini diambil. Mereka malu! 

Pada waktu malam, kami hanya berhabis dengan berehat sahaja di dalam hotel. Suhu pada waktu malam lagi rendah berbanding pagi tadi. Tak sanggup juga nak berjalan-jalan. Duduk golek-golek dalam hotel lebih baik. Kumpul tenaga banyak-banyak untuk meredah hari esok. 

Terima kasih kerana sudi membaca siri kedua kami ini. Banyak sebenarnya pengalaman hari kedua di Hohhot. Pelbagai perkara kami tempuhi dalam masa satu hari. Semuanya bermula dari pukul 5 pagi lagi. Part paling best ialah misi redah. Banyak perkara tak dijangka telah berlaku. Bukan ke itu yang diinginkan jika anda seorang pengembara?

Travelog Hohhot, Inner Mongolia Siri I


Assalamualaikum!

Kali ini kami ingin kongsikan pengalaman kami ke Hohhot, Inner Mongolia baru-baru ini. Kalau bahasa Melayu dipanggil Mongolia Dalam. Disebabkan janggal nak sebut, kami lebih senang menulis Inner Mongolia sebagai mana di dalam peta dunia versi omputih. Ingat, Inner Mongolia bukan negara Mongolia. Negara tersebut terletak di Outer Mongolia. Lihat baik-baik di dalam peta. Harap tidak ada  lagi kekeliruan. 

Sumber google : Peta menunjukkan kedudukan Inner Mongolia.

Kami ke Hohhot setelah 3 hari berada di Beijing. Untuk menjimatkan belanja penginapan, kami ke sana dengan menaiki kereta api jenis hard sleeper. Hard sleeper bukan bermaksud tidur di atas katil yang keras. Koc ini mempunyai katil 3 tingkat. Wow, tak? Nak tahu lebih lanjut, sila teruskan pembacaan di bawah.

========================================================================

7 Disember 2017

Kami check out hotel pada pukul 12.30 tengahari. Hal ini sengaja kami lewatkan kerana kami akan menaiki kereta api pada waktu malam nanti. Keluar awal akan membebankan kami membawa backpack yang banyak dan berat. Lagipun, kami dah selidik sebelum ini, setiap  stesen subway tidak menyediakan tempat penyimpanan beg kecuali di Bejing West Railway Station sahaja.

Selesai check out hotel, kami terus menuju ke Beijing West Railway Station untuk mendapatkan tiket ke Hohhot pada pukul 9 malam ini. Tiket ke sana telah ditempah awal melalui laman sesawang  di link https://www.travelchinaguide.com/. Pihak web akan uruskan tempahan tiket. Kami hanya perlu tetapkan tarikh dan masa sahaja. Bayaran dibuat sebelum penempahan dilakukan. Harga berpatutan dan sangat berbaloi kerana pihak sana akan uruskan segalanya. 

Kami menaiki tren subway menuju ke stesen kereta api. Penumpang tren agak ramai dan kebanyakkanya membimbit beg pakaian. Bukan itu sahaja, ada juga penumpang yang mengangkut guni-guni makanan dan tilam pun ada. Boleh dikatakan, semua penumpang di dalam tren menuju ke stesen kereta api Beijing West sebagaimana kami.

Setiba di sana, keadaan stesen yang sibuk dengan orang ramai bergegas secara bersimpang-siur. Amat sukar untuk mencari kaunter pertukaran tiket. Kami bertanyakan arah yang betul di kaunter petugas di bahagian bawah. Walaupun agak sukar berkomunikasi, akhirnya kami temui juga kaunter tiket yang dicari.

Baca dan cuba faham beberapa kali kaedah nak mendapatkan tiket. Padahal belakang tu je kaunter yang dicari. Cuma waktu ni ragu-ragu dengan perkataan North Tickets. Tempat penyimpanan beg berada di sebelah kiri kaunter berkenaan.

Kami tinggalkan kesemua beg di tempat penyimpanan yang disediakan di kawasan stesen bersebelahan kaunter tiket. Harga satu jam bagi penyimpanan 4 beg dikenakan sebanyak 10 yuan.  Walaupun hati ragu-ragu dengan kepercayaan dan keselamatan beg-beg kami, namun terpaksa bertegas untuk tinggalkan juga selama 4 jam. Kami perlu ke Jalan Niujie sekali lagi untuk mendapatkan bekalan makanan untuk dibawa dalam perjalanan malam nanti. Cukup bawa satu beg gajet sahaja untuk ke sana. Beg yang lain perlu yakin dan berserah sahaja.

Sekali lagi kami tiba di Jalan Niujie. Lapar benar rasanya sebab jam telah pun menunjukkan pukul 4 lebih. Kami belum sempat untuk makan tengahari kerana terlalu lama berada di stesen. Tanpa berfikir panjang, kami terus masuk ke salah sebuah kedai makan yang berada berdekatan. Kami memilih menu sup rusuk daging kambing sedulang. Dengan keadaan cuaca yang sejuk, kami makan dengan berselera sekali. Daging di sini semuanya empuk dan tulangnya boleh ditarik keluar dengan mudah. Orang tak ada gigi pun boleh makan. Hehe...

