Cerita sambungan ni panjang sikit sebab menempuhi satu hari perjalanan dua negara serta inilah kali pertama kami melangkah keluar dari negara Malaysia. Kami berasa sangat teruja untuk berkongsi pengalaman walaupun kami bukanlah seorang pengarang yang baik. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada pembaca semua.
2 Disember 2015 (RABU)
Kami sedar sebelum Subuh lagi sebab susah nak lena dalam tren
yang bergoyang-goyang. Tiada ruang khas untuk bersolat dan perlu dilaksanakan
di atas katil sahaja. Anak-anak pun bangun awal siap explore lagi dalam tren.
Sukanya mereka sebab semalam mereka tak sempat nikmati setiap inci dalam coach
ni. Ada tangga naik ke upper bed, jadi mereka asyik turun naik tangga. Siap
main rumah-rumah lagi. Sambil tu, kami isi perut dengan roti sebab untuk tiba
di Padang Besar Perlis agak lewat iaitu pukul 10.15 pagi. Setiba kami di Stesen
Padang Besar, tren akan berhenti untuk menukar kepala keretapi dan menurunkan
penumpang untuk cop passport dan isi borang memasuki negara Thailand. Borang tu
bewarna putih berdakwat biru dan perlu diisi dua keping. Sebelah-sebelah je
borang tu. Nanti pihak kastam akan koyak apabila kita nak memasuki tren sekali
lagi. Satu bahagian lagi perlu disimpan semasa nak masuk Malaysia balik. Jangan
cari nahas hilangkannya. Semasa urusan cop passport, kami perlu beratur panjang.
Kalau orang tua atau yang tidak berkemampuan, ada disediakan kerusi. Semasa
urusan dilakukan, segala beg perlu dibawa bersama. Tapi kami tak bawa turun
pun, tinggalkan aje dalam tren. Urusan tersebut selesai pukul 10.50 pagi. Kami
dimaklumkan tren akan mula bergerak pukul 11.30 pagi nanti. Sempat la kami
makan pagi di kafetaria yang berada di tingkat atas.
Beratur untuk cop passport. Anak-anak berehat di kerusi sambil makan roti yang belum habis dimakan atas tren tadi.
Borang yang perlu diisi untuk memasuki negara Thailand. Kami perlu mengisi empat borang kesemuanya.
Kami buat pertukaran duit dengan makcik comel yang sedia
menunggu di tangga. Murah je makcik ni ambil upah. RM1000 bersamaan 8200 baht.
Selesai sahaja pertukaran wang sebanyak RM1000, kami sambung balik niat kami ke
bahagian atas untuk mengisi perut seisi sekeluarga. Pukul 11.30 pagi, tren siap
sedia bergerak. Tren tersebut tukar kepala dengan negara Thai. Jadi, driver
Thai la yang amik alih dua tarik coach dari Malaysia ke Hatyai.
Keadaan di imigresen. Makcik comel yang memakai baju pink sebelah Nufail. Ramah orangnya.
Bila dah
naik tren, kami hairan sebab kenapa penumpang macam dah bertambah? Seolah-olah
berebut katil pulak. Nasib baik kami tidak keluarkan beg dan masih kekal di
katil asal. Rupa-rupanya, penumpang lain naik di stesen Padang Besar tadi nak
ke Hatyai. Nombor tempat duduk ada, tapi bila naik tak ada pun disediakan
tempat. Pada pandangan kami, mungkin Malaysia cuma ada dua coach, dan Padang
Besar ke Hatyai jaraknya hanya 56.8 km, maka pihak KTM padatkan semua penumpang
dalam dua coach ni sahaja. Kami ada empat katil, tapi guna dua sahaja untuk
duduk. Kami berikan katil yang lebih tu kepada penumpang lain. Tak kisah, sebab
tak mengambil masa yang lama pun. Tak sampai sejam perjalanan. Akhirnya, pukul
12.20 tengahari dah sampai ke platform di stesen Hatyai. Turun daripada tren,
kami turut sahaja kaki melangkah sebagaimana penumpang lain. Sebenarnya kami
masih lagi bingung. Penumpang Malaysia yang lain semua dah hilang daripada
pandangan. Kami mula mendengar makluman daripada pembesar suara yang berbahasa Thailand.
