Road Trip Malaysia ke Koh Samui - Siri II (Akhir)

Hai! Sebelum ni kami ada menyediakan entri Siri I yang menceritakan pengalaman kami selama 3 pertama perjalanan yang bermula pada 16 Mac 2018. Kami sengaja pecahkan kepada 2 entri kerana penulisan perjalanan akan menjadi terlalu panjang. Lagipun, entri kedua akan membuatkan orang tertunggu-tunggu. Ye dok? Terima kasih kepada pembaca yang sudi menghabiskan setiap patah perkataan yang telah ditulis. Dengan adanya entri kami ini, dapat membantu kepada sesiapa yang berhajat ke Thailand dengan memandu kereta sendiri. Ada panduan, baru senang hati kan ☻

Berbalik kepada entri kedua ini, kami akan menceritakan pengalaman kami yang bermula pada 19 sehingga 21 Mac 2018. Hari-hari sebelum ini sangat menguji kesabaran. Dengan perjalanan yang mengambil masa 13 jam, bersesak di imigresen Thailand selama 4 jam dan sesak sekali lagi di floating market. Semua itu kami lalui sebagai pengalaman manis. Kenapa manis? Sebab dah rindu situasi tu. Haha. Apa cerita baru untuk hari seterusnya? Baca penulisan ini sampai habis tau!

19 Mac 2018 (Isnin)
MENGELILINGI PULAU KOH SAMUI
  1. Subuh di Thailand seawal pukul 5.30 pagi. Pukul 7 tu matahari dah tinggi. 
  2. Makan pagi berdekatan dengan hotel. Awal-awal lagi dah ada Nasi Ayam Hainan. Haha. Makanan di pulau ini lebih mahal berbanding di tanah besar tau.
  3. Kami ke satu tempat yang dinamakan Hinta dan Hinyai. Pembentukan kemaluan batu lelaki dan perempuan yang semulajadi. Kami pergi melihat ciptaan-Nya. Takde niat nak berseronok. Dan kejadian itu amat pelik bagi kami kerana rupanya memang sama.
  4. Di situ juga ada beberapa gerai jualan cenderamata. Beli siap-siap di sini. Sebab sangat susah nak cari di tempat yang lain. 
  5. Kami beralih ke Wat Rachathammaram di Lamai. Wat ini berwarna merah tanah liat yang terletak tepi jalan. Wat ini merupakan pengaruh Hindu. 
  6. Sempat singgah sekejap di kuil Patung Guang Yu. Tak sempat nak tau sejarah tempat ni sebab kami parking di tempat yang tak sepatutnya.
  7. Ke Kampung Nelayan Melayu. Di sana ada Masjid Nurulihsan yang sangat daif bagi kami. Suasana perkampungan di situ pun seperti terabai. 
  8. Waktu petang kami dihabiskan di Pantai Taling Ngam untuk melihat keindahan matahari terbenam. Jangan takut untuk follow waze. Kami dibawa ke kawasan pantai persendirian yang agak mewah. Namun diberi kebenaran oleh pihak hotel untuk menikmati waktu petang di situ.
  9. Waktu malam pula kami ke bandar Chaweng untuk mencari keychain dan fridge magnet. Agak mengecewakan kerana agak sukar ditemui. Namun, kami merasai juga suasana malam yang agak berbeza di bandar ini. 
TIPS PENTING HARI INI
  • Seawal pukul 9 pagi pun peluh dah mula menitik dengan laju. Pakailah topi untuk menutup kepala dan banyakkan minum air. Memang matahari sangat terik.
  • Cenderamata seperti fridge magnet dan keychain agak sukar dicari. Kalau ada pun dah nak hampir pudar warnanya. 
  • Jangan main-main di kawasan Hinta dan Hinyai. Di situ merupakan tempat orang lain datang berdoa untuk kesejahteraan rumahtangga. Hormati kepercayaan orang lain. 
  • Nak makan murah dan mengikut selera tekak, baik ke Kampung Nelayan Melayu. Di sana juga ada menyediakan resort penginapan.
  • Pantai Taling Ngam merupakan highly suggest bagi kami kerana di sini tidak perlu bersesak dengan orang ramai. Bayangkan kami berempat sahaja di pantai ketika itu. Waktu itu barulah kami rasa nikmat percutian. 
  • Nak makan kebab? Anda boleh ke Restoren Reef Halbab di bandar Chaweng.
 Hinta (Grandpa) Batu yang membentuk alat kelamin lelaki.

