MENJAWAB PERTANYAAN ANDA BERKAITAN TRIP KE ACEH

Pantang ada cuti sekolah, kami akan keluar mencari pengalaman dengan mengadakan percutian. Sebagaimana tajuk di atas, baru-baru ini kami telah ke Aceh, Indonesia. Untuk lebih terperinci, kami catatkan segala butiran penting sebagai panduan pembaca. Semoga bermanfaat!

Ramai yang bertanyakan mengenai Aceh. Pelbagai soalan yang dikemukan kepada kami. Ini menunjukkan ramai yang berminat. Cuma tidak tahu cara ke sana. Sejujurnya, kami pun tiada pengalaman. Hanya perbanyakkan membuat research sebelum pergi. Persediaan pengetahuan amat diperlukan bagi membantu perjalanan menjadi lancar tanpa sebarang masalah. 
  1. Kenapa Aceh?
  2. Apa best kat sana?
  3. Pegi backpacker ke pakej?
  4. Boleh percaya ke orang sana?
  5. Berapa kos kesemuanya? 😅
Inilah bentuk soalan yang ditanya berulang kali. Jawapan yang kami beri juga sama kepada setiap yang bertanya. Kami akan cuba memberi penjelasan di sini dengan sebaik mungkin. Perjalanan ini tentang pengalaman yang kami alami sendiri. Lain orang, lain cerita. Dan ini, adalah kembara kami cuti sekolah.

Kenapa Aceh?

Kami telah menyenaraikan beberapa destinasi sebelum membuat tempahan. Antara senarai pilihan dibuat adalah Aceh. Keinginan yang tinggi untuk ke sana dikuatkan lagi dengan kemampuan kami menempah tiket tambang murah pergi dan balik menggunakan AirAsia. Pernah orang kata, jika mampu bayar, terus book. Tidak perlu lagi dibanding-bandingkan harganya. Kalau melepas, kita tidak mungkin dapat harga semurah itu lagi. Apabila destinasi telah ditetapkan, baharulah kami membuat research tentang  Aceh.


Apa best kat sana?

Kami pun bingung pada awalnya. Kami langsung tidak dapat bayangkan apa yang menarik di sana. Yang terbayang hanyalah bencana tsunami yang teruk telah melanda bumi Aceh pada Disember 2004. Kami mula membaca blog dan menonton youtube. Daripada situ, kami mulai merasakan Aceh adalah tempat yang menarik.
  • Kami mempelajari budaya orang sana. Tak kenal, maka tak cinta. Kehidupan seharian mereka tidak ubah dengan kita. Cara pemakaian pun sama. Mereka amat bersopan dan beradab. Nama penduduk Aceh tidak sama dengan kebanyakan rakyat Indonesia yang lain. Nama mereka lebih kurang nama di Malaysia. 
  • Kesan bencana tsunami dijadikan sebagai tempat tarikan pelancongan. Ramai pengunjung dalam dan luar negara datang melihat kesan tinggalannya. Setiap tempat yang kami kunjungi akan ditemukan dengan mangsa tsunami. Mereka akan menceritakan saat cemas yang berlaku pada waktu itu. Kami terdiam mendengar kisah tragis yang disampaikan oleh mereka. 
  • Terdapat banyak tempat yang menarik untuk dikunjungi. Kami snorkeling di Pulau Sabang, melihat sunset di Pantai Lampuuk, mandi-manda di Air Terjun Suhom, membeli cenderahati di Banda Aceh dan melawat masjid-masjid yang masih utuh berdiri selepas 12 tahun dilanda tsunami. 
  • Makan pula macam mana? Mereka akan menghidangkan pelbagai lauk di atas meja. Bayar untuk yang telah dimakan sahaja. Lauk yang tidak diusik tidak perlu dibayar. Air basuh tangan akan siap-siap ada di atas meja untuk setiap pelanggan. Pada awalnya, kami ingatkan itu adalah sup kosong. Nasi merupakan makanan lengkap buat mereka bagi setiap waktu. Jika anda menempah sate, maka hidangan dengan nasi putih. Bukan nasi impit. Tidak lupa, air paling utama adalah Kopi O.
Nasi lemak + Lontong + Kopi O

Pegi Backpacker atau pakej?