Sepatah pun kami tak faham. Anak-anak pun sudah mula bertanya bahasa apa yang
mereka sedang dengar. Sambil jawab soalan mereka, kami tarik je tangan mereka
ke dalam stesen. Kami tukarkan waktu kepada 11.20 pagi kerana waktu Thailand
lambat satu jam daripada Malaysia.
Inilah rupanya pandangan kami apabila kali pertama menjejakkan kaki di platform Hatyai.
Kami ke kaunter untuk membeli tiket
tren ke Bangkok. Ada dua kaunter, iaitu Ticket For Travel Today (belian tiket
semasa) dan Advance Booking Office (tiket tempahan online). Kami tak buat
tempahan pun. Jadi kami ke kaunter Ticket For Travel Today. Bagi yang dah buat
tempahan online, sila ke kaunter yang satu lagi. Urusan membeli tiket ni agak
sukar bagi kami kerana penjaga kaunter langsung tidak dapat berbahasa Inggeris.
Kami pun tak la lancar bercakap dalam Bahasa Inggeris ni, tapi boleh la kalau
yang simple. Macam itik dan ayam bila berkomunikasi. Kata putus dapat dicapai
dengan menunjuk-nunjuk pada komputer, kami membeli tiket sehala ke Bangkok dengan
harga 605 baht (dewasa) 283 baht (kanak-kanak) untuk tren katil tanpa air-cond.
Jumlah tiket pergi balik kami empat beranak ialah 1776 baht. Kami sengaja beli
tiket yang kipas untuk merasai angin malam nanti. Tren berkenaan akan sampai
pukul 3.30 petang.
Gambar kiri : Tickets For Travel Today. Gambar kanan : Advance Booking Office.
Disebabkan ada lagi 3 jam sebelum tren sampai, kami pergi mandi dulu di bilik mandi awam dengan harga 10 baht. Kalau nak buang air, hanya 3 baht sahaja. Sementara suami dan anak lelaki sulung pergi mandi, aku sempat berbual dengan seorang perempuan dari Yala. Macam mana kami bersembang? Haha… Sama macam kat kaunter tadi. Aku cuba fokus pada percakapannya, tapi tak berjaya memahami isi ceritanya. Siap tunjuk-tunjuk handset lagi sambil bercerita. Selesai mandi, aku cuba bersalam dengannya, tapi dia buat tangan seolah sedang menyembah. Aku lupa yang itu tanda tangan mereka bila menyapa atau selamat tinggal. Tapi aku tetap hulurkan tangan bersalaman. Kami perasan, mereka sangat ramah dengan kanak-kanak. Menegur dan cuba menghiburkan anak-anak kami.
Bergambar di dalam Hatyai Junction selepas selesai mandi di tandas awam.
Selesai mandi, kami nak keluar daripada stesen untuk mencari
makanan tengahari. Beg 9 kg kami tinggalkan di tempat penyimpanan beg dengan bayaran
50 baht. Ketika kami melangkah keluar daripada stesen Keretapi Hatyai, berebut-rebut
driver tuk-tuk menawarkan kenderaan mereka. Kami menolak dengan isyarat tangan
dan senyuman. Maka, fahamlah mereka bahawa kami orang Malaysia. Mereka memujuk dari
Bahasa Thai kepada bahasa Inggeris dengan kami. Pelik bila kami fikirkan,
driver tuk-tuk lebih pandai berbahasa Inggeris berbanding yang bekerja di
stesen Keretapi.
Daripada
stesen, kami jalan terus sebanyak dua blok dan pusing ke kanan. Maka jumpalah
kedai Muslim O-Cha. Mereka dapat berbahasa Melayu loghat Kelantan. Kami makan
nasi putih + daging kari dua pinggan dan air milo ais dengan harga 220 baht.
Ais kosong disediakan secara percuma. Sepinggan nasi berkongsi dengan anak.