Hinyai (Grandma) Pembentukan batu kelamin perempuan secara semulajadi.

Wat Rachathammaram di Lamai. Jika anda suka melihat struktur binaan, sini adalah tempat yang amat sesuai untuk dilawati.

 Kuil Patung Guang Yu. Tak ubah seperti watak komik dari negara China.

Kelihatan Masjid Nurulihsan sedang dalam proses pembinaan semula. 

Aktiviti sepanjang hari bagi penduduk Kampung Nelayan Melayu.

 Senja di pantai Taling Ngam. 

 Ni anak dara kecil kami yang berumur 8 tahun tolong snap. Walaupun blur, tapi tetap nampak menarik bagi kami.

Yang ni pula anak teruna yang ambilkan. Sedang dalam proses belajar. 

20 Mac 2018 (Selasa)
KOH SAMUI - SONGKHLA
  1. Pukul 7 pagi kami dah check out untuk pergi bersarapan di Kampung Nelayan Melayu. 
  2. Beli je di mana-mana gerai dan makanan yang dibungkus itu boleh dibawa masuk ke dalam kedai. Seolah kampung tu saling bersaudara. Tak ada istilah makanan luar tidak dboleh dibawa masuk. Haha. Mereka memang baik. Boleh bercakap Melayu dalam loghat Kelantan.
  3. Kami ke jeti pada pukul 9 lebih. Pergi awal untuk mengelakkan sesak di jeti dan terpaksa beratur lama. 
  4. Kali ni, penumpang tak ramai. Mungkin kami naik awal kot. Entah kali ke berapa kami tukar tempat duduk. Masa banyak. kerusi pun banyak kosong. Seronok je tukar-tukar. Hehe
  5. Tiba sahaja di jeti Donsak, kami meneruskan perjalanan ke Songkhla yang memakan masa lebih kurang 6 jam. 
  6. Kami ke bandar Songkhla dengan menaiki feri sekali lagi untuk merentasi tasik. Harga tiket untuk sehala adalah 20 bath. 
  7. Kami menginap di Lake Inn Hotel. Berdekatan dengan Pantai Samila. Lebih kurang 3, 4 kilometer je.  
  8. Bandar Songkhla agak kaku bagi kami. Erti kata lain, bandar mati. Huh, dasyat sungguh. Agak bosan bagi kami. 
  9. Kawasan makan halal boleh ditemui di Bandar Lama Songkhla berdekatan Masjid Asasul Islam. Kawasan di sini lebih happening. 
  10. Waktu petang kami dihabiskan di satu taman. Kami hanya mengambil gambar suasana orang tempatan sahaja.
  11. Malam hari pula kami ke Pantai Samila. Kebersihan tidak terjaga sebagaimana tempat yang kami pergi sebelum ini. Kami temui ramai rakyat Malaysia sedang menikmati makan malam di sini. 
  12. Sempat kami singgah ke pasar malam yang tidak ubah pasar malam di Malaysia. Yang ni barulah ada keseronokan bagi kami untuk merasai suasana penduduk tempatan dengan lebih dekat lagi. 
  13. Kami pulang ke hotel untuk merehatkan badan seharian di atas jalan raya. Sebelum tidur, sempat lagi kami menikmati suasana malam di luar tingkap hotel. Bilik kami menghadap dengan tasik pelabuhan yang dipenuhi dengan kapal-kapal besar. 
TIPS PENTING HARI INI
  • Harga tiket menaiki feri sama sebagaimana sebelum ni. 
  • Kalau kereta lowered tu, hati-hatilah. Boleh rabak bawah tu semasa memasuki feri.
  • Ada 2 jalan untuk ke Songkhla. Jalan darat jauh jugak dengan jarak 24 km. Kalau melalui jalan air, yakni dengan menaiki feri, hanya mengambil masa 3-4 minit je. 
  • Nak lihat mural yang kreatif? Anda boleh ke Art Street di Bandar Lama Songkhla. Jalan kaki je dari hotel kami tu. Jarak hanya 500 meter sahaja.
  • Kami cadangkan makan di Bandar Lama Songkhla. Harga makan lebih munasabah berbanding di Pantai Samila. 
  • Tempat menarik hanya boleh diketahui hanya bila bertanyakan penduduk tempatan.
 Pulut bersama serunding + telur kaya, nasi kerabu + keropok dan roti canai berinti gula + susu pekat. Semua makanan ni rasanya sangat manis.