Serba salah nak menjawab. Ramai yang berfahaman bahawa Backpackers pergi sendiri tanpa agen, dan pergi pakej bermaksud ada tour guide. Bukan Backpackers, dan bukan pakej. Hendak pendekkan penjelasan, kami akan jawab, pergi ala Backpackers. Walaupun malu nak menggunakan perkataan Backpackers, tapi itu sahaja jawapan yang memudahkan orang lain faham. 
  • Buat tempahan penginapan sendiri melalui laman Booking.com, Agoda atau Trivago. Menginaplah di tempat yang tidak jauh dari destinasi yang ingin dituju bagi menjimatkan masa perjalanan. Selepas menempah, jangan lupa membawa segala dokumen ke sana.
  • Ya, kali ini kami menggunakan khidmat supir. Perjalanan kami kali ini melibatkan umi yang berusia 62 tahun. Untuk sampai ke setiap destinasi boleh dikatakan jauh dan mungkin memakan masa. Kami membayar upah RM780 sebagai pemandu, sewa kereta, minyak dan tiket parking selama empat hari.
Boleh percaya ke orang sana?

Ya, ampun! Baik banget orang-orang di sana. Mereka boleh dipercayai. Berkenalan dan berjumpa dengan orang sana mengubah persepsi kami terhadap mereka. Orangnya sangat ramah dan baik hati. Situasi yang jarang dilihat di negara kita ialah pembonceng perempuan di sana boleh meletakkan tas tangan di bahagian belakang seat motosikal dengan perasaan selamat. Bayangkan kalau di Malaysia...

Bergambar bersama anak-anak Aceh. Baju pink sebaya dengan Nufail.

Supir kami seramai tiga orang di berlainan tempat. Mereka inilah yang bertanggungjawab memastikan perjalanan kami lancar. 
  • Di Banda Aceh, Fauzan Ihsan (+6281269555408) 
  • Di Pulau Sabang, Bang Alak (001361245001)
  • Snorkeling Pulau Rumbir, Haikal Sandy (085271705979) 
Kami berkenalan dengan Fauzan di Facebook Messenger dan seterusnya menjadi supir kami di Banda Aceh. Perkhidmatannya bermula dengan menjemput kami di airport dan seterusnya di pelabuhan menuju ke Pulau Sabang. Pulau Sabang diambil alih oleh supir Bang Alak. Bang Alak adalah rakan kerja Fauzan. Jika mampu menguruskan sendiri perjalanan di Banda Aceh tanpa menggunakan khidmat supir, anda boleh menggunakan perkhidmatan awam seperti teksi. Jika ingin ke pulau, anda perlu ke Pelabuhan Balohan, Ulee Lhueu. Untuk lebih mudah, hubungi terus Fauzan. Tak perlu pening-pening. Dia akan menguruskan segalanya. Pada asalnya, kami tidak ingin mengupah supir untuk aktiviti snorkeling. Tapi, memandangkan keselamatan dalam laut tidak dapat dijangka, kami membuat keputusan mengupah seorang supir. Dan kami sangat bertuah. Haikal seorang yang sangat bagus! Highly suggest.

Berapa kos kesemuanya?

Kosnya bergantung kepada individu yang mengurus. Jika anda membeli waktu peak hour, memang harga tiket flight mahal. Kami beli semasa tambang murah. Hotel kami sewa tidaklah taraf 5 bintang. Makan pun tidak semewah orang lain. Kami biasa-biasa sahaja. Kami sediakan anggaran kos perjalanan bagi enam orang iaitu empat dewasa dan dua kanak-kanak.

