Berek 12 di penggal pertengahan tahun 2016

Pasar Berek 12 akan ditutup bermula 15 September 2016. Makluman ini jelas terpapar pada banting yang tergantung di pagar jaring hijau. Sayu bila melihat pasar ini kerana terlalu banyak kenangan sewaktu aku sedang membesar. 
Memori indah zaman kanak-kanak di pasar ini lingkungan awal tahun 90an. Arwah abah (datuk) menjual supik (plastik) dan biskut timbang. Di sini jugalah tempat aku menunggu bak (ayahku) datang menjemput daku daripada sekolah waktu aku darjah satu. Kebiasaan bak akan sampai pada pukul 3 petang. Sambil itu juga, bak akan membeli barang basah sebelum kami pulang.
Melihat satu persatu kedai seolah-olah boleh membayangi penjual menjual barangan masing-masing. Aku pernah terbongkok-bongkok mencari duit syiling akibat kecuaian pembeli menjatuhkan duit baki. Nakalnya aku pada waktu itu, kerana menganggapnya tuah apabila menjumpai syiling seriya.
Tempat yang aku berdiri sambil memandang ke arah Naura adalah dahulunya menjual kuih lompat tikam dengan harga tiga amah. 
Buat terakhir kali kami menjejakkan kaki ke sini dan akan meninggalkan pasar lama ini yang tidak tahu bila akan kami singgah lagi. Kehadiran kami selepas ini mungkin ianya akan bertukar wajah baru. Biarpun hilang di mata, namun tidak di hati.
Terima kasih kepada sejarah lama.


Diambil daripada FB Nhazla Fikri yang bertarikh 12 September 2016 (Terdapat perubahan ayat kepada penggunaan perkataan Kelantan)
Menggunakan telefon pintar IPhone 5s dan gambar disunting menggunakan aplikasi Snapseed.

Kami turut menggunakan Canon DSLR 70D. Alang-alang raya haji, memang dah sedia ada dibawa. Jadi, kami ambil kesempatan dengan menggunakan lensa 50mm. Edit pula macam biasa dengan Photoscape sahaja. Kejap tone ok, kejap lari tone. Takpelah. Untuk kenang-kenangan kami sekeluarga. 

Memandangkan kami mengunjungi pasar ini pada hari raya Aidiladha yang pertama, maka takdelah orang yang membuat urusan jual beli. Yang ada kami empat beranak dan seorang lelaki tua yang sedang menyusun kotak. Kehadiran kami disambut baik oleh kucing-kucing yang memang dah menginap di pasar ni.

Banting yang berada di salah satu berdekatan dengan pintu masuk.

Pintu ini sahaja yang terbuka. 

Anak-anak terpaku melihat tempat yang sudah usang. Mana tak nya, pasar yang sangat lama. Dulu ibu besar kamu je main-main dalam ni. 

Pernah menunggu bersama bak membeli ayam. Papan landas masih ada di hujung sana.

Kami menyusuri lorong ruangan bahan basah. Kalau hari biasa, memang lencas (berair) kawasan ini. 

Sebaya Nufail je ibu dulu semasa berdiri kat atas ni. Atas ni maksudnya kat atas tempat penjual jual barangan.

Semasa baya Naura macam ni ibu cuma main-main je kat bawah. Tinggi sangat nak naik. Paras pinggang dewasa jugak nak naik ke atas. 

Yang ni ada rasa sentimental sikit. Inilah gerai abah. Teringat abah berehat dalam ni sambil berbaring.

Lakonan semula jual beli kuih Lompat Tikam yang tersohor.

Sebelah kiri kami adalah gerai yang menjual beras. Ibu yang nakal dahulu menyepahkan beras yang ada dalam bekas. Hoho Sambil berlari sempat lagi mengepal beras. Mana tak bersepah beras tu. Huhu.. Minta ampun tuan kedai. Saya dah insaf...

Kucing adalah haiwan wajib ada di pasar. Tempat buangan kucing pasar ni. 

Nufail berdiri di anak tangga kedai abah dulu. Wallself sebelah tu adalah tempat letak tong biskut. Dulu beli secara timbang. 

Mana-mana pun ada kucing.

Baru nampak abah kan. Hehe

Tona warna dah lari daripada yang atas. Malas nak edit dan terus upload. Boleh la... 

Walaupun pasar ini akan dirobohkan, dan pastinya akan berubah baru daripada segi strukturnya. Namun, kehilangannya akan tetap tersemat di hati. Kalau aku punyai kuasa, aku cuma akan lestarikan pasar ini. Sayang kerana mempunyai nilai sejarahnya. Baikpulih sahaja tempat yang sepatutnya iaitu perpaipan, pengairan longkang dan kebersihan. Tapi sayang seribu kali sayang, aku cuma orang biasa. Yang hanya menjadi sebahagian pasar ini pada waktu masa dahulu. Jumpa lagi insyaallah dua tahun kemudian di pasar ini!

Palmstay Seri Bandi

Selamat Hari Merdeka! Setiap tahun pada 31 haribulan Ogos kami akan buat plan untuk mengisi masa sepanjang hari cuti umum ini. Kami ibu bapa yang bekerja. Peluang cuti sebegini kami tidak akan lepaskan untuk bersama-anak.

Kali ini, kami memilih untuk berkelah bersama Kelab GTOC (Ganu Toyota Owner Club) di Palmstay Seri Bandi, Kemaman, Terengganu. Kami empat keluarga menaiki kereta masing-masing akan bersama sepanjang hari di hutan sawit. Hutan sawit? Hutan sawit bermaksud di ladang sawit. Tiada pokok meninggi sebagaimana hutan simpan negara. Hutannya tidak tebal dan hanya pokok sawit sahaja yang kami nampak sepanjang perjalanan.