 Di atas dek feri. Berbaju Koh Samui yang berharga 100 bath sehelai.

 Bergambar kenangan di hadapan pintu masuk jeti Donsak. Kereta ni umpama sebahagian daripada keluarga kami.

 Pakai app Waze je nak ke mana-mana.

 Kami di bandar Songkhla Lama. Kami jalan kaki sejauh 500 meter sahaja dari hotel yang menginap. Masjid dan deretan kedai makanan halal pun tak jauh. 

Ni kawasan taman. Ramai yang memancing di bawah. Sini juga tempat tumpuan untuk keluarga untuk bersantai.

21 Mac 2018 (Rabu)
SONGKHLA - HATYAI - RANTAU PANJANG
  1. Kami ke Hatyai sekali lagi untuk membeli buah tangan untuk orang kampung. Penduduk tempatan mencadangkan kami ke Hatyai memandang apa yang kami inginkan tiada di bandar Songkhla. 
  2. Dari Songkhla ke Hatyai hanya mengambil masa 30 minit sahaja. Semua ni tak ada dalam rancangan kami. Rancangan boleh diubah sesuka hati kan.
  3. Kami terus menuju ke Kim Yong Market yang terletak di tengah Bandar Hatyai. Dalam kepala nak cari keychai, fridge magnet dan kekacang je untuk dibawa pulang. Yang lain taknak pun.
  4. Sejam mencari barulah kami jumpa. Kenapa sejam? Sebab kami sampai awal sangat. Gerai banyak lagi tak buka. Asyik berpusing di tempat yang sama je. Masuk pukul 10 pagi barulah banyak gerai kelihatan.
  5. Kedai makanan halal banyak di sekitar Kim Yong Market. Kami masuk bersarapan di Restoren Sulaiman. 
  6. Selesai makan, kami terus keluar dan ingin meneruskan perjalanan pulang ke Kota Bharu melalui jalan Pattani dan Narathiwat. Perjalanan ke imigresen di Rantau Panjang memakan masa 4 jam.
Selepas 15 minit perjalanan, kami baru perasan yang satu bagpack tertinggal di bawah meja kedai makan tadi. Tanpa berlengah, kami terus berpusing balik. Dalam beg itu mengandungi pasport dan kamera yang berharga ribuan ringgit. Dengan perasaan berdebar, kami terus berdoa semoga rezeki kami dengan beg itu masih ada. Sepanjang berada di dalam kereta kami hanya berdiam diri. Inilah perkara yang paling ditakuti apabila merantau di negara orang. Sesampai di kedai, kami terus ke kaunter bertanyakan hal beg tadi. Alhamdulillah. Masih ada orang yang baik hati yang menjaga harta kami. Dalam hati tak berhenti mengucapkan syukur.
 TIPS PENTING HARI INI
  • Kim Yong Market menjual pelbagai barangan dan makanan untuk dibawa balik ke Malaysia. 
  • Tak boleh parking sesuka hati. Pada mulanya, kami dilarang meletakkan kenderaan di belah kiri jalan kerana hari tu parking sepatutnya di belah kanan jalan. Pening jugak. Perlu bertanya dahulu kepada penduduk asal sebelum parking. Nanti tak pasal-pasal kena saman. 
  • Bandingkan harga barangan di setiap gerai sebelum beli. Harga barangan bagi setiap gerai berbeza.
  • Beg yang mengandungi barang penting jangan diletak di bawah meja. Letak di tempat yang boleh dilihat dan terlindung daripada mata yang ingin mengambil peluang. 
Pastikan anda dapatkan tiket parking. Bukan saman ya.