Sekali sehari sahaja kami sempat makan berhidang macam ni di kedai. Waktu makan lain tidak sempat. Masa kami banyak berhabis di atas jalan mencari arah. 

Selesai makan, kami membeli bekalan makanan di Niujie Supermarket bagi mendapatkan makanan seperti biskut, roti, cokelat dan mi segera. Kemudian, kami ke Masjid Niujie untuk solat jamak Maghrib dan Isyak. Bertuah betul kerana dua kali kami berpeluang bersolat di sana.

Niujie Supermarket menyediakan makanan 100% halal. Kami pilih makanan yang mudah dibawa dan dimakan segera.

Keluar sahaja daripada perkarangan masjid, hari sudah pun gelap. Angin pada malam ni bertiup dengan kuat. Sejuk sehingga ke tulang rasanya. Tanpa berlengah, kami bergegas menaiki subway ke stesen kereta api Beijing West.
Setibanya kami ke stesen kereta api, kami terus mendapatkan beg-beg kami di tempat penyimpanan. Sebelum mengambil beg keluar, kami cek dahulu satu persatu poket dan isi beg, kalau-kalau ada benda terlarang seperti dadah atau senjata api. Alhamdulillah. Tak ada. Takut juga kan. Perlu sentiasa dalam keadaan berwaspada.

Semua beg telah diangkat dan kami sudah siap sedia untuk memasuki pintu masuk. Bagi pemegang pasport seperti kami, jangan sesekali tersalah masuk lorong rakyat tempatan. Mereka hanya perlu masuk dan mengimbas kad pengenalan di mesin pengimbas. Senang dan cepat. Untuk pemegang pasport pula, kami perlu memasuki lorong kaunter yang mempunyai petugas untuk mengesahkan tiket.

Beg-beg kami diimbas masuk yang entah ke berapa kali untuk hari ini. Amat leceh. Pecat dan pakai  semula beg berulang kali. Tapi, tak kisahlah. Minggu depan dah nak balik. Di Malaysia memang dah tak rasa susah-payah macam ni lagi. Hadaplah dengan muka senyum. Cepat-cepat kami cari tempat duduk di terminal 2 yang jelas terpampang di papan kenyataan LED. Kami rujuk tiket kereta api untuk memudahkan pencarian terminal.

Orang terlalu ramai menunggu. Ada yang duduk di lantai. Dan ada juga yang duduk di atas barangan yang akan dibawa pulang. Habis segenap dinding penuh dengan orang yang menyandar. Kami cuba mencari kerusi untuk duduk. Penat kerana dah menapak jauh tadi. Rezeki kami waktu itu  kerana dapat menjumpai 4 tempat duduk kosong. Kerusi ni agak terbelakang. Patutlah orang tak perasan. Akhirnya kami boleh lepaskan lelah dan berehat sementara menunggu kereta api yang akan tiba dalam tempoh 3 jam lebih lagi.

Keadaan di tempat menunggu Beijing West Railway Station sentiasa sesak. Kebetulan sahaja ni kami dapat tempat duduk. Jenuh juga menunggu 4 jam di stesen kalau tak dapat tempat duduk. 

Pintu masuk dibuka awal 30 minit bagi mengambil masa untuk menanda tiket dan membolehkan penumpang mencari koc. Orang ramai berlumba-lumba menuruni tangga. Sementara kami pula  jalan berlenggang-kangkung sebab katil kami tidak akan diambil oleh penumpang lain. Bagi yang membeli tiket jenis kerusi, mereka akan berebut-rebut mendapatkan tempat duduk. Ini kerana tiket yang dijual melebihi daripada bilangan kerusi yang sepatutnya. Untuk elakkan mereka daripada duduk di atas lantai atau berdiri sepanjang perjalanan, mereka akan cepat-cepat berjalan bagi mendapatkan kerusi.

Petugas memeriksa tiket kami sebelum memasuki koc. Kami tidak perlu berasak-asak ke dalam kereta api kerana katil kami tidak perlu berebut dengan orang lain. 

Sewaktu masuk ke dalam kereta api, kami mendapati sudah ramai orang yang berada di dalamnya. Ada yang sedang mengecas telefon, ada yang sedang makan di meja mengadap tingkap, dan ada yang telah pun tidur nyenyak di atas katil. Lampu pada waktu itu masih menyala dan sehinggalah pukul 11 malam, baharulah lampu dipadamkan.

Kami siapkan katil untuk anak-anak. Sementara itu, anak-anak kami arahkan ke tandas dan gosok gigi di sinki yang disediakan di hujung koc. Kami memilih tiket jenis Hard Sleeper kerana berniat untuk tidur semalaman perjalanan dan keesokan pagi akan terus tiba ke Hohhot. Jimat belanja penginapan dan masa perjalanan juga tidak akan terasa.