Flight return + luggage 40kg + Insuran = RM1868.48
3 tempat penginapan (2 bilik) = RM680
Supir Banda Aceh dan Pulau = RM780 
Tiket bot = 480k rupiah sehala untuk 6 orang.
Guide snorkeling = 150k rupiah
Peralatan snorkeling =150k rupiah untuk 6 orang.
Bot kaca = 350k rupiah
Makan = RM6-8 sekepala
Membeli-belah = ** Pandai-pandailah 😀 

:: Sila membuat anggaran sendiri untuk trip anda. Maaf kerana campur-aduk rupiah dan ringgit malaysia. RM1000 = 3 Juta Rupiah (lebih kurang) ::

Perkara yang perlu diingatkan :
  1. Bawa adapter. Plag Malaysia tidak sama di Indonesia. Kami terpaksa beli adapter di pasaraya sana. 
  2. Tidak perlu membeli simkad atau melanggan internet kerana wifi banyak. Selalunya di kedai makan mesti ada.
  3. Sila sediakan wang rupiah semasa melawat masjid dan tempat kesan tsunami untuk menderma.
  4. Kawasan larangan merokok sebenarnya hanyalah sekadar papan tanda sahaja. Mereka merokok di mana-mana sahaja termasuklah di tempat ber air-cond
  5. Cakap sahaja Bahasa Melayu. Mereka faham dan berusaha untuk bercakap mengikuti dialek kita. 
  6. Jika ada masalah, hanya ceritakan kepada mereka. Mereka akan membantu sedaya-upaya sehingga masalah kita selesai.
 Pelabuhan Balohan yang terletak di Ulee Lhueu. Datang seawal 8 pagi untuk menaiki jadual yang pertama. Perjalanan pergi ke Pulau Sabang memakan masa selama 50 minit. 

 Jem durian dipek dalam satu bekas. Dimakan bersama dengan pulut bakar panas-panas. Sangat sedap. Kedai ini berada di hadapan Masjid Ulee Lhueu. 

 Masjid Rahmatullah terletak di Kampung Lampuuk ini (Disebut seperti Lampu-uk) adalah masjid yang kekal teguh semasa berlakunya bencana tsunami. Kedudukan binaan telah terkesot daripada arah kiblat akibat penolakan kuat oleh gelombang air. 

Kedai makan ini berada di kaki kulu. Kulu bermaksud bukit.

Setiap hidangan utama pada waktu pagi, tengahari dan malam adalah nasi. Jika sarapan anda adalah roti, maka itu masih belum dikira sebagai sudah bersarapan.

Perkuburan Masal Siron merupakan kubur tanpa batu nisan. Seramai lebih kurang 50 000 jasad dikuburkan dalam satu kawasan.


Pulau Sabang. Orang sana panggil Pulau Weh. Mana-mana pun sama. Kami bermalam di Casanemo. Rugi menyewa semalaman sahaja. Bilik kami berada di puncak bukit. Buka langsir akan terus nampak pemandangan laut yang menyegarkan.

Kami menyewa full set alatan snorkeling. Kalau rabun, boleh sewa gogel yang ada power. Baru clear nak tengok ikan kan. 

 Tidak lupa umi dan adik. Trip kali ini, mereka teruja untuk turut bersama. 

Kami menyewa bot kaca. Apa bezanya dengan bot laju? Bot kaca ada lubang di tengah-tengah bot. Bila dah sampai di kawasan karang, guide akan menurunkan bekas berupa kaca untuk melihat ke dasar laut. Kalau naik bot laju, takde penerangan tentang laut. Terus sampai ke pulau untuk aktiviti snorkeling.  

 Kami tiba di Pulau Rumbia untuk snorkeling.

Pemandangan di dalam laut di kelilingi dengan ikan-ikan. Sila bawa bersama action cam untuk mendapatkan kenangan seperti ini. Guide tidak akan sediakan kelengkapan kamera kepada pelanggan. Guide akan sentiasa bersama kita sebagai penjagaan keselamatan.  

Inilah orang yang pandai mengambil gambar di dalam air. Haikal berasal daripada Sumatera. Menetap di pulau ini dan bekerja sebagai tour guide. Sangat ohsem!


Bang Alak bertanggungjawab terhadap kami sepanjang berada di Pulau Sabang. Pengalaman dirinya semasa peristiwa GAM dan menjadi pekerja asing di Malaysia. Kisah perkongsian yang sangat menarik.


 Masjid yang pertama menerima rempuhan gelombang tsunami. Keadaan yang sama dengan masjid lain, masjid ini juga masih kekal teguh binaannya.