 Waktu ni memang cuak. Nasib baik bila cek semua barang ada. Alhamdulillah.

 Jarak perjalanan kami setelah tiba di imigresen Thailand. Semuanya berjarak sejauh 19585 km. Haha...

Berjaya sampai di pintu masuk imigresen Rantau Panjang Kelantan! Mission complete, yeah!

Tamat sudah perjalanan kami yang dirancang secara tiba-tiba ni. Ni pun dirancang dalam minggu terakhir sebelum nak pergi. Cadang nak ke Krabi. Tapi rasanya kawasan sana mesti padat dengan pelancong. Sana merupakan tempat tumpuan ramai. Kami lebih suka memilih tempat yang jarang dikunjungi. Bukan nak kata Koh Samui ni tak glemer. Tetap dikenali. Lebih-lebih lagi artis Neelofa pun baru pergi bercuti ke sini sebelum ni. Bila diberitahu tentang Koh Samui ni, masih ramai belum tahu. Jika anda seorang traveller, Koh Samui tidak asing lagi. Jadi, apa tunggu lagi. Jom ke sana. Kami sendiri tidak sempat explore keseluruhan pulau disebabkan kekangan masa. Semoga diberikan kesempatan untuk ke sana sekali lagi.

Kembali semula entri Siri I. Klik SINI untuk meneruskan pembacaan. 


Update daripada VLog kami!

AMAZING THAILAND

Road Trip Malaysia ke Koh Samui - Siri I


Road trip bermaksud perjalanan melalui jalan darat. Kami memilih menaiki kereta Naza Citra untuk meluncur di jalan raya Thailand kerana salah seorang daripada kami mengalami masalah kesihatan. Erti kata lain, pregnant 6 bulan setengah. Nak naik flight, terpaksa berjalan jauh dan menunggu lama. Kalau memilih tak berjalan langsung, terasa ralat cuti di bulan Mac. Kesian anak-anak kami. Cara paling efektif yang kami fikirkan untuk kami sekeluarga adalah dengan menaiki kereta.

Segala penyelenggaraan kereta perlu dititikberatkan sebelum bertolak. Pastikan kereta dihantar service, menukar tayar yang telah botak dan tinted kesemua cermin. Thailand lebih panas daripada Malaysia. Sebaiknya, gelapkan cermin dahulu bagi mengurangkan kepanasan. Lebih-lebih lagi kita akan berada dalam tempoh yang lama di dalam kereta semasa perjalanan. Kalau tak tinted, memang boleh rasa masak bagai berada di dalam oven. 

Sumber google : Peta perjalanan kami dari Chukai ke Kedah. Kami sengaja melalui lebuhraya untuk memberi pengetahuan kepada anak-anak tentang peta pantai Barat Malaysia. 

16 Mac 2018 (Jumaat)
Kami memilih dari Chukai ke Kedah melalui jalan lebuhraya timur-barat kerana ingin melihatkan kepada anak-anak tentang kelaianan setiap negeri, Bahananya, kami telah menempuhi 13 jam perjalanan. Haha... Adeh.