Katil tiga tingkat. Tempat mengecas telefon ada disediakan. Boleh menunggu bateri penuh sambil duduk di atas kerusi. Nak makan pun meja ada disediakan. 

Entah nak dikatakan malang atau bertuah. Kami bersebelahan dengan katil anak-anak muda. Mereka datang berkumpulan dan ada antara mereka adalah pasangan kekasih. Sangat bising dan tidak menghiraukan ketenteraman penumpang lain. Hanya tau bergelak ketawa dan berhibur sahaja. Pasangan kekasih tu tidur bersebelahan dengan katil kami. Perbuatan tak senonoh memang jelas di mata. Sebab tahu mereka tak akan faham bahasa kami, kami pun mula bercakap.

"Alahai kamu ni, tak reti nak diam ke?"
"Tak malu ke dik oiii?"
"Orang ramai ni.. Dah dah la...."

Hehe... Kami bercakap berdua je suami isteri. Bila sahaja koc dah bergelap, kami tarik selimut dan terus berpaling ke arah dinding. Hanya bunyi gurau-senda antara mereka sahaja kedengaran. Memang meremang bulu roma waktu itu. Tapi apa nak buat. Kami berada di tempat orang. Petugas pun tak  ada yang menegur. Hanya minta tiket untuk ditukar ganti dengan tiket berkulit keras sahaja. Sini bukan ada pencegah maksiat pun. Hehe...

Aktiviti mereka usah dilayan. Esok banyak lagi perkara yang bakal dihadapi. Ini pun merupakan pengalaman yang tidak pernah dirasai di mana-mana sebelum ni. Tak suka dalam hati sudahlah. Jangan pula kita memandai-mandai menegur. Masuk kandang kambing, mengembek. Masuk kandang harimau mengaum. Harap fahamlah ya. Pastikan diri sendiri menunjukkan sikap yang baik.

Terima kasih kerana sudi membaca. Travelog Hohhot, Inner Mongolia Siri II akan menyusul kemudian. Banyak lagi pengalaman menarik bakal diceritakan.

CHINA LIKE NEVER BEFORE

Pengalaman ke Beijing Disember 2017


Percutian akhir tahun ke luar negara telah menjadi aktiviti rutin semenjak 3 tahun yang lepas. Kali ini kami merancang untuk ke Beijing, China. Perancangan ini dibuat rapi selama 7 bulan lamanya. Dapatkan tambang tiket murah dahulu, rancang dan kumpul duit. Tempoh yang lama membolehkan kami membuat persediaan dengan secukupnya.  

Walaupun tanah besar China bukanlah dalam bucket list kami, tapi tak menjadi masalah untuk ke sana. Setiap tempat di dunia ini pasti ada daya tarikannya yang tersendiri. Pengalaman pun tak akan sama. Dengan perbezaan budaya, bahasa, makanan dan gaya hidup membuatkan kami tak sabar untuk berada di sana. 

PERSEDIAAN SEBELUM KE BEIJING

1. SCAMMER

Melalui persediaan awal kami, kami banyak membaca dan menonton video amatur di youtube. Kebanyakan nasihat yang diberikan oleh pelancong yang telah ke sana adalah supaya berhati-hati dengan scammer. Scammer ini datang dari pelbagai cara. Jadi kami hanya perlu berhati-hati supaya tidak terlalu percaya dengan orang yang tiba-tiba datang menghampiri untuk memberi pertolongan, berpura-pura memberitahu yang mereka juga adalah pelancong sebagaimana anda, memberi tawaran perkhidmatan dan macam-macam lagi. Pendek kata, kalau nampak ada orang yang buat baik tanpa diminta, elakkan. Pandai-pandailah kelentong cakap tak faham ke, cakap Bahasa Melayu ke dengan dia atau terus lari. 

2. SUBWAY

Subway merupakan antara perkhidmatan pengangkutan awam yang terbesar di China. Lebih-lebih lagi di Bandaraya Beijing. Kalau nak kata hafal, memang tak mungkin. Kami cuma kaji laluan tren ke destinasi yang kami pilih sahaja. Catat siap-siap laluan tren dan stesen yang akan pergi di dalam buku catatan kecil. Nak simpan dalam telefon pun boleh.

Sumber google : Peta subway Beijing.
3. KOMUNIKASI

Perlu diingatkan, mereka tak menggunakan bahasa Inggeris. Mereka hanya menggunakan bahasa Mandarin. Jadi, nama tempat, tanda halal maupun nama stesen, tulis di buku kecil dalam tulisan Cina. Bila dah sesat atau ingin bertanya nanti, tunjuk sahaja kepada orang tempatan. Ini juga dapat memudahkan orang tempatan memahami apa bantuan yang diperlukan oleh kita. 