Kami berkumpul di satu lorong kecil ke ladang di bawah jalan lebuhraya LPT II. Kedatangan seorang lelaki penunjuk jalan akan mengetuai kami ke sana sejauh 6 km. Dekat sahaja jika dicongak di dalam kepala. Tapi, bila memandu sendiri dengan keadaan jalan off road (tiada jalan bertar dan hanya jalan bertanah) terasa amat jauh. Kami hanya menaiki Toyota SEG tahun 92. Dengan keadaan kereta yang agak rendah hampir rapat ke tanah, terasa seolah-olah kami menyapu batu-batu kecil. Kami terpaksa perlahankan pemanduan dan agak berhati-hati serta mata kami terkunci di jalan bagi memerhatikan batu yang meninggi. Pernah kereta kami tersangkut dek batu. 4 lelaki sado berjaya mengangkat kereta dalam temph 2 jam. Azab bila diingatkan kembali....

Halangan yang membuatkan kami berfikir dua kali samada untuk teruskan perjalanan atau berpusing balik ialah apabila kami menghampiri jalan berselut. Termenung kami dua pemandu samada lepas atau tidak. Kereta kami bukan 4x4... Datang seorang lelaki dengan membawa cangkul meratakan jalan. Dengan perasaan masih was-was, kami redah dengan perasaan redha. Pengalaman kereta tersangkut pada waktu dulu silih berganti dengan pandangan di hadapan. Fuh! Lepas! Hahahaha Ketawa lega dan perasaan gundah datang singgah pabila fikirkan pasti ada yang terobek di bahagian bawah kereta....

Tak jauh daripada tempat berselut, kami sampai ke Palmstay. Terkedu melihat tempat. Jauh ke dalam ladang terdapat satu tempat terpencil terdapatnya satu kawasan rehat untuk keluarga. Kami tak tau nak cerita macam mana. Biarkan gambar yang berbicara. Kami tidak membawa kamera dan gambar sendiri daripada telefon pun tak banyak.

Kredit foto : Wan Zamzahizal dan Ghani Kelipkelip Mohd Nor

Macam ni la perjalanan kami sepanjang 6 km. Jangan sangka SEG kami tak mampu menandingi 4x4.


Termenung di depan jalan berselut sambil tanah diratakan oleh penunjuk arah.  

Kawasan parking di Palmstay. 

 Keadaan sekeliling Palmstay. 

 Pondok kami berteduh sepanjang hari.

 Kolam budak bersebelahan dengan pondok. Senang hendak pantau anak-anak. Turunkan kaki di dalam kolam sahaja jika nak rasa air sungai.

 Aktiviti membakar ayam yang tidak boleh dilepaskan bila berkelah.

 Tangkap ikan haruan dan terus menyiang di sungai. Kemudian bakar. Rasanya? Langsung tidak rasa hanyir dan berlendir. Sedap sangat.

Santai bersama.

Ruang makan yang luas. Macam port luck di tempat kerja. 

 Jumpa sungai kecil di dalam ladang. Sebenarnya sungai ini bersambung daripada jeram. Tidak sempat mendaki sebab kekangan masa.

 Seronok mandi sungai. Seolah kembali ke zaman kecil. Air tampak keruh disebabkan hujan berturut-turut beberapa hari yang lepas. Jika hari-hari biasa sebelum ini, air sangat jernih. 

 Terdapat kem untuk pelajar yang ingin menyertai perkhemahan. Jurulatih yang berpengalaman akan turut sama berada di kem. Itu merupakan dorm pelajar. Pondok kecil yang berada jauh itu pula tandas. 

 Pandangan dari sudut isteri.

 Pandangan dari sudut si suami pula :)

Di hadapan merupakan tapak khemah. 

Tapak khemah yang selesa. Jika inginkan kelainan, boleh bermalam di sini. 

Kami bawa bendera bersama di hari Kemerdekaan. Ini maksud kemerdekaan bagi kami, hidup sejahtera bersama orang tersayang. Di kelilingi dengan kebahagiaan serta keamanan tanpa kekusutan dengan masalah. 

Untuk makluman, Palmstay Seri Bandi ini telah dibuka sejak 6 tahun lalu. Kami sahaja yang tidak tahu selama ini. Tempat yang sangat bagus untuk perkhemahan pelajar untuk memupuk jiwa kental di hati pelajar. Teringat semula meredah hutan berkumpulan, berjalan malam, didenda oleh kem komander, masak sendiri dan pelbagai cabaran aktiviti yang disediakan di hutan untuk kami semasa bersekolah dahulu. Perkhemahan ini sesuai untuk budak sekolah, dan guru tidak perlu risau kerana jurulatih disediakan. Pelajar hanya perlu datang dengan membawa pakaian sahaja. Kelengkapan lain seperti alatan memasak, bahan makanan, khemah, semuanya telah diurus. 

Bagi yang ingin datang bekeluarga, tidak perlu risau akan bercampur dengan kumpulan keluarga lain. Ini kerana pengusaha Palmstay hanya mengehadkan satu kumpulan dalam satu hari sahaja. Sepanjang kami di Palmstay, tiada kumpulan lain yang hadir. Perkelahan kami adalah peribadi. 

Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi tuan tanah.

Facebook:
Call 01110974012
Whatapps : 0199174012

Selamat Hari Merdeka!