CHUKAI - KUALA LUMPUR - SELANGOR - PERAK - PULAU PINANG - KEDAH
  1. Turun seawal pagi bagi mengelakkan sebarang kemungkinan yang tak diingini seperti bersesak dengan kereta atau sampai lewat malam ke destinasi. Kami bertolak seawal 6.30 pagi lagi. 
  2. Pastikan dokumen penting seperti pasport, geran kereta dan yang lain-lain dibawa. Kami terpaksa patah balik ke rumah kerana lupa akan dokumen penting. Rugi masa selama 40 minit. 
  3. Insurans kereta buat siap-siap hari ni sebab taknak kalut esok pagi. Banyak yang menyediakan khidmat insurans ni di sepanjang jalan negeri Kedah. 
TIPS PENTING HARI INI :
  • Sila upload segala dokumen penting seperti salinan no. kad pengenalan, surat beranak anak, geran kereta, muka surat pertama pasport, itinerari perjalanan dan booking hotel. Kami akan syncronize google drive ke handphone bagi memudahkan pencarian.
  • Insurans sepatutnya dibeli dua jenis. Yang pertama untuk masuk ke Thailand. Yang kedua pula untuk cover apabila berlaku kemalangan kepada pihak ketiga. Namun, kami dimaklumkan oleh jurujual insurans untuk membeli insurans kedua perlu dibeli di pejabat utama di negara sebelah. Jika dibeli Malaysia, kebarangkalian ditipu adalah tinggi. Kami juga telah membeli insurans AXA online untuk cover kami sekeluarga jika berlaku sebarang insiden di sana. 
  • Dicadangkan untuk membeli secara online untuk mendapat harga yang lebih murah. 
** Banyakkan membaca sebelum membeli apa-apa insurans. 

Antara dokumen yang dibawa. Broser diberikan kepada anak-anak supaya tidak bosan. Peta, itinerari dan hal berkaitan juga dicetak bagi memudahkan kami merujuk. Anak-anak pun suka lihat peta. Siap boleh tanda lagi tempat yang dah lalu. 

Kami bergantung sepenuhnya dengan GPS. Sila update jalan yang terkini sebelum memulakan perjalanan.

 Banyak syarikat persendirian yang menguruskan insurans ke Thailand. Malam-malam pun masih lagi buka.

Gambar atas : Borang keluar masuk ke Thailand. Gambar bawah : Insurans kenderaan. Gambar kanan : Borang in bound dan out bound perlu diserahkan semasa masuk dan keluar sempadan. 

Nak bahan itinerari dan segala maklumat sebagaimana yang dicetak di atas? Klik dan download,
Itinenari ⇒ http://gg.gg/9qx9a
Broser ⇒ http://gg.gg/9qx9m   Buka link memang nampak berterabur. Tapi, bila download OK je.

17 Mac 2018 (Sabtu)
KEDAH - PERLIS - HATYAI


  1. Kami bertolak pukul 7 pagi menuju ke Padang Besar. Sampai sahaja ke sana, kami singgah bersarapan di medan selera sebelah padang bas. Amatlah rugi. Sepatutnya bungkus dan makan di dalam kereta sahaja. KFC pun ada buka pagi tu. Bukan apa, kami terpaksa beratur selama 30 minit di dalam kereta semata-mata untuk bersarapan. Budak, kalau mengadap makan memang lama. Sila isi minyak kereta penuh-penuh sebelum beratur.