4. BARANGAN SAMPINGAN

Bawa plag bentuk negara sana. Nak cari di sana, buang masa. Sediakan juga makanan dari Malaysia. Ini untuk waktu tidak sempat mencari kedai makanan halal. Bawalah makanan yang mudah makan seperti biskut oat, cokelat Snickers, Maggie dan nasi keluaran Brahim. Semua ini makanan yang memberikan tenaga. 
BEIJING 4 - 12 DIS 2017

Penerbangan menggunakan Air Asia X membawa kami terbang selama 6 jam dan mendaratkan kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing pada pukul 5.30 pagi dengan suhu -1॰C. Apa yang mengejutkan kami, bukan kerana suhu yang sangat sejuk. Tapi, kejadian yang berlaku sewaktu di dalam kapal terbang. Para penumpang diarahkan untuk tidak berganjak daripada tempat duduk masing-masing walaupun kapal terbang telah lama pun mendarat. Ada juga penumpang yang ingkar tapi ditegaskan juga untuk duduk. Kami juga hairan kerana kami sudah lama menunggu. Makluman seterusnya diberitahu pegawai polis akan masuk ke dalam kapal terbang. Isk, sampai macam tu sekali kawalan keselamatan terhadap penumpang. Tapi, yang peliknya, tiada seorang pun pegawai yang memakai baju polis. Mereka berpakaian sebagaimana orang biasa. Akhirnya kami dibenarkan keluar. Sempat juga kami menoleh kepada pegawai polis yang menunggu di tepi lorong. Tegas dan ketat muka mereka. Kenapa ya? Pertanyaan kami terjawab apabila mengetahui rupa-rupanya ada penjenayah di kalangan penumpang yang membawa dadah. Macam mana boleh terlepas dari lapangan terbang Malaysia? Yang ni, memang tak ada jawapan. Alhamdulillah, semuanya selamat.

Selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing. 

TEMPAT PENGINAPAN

Kami menempah tempat penginapan sepenuhnya dengan menggunakan website Booking.com. Tempah dahulu, bayar kemudian. Nampak untung kan sebab tak tolak lagi duit kita. Tapi, ruginya tetap ada. Kami bayar menggunakan duit tukaran semasa. Sewaktu menempah, harga Hotel Beijing Hutong RM113. Ketika membayar pada hari berkenaan, harga hotel telah naik sehingga RM127. Bayaran pendahuluan pun terpaksa diberikan. Ada lagi cas 15% cukai tanpa diketahui. Macam kena tipu pun ada. Nak tak nak, terpaksalah bayar. Tak mungkin nak cari hotel lain pula. Lagipun, Booking.com tetap akan potong duit dalam akaun walaupun kami tak menginap. Nak batalkan tempahan? Tak ada masalah. Tapi perlu 2 hari sebelum hari menginap. Boleh dikatakan semua tempat penginapan kami dikenakan bayaran lebih daripada bajet asal. Rasanya, lebih baik menempah di Agoda atau Airbnb. Bayar terus semasa duit tukaran masih rendah.

Salah satu tempat penginapan yang dicadangkan. Dalam tripadvisor pun ada. Ramai pelancong luar negara menginap di sini. 

MAKANAN HALAL

Makanan halal tak susah pun. Rakyat Cina yang tinggal di sana mempunyai ramai penganut yang beragama Islam. Jadi, tidak menjadi masalah untuk mendapatkan makanan halal. Malah, boleh membuat pilihan makanan lagi. Cuma, kami perlu pandai mencari tanda halal yang ditulis dalam tulisan Cina. Cara yang mudah, kami cetak tanda halal dan tampal di dalam buku nota. Ketika mencari, keluarkan buku dan cari tanda halal berkenaan. Mula-mula, sukar juga. Lama-lama, kami dah biasa dengan simbol berkenaan. Anak kami yang sulung pun boleh hafal.

"Ibu, itu kedai makanan halal!"
"Hah, ini megi halal. Boleh makan ni bu."

Tanda kedai yang menyediakan makanan halal. 

Hebat budak-budak ni lagi daripada kami. Hehe. Kalau masuk ke kedai makanan halal, kami boleh melihat cara berpakaian orang Muslim. Bagi yang perempuan, mereka tidak bertudung. Mereka hanya memakai kopiah. Janggal bagi kita apabila melihatnya. Bagi lelaki pula, mereka sebagaimana muslim lain iaitu memakai kopiah.

Muslimah berkopiah. Janggal bagi kita, tidak bagi mereka.

Acap kali juga kami pergi ke Jalan Niujie. Di sana banyak kedai makanan halal. Hidangan makanan sana sangat sedap. Setiap kali melihat menu, hidangan daging kambing adalah menjadi keutamaan. Tak terungkap sedapnya. Hari-hari mengadap menu kambing. Daging kambing goreng kunyit, sup, goreng bersama sayur, masak kicap dan macam-macam lagi jenis masakan. Semuanya daging kambing. Rugilah tak makan kan.

 Sup tulang rusuk kambing! Yummy. Siapa yang tak gemar selama ini pun akan tumpas apabila makan hanya dengan gigitan pertama. 