Kami takde selera sebab rasanya dah lain daripada masakan Malaysia dan sangat
pedas. Di waktu yang sama kami juga masih lagi dapat rasakan seperti berada di
dalam tren. Kepala kami masih terhuyung-hayang. Suami pun dah nampak
bunga-bunga sakit badan dan nak demam. Selesai makan, kami terpaksa berjalan
round bandar untuk biasakan diri dengan suasana. Kalau duduk je maknanya kami
melayan mabuk tren. Nasib anak-anak tak meragam. Baik je menurut kami. Cuma
mulut mereka tak habis-habis bertanyakan soalan.
Dua pinggan menu yang sama. Makan bersuap je dengan anak-anak.
Kami
singgah di market berhawa dingin. Lega sebab cuacanya sangat panas. Kami beli
makanan dan minuman untuk bekal kami atas tren nanti. Takde la kena pikir macam
mana nak makan malam nanti. Air mineral murah je, hanya 6.5 baht untuk 700 ml.
Biskut Oreo bekas kegemaran anak-anak dengan harga semurah 3.5 baht. Sesudah
membeli, kami kembali ke Stesen Hatyai pukul 2.50 petang. Sememangnya, kita
kena berada di stesen 30 minit sebelum ketibaan tren. Kami ke kaunter
pertanyaan untuk kepastian waktu tren, namun beritanya sangat hampa kerana tren
delay 2 jam. Kebetulan suami tidak sihat, kami tak bawa Panadol. Jadi, suami
terpaksa mencari farmasi memandangkan mart tak ada jual sebarang ubatan.
Farmasi berada dekat sahaja mengadap stesen keretapi seberang jalan.
Semasa
menunggu, Naura, anak perempuan kami dah tertidur. Kesian pulak anak-anak
terpaksa menunggu. Mereka tak sabar-sabar nak naik tren. Kami tanya lagi sekali
di kaunter, makin kecewa bila diberitahu tren akan delay lagi 30 minit.
Maknanya pukul 6 petang baru sampai yang sepatutnya pukul 3.30 petang tadi kami
naik. Dari pagi hingga gelap kami menunggu. Naura pun dah mula sedar. Mereka
dah bosan sehingga mula meragam. Kami faham sangat sebab tersangat penat bila
kita berada dalam keadaan tertunggu-tunggu ni. Dah la kami banyak kali beralih
tempat di stesen berkenaan. Anjing tak payah cakap la, memang banyak
merayau-rayau. Air liur sedap je meleleh-leleh atas lantai. Siap buat muka
manja lagi. Kalau di Malaysia dah lama dibaling barang. Ada juga anjing berbaju
pink. Yang ni rasanya dibela kot.
Ni kawasan dalam stesen. Teduh sikit nak baring. Jangan duduk atas lantai. Banyak anjing berkeliaran.
Disebabkan
lama lagi tren nak sampai, sempat lagi kami makan malam di hadapan stesen
keretapi. Ada deretan kedai makan dan kebanyakannya kedai muslim. Kami makan di
kedai Dapor Muslim dihidangkan dengan nasi goreng ayam (goreng kicap tak
bertumis) berharga 40 baht. Tanpa berlengah, kami balik semula ke stesen
keretapi. Tapi malangnya, kami dimaklumkan delay lagi 10 minit. Stress tak
payah cakap la. Anak-anak menungut cakap penat. Langit dah mula gelap. Waktu malam
sangat cepat di Hatyai. Pukul 5.30 petang pun dah macam pukul 7 di Malaysia. Ada
seorang warganegara Malaysia, namanya Merry. Dia sepatutnya naik tren ekspres.
Kalau dah namanya ekpres patutnya cepat la kan. Tapi delay jugak 2 jam. Tunggu
punya tunggu, tiba-tiba dengar announcement. Tak paham pun. Cuma pelik tengok
semua yang berada di stesen mula berdiri tegak dan lagu mula kedengaran di
corong pembesar jam 6 petang. Kami pun turut sama berdiri terpinga-pinga. Anak-anak
pun terdiam. Rupa-rupanya kami diberitahu bahawa lagu tadi merupakan lagu
kebangsaan mereka. Ia hanya dimainkan dua kali sehari. Rakyat Thai akan berdiri
tegak apabila lagu dimainkan tidak kira di mana berada walaupun di dalam
panggung wayang.