  2. Keadaan semasa beratur dengan kereta di imigresen Malaysia tidak seteruk di Thailand. Pegawai kita komited menunggu di persimpangan bagi menghalang kereta yang memotong. Cuma, ada la beberapa kereta plat Thailand yang... Slumber dia je memotong masuk dalam barisan kereta dan merempuh cermin sisi. Beralah itu lebih baik.
  3. Bagi yang memandu dengan kereta, beratur dengan kereta dan turun ketika tiba di hadapan pondok imi. Keluar daripada kereta, scan pasport dan boleh jalan. Tak sampai 2 minit. Bagi yang datang dengan bas, van atau sekutu dengannya, kena park dulu kenderaan dan turun beratur beramai-ramai. 
  4. Masuk je imigresen Thailand, keadaan dah mula kelam-kabut. Disuruh beratur, tapi tak tahu mana barisan. Suruh bersabar, tapi dia tak sabar nak duit RM1 kami diselitkan di buku pasport. Dah la tidak bersistematik, korup pulak tu. Pegawai mereka hanya 2 orang sahaja ketika itu. Itupun tukang cop pasport. Yang lain? Tenggelam timbul sejam sekali. Kalau bawa anak kecil, orang tua atau ibu mengandung, sabar. Itu je mampu bagitahu. Kami di sana selama 4 jam. Berasak, bersesak, menolak, tak ubah macam pelarian yang rebutkan nasi...
  5. Kalau ada pintu sempadan lain, sila ke sana. Kata orang-orang yang biasa melalui pintu Padang Besar, "Hal sebegini biasa." Biasa di waktu cuti sekolah atau hari-hari macam ni wallahualam. 
  6. Kami buat tukaran duit Thailand di bandar Sadao. Tukaran ketika itu RM1000 bersamaan 7890 bath. Semua tu termasuk dengan upah tukaran. 
  7. Beli simcard di kedai telekomunikasi. Dapat line super 4G unlimited selama 7 hari dan boleh dibuat hotspot seberapa banyak gajet yang ada. Memang tak bosanlah anak-anak dengan aktiviti menonton di youtube dan main game. Bawalah gajet seorang satu. Aman...
  8. Thailand satu jam awal daripada kita. Setibanya di imi Thai, sila tukar waktu di jam bagi mengelakkan kekeliruan masa di sana.
  9. Perjalanan sempadan ke Hatyai mengambil masa 1 jam setengah. Kami terus ke Hotel Prosperous untuk menunaikan solat dan berehat. Kami keluar semula selepas waktu Asar untuk memastikan hari sedikit redup. 
  10. Kami tidak memandu sendiri. Hanya menaiki tuk tuk sahaja ke Khloe Hae Floating Market. Baru 200 bath sehala untuk kami berempat. Kalau naik kereta, nak parking susah. Lagipun pengalaman naik tuk tuk sangat best.
  11. Kami jumpa orang yang sama di imigresen pagi tadi. Pagi tadi sesak di imigresen, sekarang sesak di floating market. Tak tahan betul. Mungkin cuti sekolah kot. Terasa penat dengan keadaan yang super buzy, kami balik semula ke hotel. Rehat untuk hari esok. Datang dengan anak-anak tak boleh nak kejar sangat banyak-banyak destinasi. Kesian mereka, dan juga kami. 
 Suasana pagi dari Kedah menuju ke Padang Besar.