Murah, sedap dan banyak. Kami sentiasa berkongsi 4 orang. Jimat kan.

Di convinience store juga ada menyediakan makanan halal. Tak usah risau kalau nak topup mi segera, biskut dan cokelat. Stok makanan kami dah habis bila dah masuk hari kedua di Beijing. Kami ramai. Makan pun banyaklah.

Ini merupakan pasaraya kecil bagi orang muslim di kawasan Niujie. Barangan yang dijual di dalam ini semuanya disahkan halal. 
INTERNET

Kami buat tempahan awal di Recommend Traveller. Kami pick up pocket wifi di Level 1 KLIA2 berhadapan pintu arrival. Kami lebih suka menggunakan pocket wifi berbanding dengan simcard kerana lebih jimat dan boleh diguna lebih daripada seorang pengguna. Namun, tak banyak pun penggunaan internet di sana. Kami tidak terlalu bergantung kepada google map untuk mencari destinasi. Facebook dan Whatsapp pun banyak kali putus. Penggunaan data dihadkan hanya 1gb sahaja sehari. 

Untuk pengetahuan, aplikasi sosial yang kita gunakan di Malaysia tidak dapat digunakan apabila berada di China melainkan install VPN (kami guna app Psiphone Pro). VPN ini akan membuka penggunaan seperti Facebook dan Whatsapp di sana. Ini kerana, kerajaan China tidak membenarkan Google, Facebook dan Whatsapp digunakan di negara mereka. Mereka telah menggantikan aplikasi WeChat atau dikenali Weixin di sana, dan beberapa aplikasi lain bagi menggantikan aplikasi yang dinyatakan tadi. 

Kami perhatikan, setiap urusan jual beli sama ada barangan atau perkhidmatan banyak menggunakan WeChat. Mereka juga hanya perlu scan menggunakan kod QR. Tak perlu susah membawa tunai atau mencari atm mencucuk duit. Tapi, kami tidak tahu langsung kepenggunaan kod QR tu. Lagipun, bukan ada debit pun. Jadi, kami hanya gunakan pembayaran tunai sahaja. 

SESAT

Perkara biasa kalau sesat apabila membuat perjalanan sendiri tanpa bantuan orang lain. Tersalah naik tren dan turun ke stesen lain, biasa. Berjalan kaki dengan yakin dan terus maju ke depan. Sebenarnya dah sesat, biasa. Naik turun tangga banyak kali di tempat yang sama akibat tersalah keluar ikut pintu, biasa. Kalau sesat, senyum. Jangan mengeluh, jangan marah. Semua ni akan spoil mood. Sentiasa anggap hal ini biasa bagi orang yang pertama kali menjejakkan kaki ke Beijing. Sesat itulah yang menyeronokkan. Pujuk hati je ni.  

Macam mana kami mencari jalan? Kami bergantung sepenuhnya dengan map yang ada di subway. Kalau dah confirm sesat, tanya. Biarpun komunikasi itik dan ayam. Susah? Terpaksalah. Dengan cara bertanya, kami dapat mengenali orang tempatan dengan lebih dekat lagi.

Ketika ini kami sedang sesat mencari bas bernombor 877. Ada pakcik yang cuba terangkan kepada kami. Tapi, kami tak faham. Walaupun sukar, kami tetap dibantu oleh orang tempatan sehingga ke stesen yang betul. 

Orang sana baik hati. Mereka akan berusaha membantu kita sehingga berjaya. Yang sibuk berkejar nak pergi kerja, walau ditanya stesen bas, terus dibawa kami ke sana. Biarpun nampak dia asyik melihat jam. Mungkin dah lewat. Yang berjalan ke arah lain, bila ditanya, mereka akan terus membantu sehingga selesai dan barulah dia berpusing balik meneruskan perjalanannya. Itu yang seronok kalau sesat. Secara tak langsung, kami dapat mengenali mereka. 

TEMPAT MENARIK

Disebabkan kami hanya datang sendiri, maka kami tidaklah tergopoh-gapah nak ke sesuatu tempat. Lebih banyak berjalan santai sahaja. Sehari hanya mampu pergi satu tempat sahaja. Lagipun, perjalanan kali ini tidak dijangka kerana membawa perut. Usia kandungan yang baru 2 bulan telah mengehadkan kami daripada berjalan terlalu jauh. Berjalan dengan kanak-kanak berusia 9 dan 7 tahun lagi ni. Perlu tahu akan kemampuan diri. Jangan memaksa. Tak ada apa yang perlu dikejarkan. Nikmati suasana sekeliling dengan tenang. Kalau penat berjalan, berhenti sahaja di mana-mana kedai makan. Boleh berehat sambil makan-makan, update status dan memperkemaskan perjalanan. 