Bang Hadi merupakan salah seorang mangsa tsunami yang terperangkap di Masjid Baiturrahim. Mendengar pengalamannya semasa bencana berlaku, menimbulkan keinsafan buat kami. Sebelum ini, beliau seorang yang mengejar urusan duniawi semata-mata. Semenjak peristiwa tsunami yang menimpa dirinya, beliau telah bertaubat dan nekad untuk menjadi penjaga masjid ini. Sultan Brunei telah menyuarakan hasrat untuk membina semula dan ingin memperbaharui masjid ini. Namun ditolak baik oleh Bang Hadi kerana sumbangan orang ramai yang telah meninggal kepada masjid ini amat bermakna. Bang Hadi tidak sanggup memutuskan pahala orang yang sudah meninggal walaupun dengan menggantikan sekeping jubin. 

Kapal apung PLTD yang berada di pelabuhan telah dibawa arus tsunami. Kini, kapal 2.600 ton ini berada di tengah Banda Aceh dan tidak berganjak lagi semenjak 12 tahun yang lalu. Kapal ini dijadikan muzium tsunami. Bergambar bersama Fauzan. Supir yang bertanggungjawab sepanjang kami berada di Aceh. Flexible dengan perubahan jadual aktiviti. 

Muzium di dalam Kapal PLTD. Masuk adalah percuma. Segala maklumat berkaitan tsunami ada di sini. Anda tidak akan bosan dengan bahan yang disediakan. 

Pelajar sekolah keluar makan semasa rehat pagi. Kantin sekolah tidak dapat memuatkan kesemua pelajar dalam satu masa. Kerana itulah pelajar-pelajar ini keluar makan di kedai luar. Murah dan berpatutan. 

Kapal atas rumah berada di Lampulo. Rumah ini milik orang kaya. Semasa kejadian, seisi rumah melarikan diri dengan menaiki kereta dan mati. Orang kampung yang lari daripada arah bertentangan memasuki rumah ini dan bersembunyi. Tiba-tiba, terdengar bunyi hentakan kuat dan kapal seberat 20 ton ini tersadai di atas rumah. Seramai 59 penduduk menyelamatkan diri memanjat ke atas kapal dan akhirnya mereka selamat daripada bencana tsunami ini. Gambar atas selepas 12 tahun. Gambar bawah selepas berlakunya tsunami. 

Salah seorang penduduk yang bertahan di atas kapal sehingga air surut. Semasa turun daripada kapal terdapat banyak longgokan mayat di serata tempat sehinggakan tiada ruang untuk dipijak.

Kubah seberat 80 ton ini merupakan sebahagian daripada masjid yang berada di Kampung Lamteungoh, Aceh Besar. Terdapat tujuh penduduk yang selamat berada di atas kubah ini dan dibawa arus tsunami sehingga ke Kampung Gurah. 


Menjelang senja di Pantai Lampuuk, Lhoknga. Di sini ada deretan kedai makan. Anda boleh menikmati makan malam sambil melihat pemandangan matahari terbenam yang mempesonakan. 

Mau tengok full perjalanan kami macam mana? Tontonlah VLog kami di bawah ni. Konpem terasa nak terus book tiket ke sana. Selamat menonton!



WONDERFUL INDONESIA

1 comment:

  1. Asslamualaikum Tuan/Puan.

    Sesiapa yang nak melawat ke Padang dan Bukittinggi jangan risau hati sila hubungi :

    KITA HOLIDAYS TRAVEL & TOUR INDONESIA
    Tour operator & Travel Agency

    Kami menyediakan PAKET TOUR DAN PENGKHIDMATAN KENDERAAN SAHAJA UNTUK LAWATAN PADANG DAN BUKITTINGGI dengan harga yang sangat berpatutan dengan driver yang mesra, educated, baik hati, sopan, suka menolong dan sudah lama berpengalaman dalam memberikan pengkhidmatan pada pelancong dari Malaysia.

    Kami berusaha menjadikan lawatan Tuan/Puan sangat berbaloi dan bermakna dengan famili dan rakan-rakan di masa percutiannya bersama kami.

    Our motto : We serve you with heart

    Wassalam
    Contact person :

    1. Amsyahril
    ( Director )
    Mobile : +62 852 6300 7445 ( WhatsApp )

    2. Riko Adryansyah
    ( Tour & Transportation Manager )
    Mobile : +62 813 6565 4104 ( WhatsApp )

    ReplyDelete