Tak sampai 5 minit setel proses di imigresen Malaysia. Waktu ni belum tahu dekat imi Thai sana azab sedang menunggu.

 Tak ada barisan pun suruh beratur. Main tunggu je belakang sapa-sapa.

Yang ni bahagian dalam pejabat. Azab dan seksa tak payah cakap. Dari jauh dapat dengar dum! duk cop pasport. Tapi tak tahu dari arah mana. Bila dah dekat macam tu dengan pegawai imi pun dekat sejam menunggu. Akhirnya, setelah 4 jam, setel semuanya.

 Waktu Thailand awal sejam daripada Malaysia. Masuk je sempadan Thailand, terus tukar waktu ya.

 Simcard yang dibeli dengan harga 150 bath di Sadao. 

 Naik la tuk tuk untuk lebih penjimatan. Jimat masa, jimat minyak, jimat duit. Bukan mahal pun. Sehala 200 bath ke Khloe Hae Floating Market untuk 4 orang.

Imigresen sesak. Sini pun sesak. Tapi makan sedap. Hehe

 Hujung minggu di floating market ada menyajikan aktiviti kepada pengunjung. Ramainya orang takyah cakap. Semua ni orang Malaysia.

Senja di floating market.

** Sila datang awal. Bersarapanlah awal-awal di rumah.
** Elak datang waktu kemuncak untuk bersesak-sesak.
** Kalau ada rukhsah, terus je ke kaunter. Tak payah tunggu lama-lama. Pengsan nanti 
     susah. 
Apa yang dirancang, jangan terlalu berharap akan terjadi. Ingat, Allah adalah sebaik-baik perancang. Dia akan aturkan yang terbaik untuk kita. Cuma, tak salah kita berusaha dulu. Jika tidak menjadi, redha. Itu ketentuan-Nya. Ada hikmah di sebalik apa yang berlaku kepada kita nanti. Sabar.
18 Mac 2018 (Ahad)
HATYAI - DONSAK, SURAT THANI - RAJA FERRY KOH SAMUI
  1. Niat nak bertolak pukul 7 pagi. Tapi terkandas di hotel kerana ketiadaan air untuk mandi. Lewat sejam kami bergerak.
  2. Kami singgah makan di warung kecil orang kampung. Yang dipesan adalah roti canai. Rasanya tak ubah seperti makan di Kota Bharu tahun 90an. Air minuman sangat kaw. Macam tak percaya dengan keadaan warung sebegini mampu menyediakan air seperti di Starbucks. Dia punya packing pun memang tak boleh kalah. Haha!
  3. Dari Hatyai ke Raja Feri memakan masa selama 5 jam lebih. Bergantung kepada keadaan anda memandu. 
  4. Tandas di stesen minyak sangat bersih. Cleaner memang dah siap-siap menunggu di hadapan pintu untuk membersih apabila kita keluar daripada tandas. Jadi, sila memastikan kebersihan dahulu sebelum keluar.
  5. Tak perlu risau tentang air. Semua disediakan. Cuma, perlu cedok pakai timba. Takde flush ya. Kalau tak selesa, sila setelkan dahulu di hotel. Kalau tak, anda akan menyesal...
  6. Sepanjang jalan ada banyak kedai makanan halal. 
  7. Sampai sahaja di Raja Ferry Donsak, terus membeli tiket dan beratur dengan kenderaan.
  8. Kami diarahkan untuk keluar daripada kereta dan berada dek atas yang menyediakan kerusi. Ada dua bahagian, berhawa dingin atau bawah mentari. 
  9. Perjalanan mengambil masa selama 1 jam 30 minit. Memang santai. 
  10. Kami tiba awal di jeti dan check in pada pukul 5 petang di Hotel Chaweng Noi Resort.
  11. Jarak perjalanan dari jeti ke hotel adalah 27 km. Lebih kurang 30 minit. 
  12. Siang cepat berlabuh seawal 6.30 petang. Jadi, tak ada apa yang kami dapat lakukan memandang badan pun dah letih. Keluar malam hanya untuk mencari makanan di kawasan Chaweng. 
 Makan pagi di warung kawasan kampung. Rindu makanan 90an ni. Makan pagi kami dengan 5 kepong roti canai, teh ais dan milo ais berjumlah 110 bath.

Isian pertama minyak kami di stesen minyak Shell. Kami tak sengaja mengisi minyak Vpower dengan harga 32 bath seliter. Pekerja di sana sangat ramah.

 Kalau isi minyak, akan dihadiahkan sekotak tisu dan air mineral.

Beli tiket menaiki kapal di jeti Donsak. Jumlah harga tiket 680 bath. Untuk dewasa 130 bath, kanak-kanak 65 bath. Kenderaan+pemandu pula 420 bath. 

 Pastikan anda berada di lorong yang betul ke pulau yang dituju.

Nak jugak gambar berdua! Ops, cover perut yang hampir 7 bulan tu. Hihi ❤️

Suasana di atas dek. Kawasan terbuka ni tak ada yang nak duduk. Panas terik. Cukup sekadar amik gambar jela. Bahagian dalam merupakan tempat duduk berhawa dingin.

 10 minit sebelum keluar, anda dikehendaki berada di kenderaan masing-masing.

Get ready to explore the island!
  • Tempahlah hotel berdekatan bandar untuk memudahkan sebarang urusan.
  • Sila patuhi terma dan peraturan hotel. Jangan memandai-mandai seperti anda berada di Malaysia. 
  • Hotel kawasan kami ada banyak kedai halal.
  • Tiada tol sepanjang jalan. Jalan pun 2 line tanpa ada lubang. 
Ini baru hari ketiga perjalanan kami. Ada 4 hari lagi misi Road Trip perlu diselesaikan. Terima kasih kerana sudi membaca. Ingin tahu lebih lanjut pengalaman kami sepanjang 6 hari di Thailand, sila ikuti kisah kami seterusnya dalam siri ke II iaitu siri yang terakhir.

Entri bagi Siri II (Akhir) telah update pada 6 April 2018 Klik SINI untuk membaca 

Nak tengok video travel full kami ke Koh Samui? Klik https://www.youtube.com/watch?v=cLZ49VSmxsY

AMAZING THAILAND