1. Masjid Niujie

Masjid ini merupakan masjid tertua di Beijing. Keluasan perkarangan masjid ini tidak besar. Hanya meliputi 6000 meter persegi.  Solat Jumaat hanya diadakan di masjid ini sahaja. Disebabkan kami tiba pada hari Selasa, keadaan masjid agak sunyi. Kami sempat berkunjung dan bersolat di sini sebanyak 2 kali. Kami amat suka melihat senibina masjid yang banyak pengaruh Cina. Masjid ini ada kekuatan hasil seni kelainannya tersendiri.

Sebahagian bangunan di dalam perkarangan Masjid Niujie. 

2. Tembok Besar China

Tak sah kalau tak pergi ke tembok paling panjang di dunia ni. Panjang tembok ini jika dibuat pencarian di laman sesawang, tidak ada yang memberikan jarak yang tepat. Apa yang pasti, tembok ini merupakan terpanjang dan juga adalah 7 benda ajaib dunia yang dibina oleh manusia. Kami ni pula hanya mampu mendaki tak sampai 500 meter. Haha. Jalannya ada yang bertangga dan ada yang mencuram. Sangat dinasihat supaya berhati-hati ketika mendaki. Gunakan susur tangan. Jika anda mengalami masalah kesihatan seperti mengandung atau sakit lutut, cukup dengan berada di bawah sudahlah. Naik boleh lagi. Sewaktu nak turun tu satu cabaran pula. Nasib baik kami buat keputusan yang betul dengan tidak mendaki terlalu jauh. Tapi, jika anda mampu, apa salahnya. Silakan. Naiklah lebih tinggi!

Tempat kami berdiri ini berdekatan dengan pintu masuk utama. Tak jauh pun kami mendaki. Kami tahu mengukur baju di badan sendiri.

Nak ke sana tak susah. Naik sahaja bas bernombor 877 di Deshengmen Station. Hanya mengambil masa 1 jam lebih sahaja dah tiba ke pintu Badaling. Salah satu pintu tembok yang terdekat dari Beijing selain Mutianyu. Tiket murah sahaja. Hanya 12 yuan sehala. Ketika kami sampai ke sana harga tiket untuk masuk Badaling Great Wall ialah 35 yuan untuk dewasa dan kanak-kanak 17.50 yuan. Harganya akan berubah mengikut bulan iaitu dari 1 April hingga ke 31 Oktober harganya 40 yuan. Manakala 1 November hingga ke 31 Mac hanya 35 yuan.

3. Wangfujing Snack Street 

Seronok sangat sebab dapat melihat makanan yang dijual di lorong kecil. Keadaan di sini sangat meriah. Ramai pelancong dalam dan luar negara yang berkunjung ke sini. Menu yang paling dicari adalah sate kala jengking. Bukan yang ni sahaja yang eksotik, ada lagi sate kumbang, sate belalang, donut ular dan macam-macam lagi. Ada gerai yang membenarkan untuk mengambil gambar dan ada gerai tak boleh. Jangan buat keras kepala nak juga mengambil gambar walaupun telah dilarang. Hormati keinginan daripada peniaga. 

Ada juga gerai makanan halal yang dijual di sini. Ramai yang berkerumun sebab hanya ada dua gerai sahaja. Kami tak membeli pun. Tengok sahaja. Kami ada ternampak pelancong yang beragama Islam berebut makan sate kala jengking. Kami tak pasti boleh atau tidak. Tapi, setahu kami, kalau haiwan berbisa haram dimakan. Melainkan keadaan darurat. Wallahualam. Betulkan kami kalau salah.

Pengunjung tertarik untuk ke Wangfujing Snack Street kerana ingin melihat sate kala jengking. Banyak gerai yang menjual makanan eksotik seperti ini.

4. Hongqiao Pearl Market

Susah betul nak jumpa tempat ni. Sebab kami ni bukan kaki shopping. Yang ni tak ada dalam senarai pun. Kebetulan semasa di Masjid Niujie ada terjumpa dengan 2 orang gadis daripada Malaysia dan sama-sama sedang bercuti di Beijing. Mereka yang mencadangkan tempat ni kalau nak membeli-belah. Hongqiao Pearl Market ni juga adalah cadangan yang terdapat dalam majalah Air Asia. 

Nasihat kami, apabila membeli, pastikan anda menawar 70-80 % daripada harga sebenar. Kami cuba je. Rupanya memang dapat. Tawar serendah yang mungkin. Kalau peniaga cakap "You are my lucky 1st customer." Bolayan. Penipu. Itu adalah trick mereka untuk memancing pelanggan. Perlu bertegas semasa membuat urusan. Di sini tak usah risau tentang komunikasi. Mereka pandai berbahasa Inggeris. Siap boleh guna beberapa perkataan bahasa Melayu lagi. "Murah, murah." Haha. Pandailah kau...