Muka dah berkerak dah sebab seharian menunggu. Hari dah hampir malam.
Tak sampai 10 minit, dah meragam balik. Muka abah menunjukkan, what ever...
Akhirnya,
kami menerima makluman tentang tren kami akan sampai tidak lami dan mengarahkan
kami ke platform. Rasa semangat kembali semula dan tanpa berlengah kami terus
ke platform bersama dengan penumpang lain. Di platform tiada kerusi untuk
duduk, jadi kami berdiri selama 30 minit sebelum ketibaan tren. Tren sampai
pukul 6.40 petang. Delay lagi rupanya 20 minit. Semangat kami makin merundum
apabila kami melangkah naik ke tren dan mendapati keadaan tren yang sangat
berbeza… Daif la bagi kami sebenarnya. Kipas satu sahaja di siling antara dua
seat. Dinding tren cover dengan kayu, tingkap terbentang luas takde kekisi.
Kebersihan sangat la kurang memuaskan. Bunyi luar sangat bising. Lebih-lebih
lagi ketika melalui jambatan. Berbeza dengan tren KTM.
Kami pelik sebab katil
takde pun. Yang ada kerusi duduk yang mengadap. Kami tak tanya pun bila nak sediakan
katil. Kami tunggu sehingga pukul 7 malam setelah didatangi oleh attenden coach
yang memakai mask membuka katil untuk penumpang. Dia ada alat berupa kunci dan
membuka katil. Rupanya dua kerusi yang mengadap tula yang ditarik menjadi
katil. Katil atas kami takde penumpang. Rupanya, anak-anak kecil tidak
dibenarkan tidur bersendirian dan perlu ditemani ibu bapa. Kesimpulannya,
anak-anak akan tidur bersama kami. Kecil je ruang untuk dua beranak… Terpaksa
redha kerana ini adalah pilihan kami tadi. Suami tidur bersama Nufail, dan aku
tidur bersama Naura. Tanpa berlengah, pukul 8.30 malam kami dah mula melabuhkan
badan. Badan sangat penat, mental memang diuji sepenuhnya hari ini. Anak-anak
pun baik je takde sebarang bantahan bila suruh tidur. Penat juga la tu. Pukul 9
malam, suami kejutkan aku minta Panadol. Suhu badan meningkat. Terpaksa menelan
Panadol sekali lagi. Kesian pulak tidak sihat time macam ni. Tak macam semalam,
tidur kami sangat lena untuk kali kedua berada dalam tren. Tren ni bergoyang lebih power berbanding KTM. Adakah kami tersalah membuat pilihan ketika membeli tiket? Berhuhu....
Nampak sama je dengan tren KTM. Yang berbeza ada kipas di tengah laluan dan tempat penyimpanan beg.
Bersambung untuk Siri III dengan pengalaman berada di dalam Rapid Train yang memakan masa 19 jam perjalanan sejauh 940 km dan melalui 9 stesen besar di Thailand.
Di akhir pengembaraan ini, kami akan menyediakan videoklip Kembara Ke Bangkok.
Tips untuk hari ini:
Tips untuk hari ini:
- Sediakan buku kecil dan pen untuk anak-anak menulis untuk hilangkan bosan.
- Pastikan sentiasa ada makanan untuk anak-anak dan air kerana Thailand sangat panas.
- Bawa ubatan supaya tidak menyusahkan diri apabila berada di negara lain.
- Bagi yang bertudung, pakai material yang tak mudah renyuk dan tidak menggunakan banyak pin.
Klik di sini untuk menempah tiket keretapi secara online dari Hatyai ke Bangkok http://www.thailandtrainticket.com/trainticket/index.asp
AMAZING THAILAND BEGINS WITH THE PEOPLE
AMAZING THAILAND BEGINS WITH THE PEOPLE
No comments:
Post a Comment