Terus terang cakap, kami kurang gemar ke sini. Kami tidak mahir bab tawar-menawar. Nampak sangat janggal. Maaf kepada sesiapa yang ada pasang niat nak mengirim barang. Kami terpaksa menolak. Huhu

Di sini ada menjual kain tudung, beg, jam, gajet dan macam-macam lagi. Kalau berhajat nak bawa balik buah tangan buat orang kampung, boleh singgah di sini. Anda boleh rasai peperangan antara pelanggan dan peniaga dengan menggunakan kalkulator sahaja. Anak-anak, sila belajar bagaimana caranya untuk tawar-menawar. 

5. Tian An Men Square

Kawasan ini mempunyai banyak bangunan kerajaan. Forbidden City juga berada berdekatan kawasan ini. Di situlah tempat penggambaran cerita lama destinasi Cina berlaku. Kami tidak ke sana kerana ditutup pada hari Isnin. Semua bangunan dapat dilihat banyak bercirikan pengaruh Cina. Sangat cantik. Yang tak seronoknya, setiap tempat yang hendak dituju sangat jauh. Pejalan kaki juga ada laluan sehala. Banyak laluan ditutup dan perlu berpusing jauh. Ramai pegawai keselamatan ditempatkan untuk berada di setiap lorong bagi memastikan orang ramai tidak mengelat untuk masuk lorong yang salah.

Entah apa yang seronoknya kawasan ni bagi mereka. Layan je budak-budak tengah girang, kan. Muka abah, "Whatever..."

PENGALAMAN TAK DAPAT DILUPAKAN

Imbasan Keselamatan

Setiap kali memasuki stesen tren, kami akan diimbas. Beg kami terpaksa dimasukkan ke dalam mesin imbasan. Bayangkan sehari 10 kali keluar masuk stesen. Jenuh kami terpaksa buka beg. Kalau beg kecil tak apa. Kalau backpack besar yang 70 liter? Sekali gendong bukan satu beg, tapi 3 sekaligus. Beg gendong belakang, depan dan beg sling. Azabnya tak payah cakap. Nak pakai balik bukan main susah. Nak tolong pakaikan untuk anak-anak lagi. Ada sekali tu, sampai bercelaru sekali semua tali ketika sedang memasukkan beg-beg ke dalam mesin pengimbas.

Bayangkan semua beg ini perlu diimbas setiap kali masuk ke dalam stesen. Kalau pergi sendiri je rasanya mampu lagi tahan. Ini dengan keluarga. Banyak beg dibawa.

Tandas

Setakat ni, tak jumpa lagi tandas tak berpintu yang diwar-warkan sebelum ni. Tahap kebersihan pula, kami bagi 2 dari skala 5. Kami pejam mata je... Rasa nak menangis pun ada. Bau pula tak mampu nak tutup. Harapkan hidung tersumbat je ni. Kadang-kala bau, kadang-kala Allah matikan kejap deria bau. Syukur... Tak ada paip air dalam tandas. Yang ada hanya di sinki. Isi dahulu ke dalam botol. Barulah bawa bersama masuk ke tandas. Tisu dan sabun pun perlu bawa sendiri. 

Seluar terbelah

Seluar ni bukan untuk orang dewasa. Ianya untuk kanak-kanak yang berusia 2 tahun ke bawah. Anak-anak seusia itu tidak dipakaikan pampers. Proses membuang adalah di balik seluar terbelah tu. Kalau sebelum ni, kami hanya baca sahaja. Ini pengalaman kami, terjadi secara langsung depan mata kami. Semasa menunggu tren di Stesen Beijing West, kami suka melihat gelagat seorang bayi yang sangat comel. Pipinya merah dan labuh, badan gebu, rambut mencacak bagaikan berus sabut. Pendek kata sangat suka melihat keletahnya yang tergedek-gedek. Tiba-tiba ada nampak cecair kuning keluar di bawah tapak kaki. Ouh... Air kencing la... Ibunya buat tak tahu je. Dibiarkan bayi tu berjalan ke sana ke mari dengan cecair masih melekat di kaki. Kami dah mula rasa was-was dengan lantai kami pijak. Tak sampai beberapa minit, bayi tu berak pulak. Kalut ibu dan neneknya membantu bayi tu memudahkan proses berkumuh.

Dibiarkan najis tu di atas lantai sementara ibunya pula mengelap punggung bayi. Neneknya pula sibuk mengambil tisu dan membersih lantai yang dipenuhi najis. 

Anak-anak kami terkedu melihat kejadian ini di hadapan mata sambil enak makan biskut Memang tak ada perasaan ke budak-budak ni? Hehe... Kami dah mula was-was memikirkan lantai tu sebab dah kotor terkena najis. Bukannya dibasuh dengan air pun. Lap macam tu je. Kami berpesan kepada diri sendiri, jangan sesekali gatal nak dukung bayi seusia tu. Pakaian yang kita pakai ni sentiasa dibawa bersolat.

Kami tidak mengutuk cara hidup mereka di sini. Boleh tahan juga rasa bernasib baik sebab mempunyai pengalaman macam ni. Haha!

Memotong barisan

Yang ni memang tak boleh nak cakap apa. Memang budaya mereka rasanya. Kami sedang beratur membeli barang, ada orang potong. Kami beratur masuk tren, sempat lagi orang mencelah ke depan. Pendek kata, di mana tempat beratur, di situ orang potong. Haha. Kalau anda rasa nak potong balik, boleh. Mereka tak kisah pun.

Tak kisahlah mereka tak beratur pun, kami perlu menunjukkan budaya yang elok di negara orang. Tunjukkan tauladan yang baik. Ingat, kita adalah duta kecil dari Malaysia.

Meludah

Jalan jangan pandang lantai. Penuh dengan lendir ludahan. Semasa taip ni pun ada rasa geli. Memang banyak. Banyak lagi daripada najis anjing. Tak kira lelaki, perempuan, tua, muda, memang suka meludah. Arghh!!! Hak! Tuiii! Kembang tekak mendengarnya. Kalau makan di kedai makan pun, boleh dengar daripada dapur tukang masak duk buat bunyi macam nak meludah. Eee...

Kami memang tidak sanggup nak memandang ke bawah. Ludahan ada di setiap inci lantai kaki yang dipijak.

Bising

Mereka tak bising. Mereka bersopan-santun sebagaimana kita. Cakap pun dengan nada volum biasa. Berbeza dengan tanggapan kami sebelum ini. Dalam tren mereka hanya diam. Semasa di dalam kedai makan pun diam. Yang bisingnya hanya di dalam kapal terbang sahaja. Yang ni sahaja buat kami rasa pelik. Kenapa bising sangat? Orang Cina Malaysia pun nampak hanya diam membisu melihat keadaan orang Cina main land. Kami dengar pramugara Malaysia sangat bengang akan kebisingan mereka di dalam kapal terbang. Kapal terbang jela. Yang lain ok.

Mereka tak bising pun. Ini suasana di dalam tren. Kat luar pun sama. Tak ada pun yang bercakap dengan suara yang kuat.

Murah

Kos perbelanjaan di sini sangat murah. Makan dan tiket boleh dikategori kos yang mampu bayar. Walaupun kami pergi berempat, tapi kos kami di sana tidaklah sebesar mana. Makan kami mewah. Kami makan apa yang kami mahu. Tak perlu nak jimat cermat bab makan ni. Tak macam negara Jepun yang kami jejaki tahun lepas.

Tengoklah harga yang dipamerkan. 2yuan sahaja sekeping. Murah je. Saiz roti pun besar-besar. 

Baik hati dan suka membantu

Orang Cina sombong? Tak. Salah sekali tanggapan tu. Mereka sangat membantu. Yang ni membuatkan kami cukup terharu. Orangnya nampak garang dan tak suka senyum. Tapi, bila diminta bantuan, mereka akan terus membantu. Biarpun mempunyai masalah komunikasi. Mereka akan tetap  sedaya-upaya membantu kami walaupun terpaksa install aplikasi translater dahulu untuk memudahkan berkomunikasi dengan kami. Mereka juga tidak kedekut untuk menggunakan data internet persendirian mereka untuk membantu kami.

Baik hati kan. Nak bungkus sikit ni pun dilayannya kami. Bungkus dalam plastik je. Jadilah kan daripada membazir. Boleh makan di dalam hotel nanti.

Suhu

Suhu sejuk di bawah takat beku inilah yang kami suka. Mana nak dapat rasa di Malaysia kan. Sejuk sehingga mencucuk kulit. Angin yang bertiup menyebabkan kami terketar-ketar. Tak mandi berhari-hari tu biasa. Jangan sangka walaupun bercuaca sejuk badan kita tak berpeluh. Badan akan tetap berbau. Pilih mandi atau lap badan sahaja. Kami tak berani acap sangat mandi kerana kulit akan naik gatal-gatal. Lembapkan badan dengan krim Nivea atau Vaseline.

Memang sangat sejuk. Tangan sentiasa berada di dalam poket. Dalam poket tu pula ada pad pemanas. Sejuknya bagai mencucuk-cucuk kulit. Pedih. 

Nak cerita semua pengalaman di blog ni memang tak cukup. Terlampau banyak. Merantau ni seronok. Tak boleh nak gambar melalui penulisan. Terokailah sendiri. Coretan ini merupakan pengalaman yang kami alami sendiri. Lain orang, lain pengalaman. Nak tau tak, tak jumpa pun scammer yang kami paling risaukan sebelum pergi. Betullah kata orang, pergi dulu, baru tau. Jangan duk hanya mendengar kata orang sahaja. Kan jauh terpesong tanggapan tu. Hehe...

Untuk yang seterusnya, kami akan kongsikan pengalaman pergi ke Hohhot, Inner Mongolia pula. Masih lagi di dalam negara China. Mungkin akan buat travelog bersiri sebab Hohhot adalah satu tempat yang jarang dikunjungi oleh rakyat Malaysia. Terima kasih kerana sudi membaca, ya!

Hey, this is our vlog. Enjoy watching!



"China like never before"