Kami telah berada di Beijing selama 3 hari sebelum ini dan memulakan perjalanan menaiki kereta api menuju ke Hohhot iaitu salah satu bandar di wilayah Inner Mongolia. Ingat! Inner Mongolia masih berada di dalam negara China. Outer Mongolia barulah dikenali sebagai negara Mongolia sebagaimana di dalam peta dunia. Usah berlaku lagi kekeliruan. Jika sebelum ini kami telah menceritakan bagaimana dan di mana kami memulakan perjalanan menuju ke Hohhot. Kali ini, kami akan sambung semula pengalaman kami di siri kedua Travelog Hohhot, Inner Mongolia. Dan inilah catatan kami sekeluarga setelah perjalanan sejauh 495 km ditempuhi. Terima kasih kerana sudi membaca!
8 Disember 2017
Perjalanan malam kami mengambil masa 10 jam dan kami hanya tidur sahaja tanpa menikmati pemandangan di luar tingkap. Mana nak nampak kalau gelap sahaja di luar tu. Sebab itulah kami membeli tiket koc berkatil dengan harga 138 yuan pada waktu malam. Dua keuntungan kami dapat dalam satu masa. Penginapan dan pengangkutan. Amacam? Jimat, kan.
Jam loceng telefon bimbit berbunyi tepat pukul 5 pagi menandakan masa untuk bersiap bangun dan akan tiba ke destinasi tidak lama lagi. Dengan keadaan masih mamai, kami bersiap apa yang patut. Anak-anak masih dibiarkan tidur supaya cukup rehat. Kalau rehat cukup, maka baiklah peel mereka siang nanti.
Kesian nak kejutkan. Biar Naura rehat sepuas-puasnya sebelum meneruskan aktiviti yang padat pada hari ini.
Petugas tiba 30 minit sebelum sampai ke destinasi untuk menukar tiket. Kami diberikan tiket yang sama sebagaimana tiket ditukarkan semalam. Setelah kereta api berhenti, kami diarahkan untuk turun bersama dengan beg. Serta-merta kosong kereta api daripada semua penumpang.
Tiket sebelum dan selepas ditukar oleh petugas. Jaga baik-baik tiket ini semasa berada di dalam kereta api.
Suhu awal pagi pada ketika ini sangat dingin. Kami berjalan cepat menuju ke dalam pusat stesen untuk mencari sedikit kehangatan. Malang bagi kami kerana ruang di dalam stesen hanya mempunyai pintu terbuka. Tak ada langsung pintu tertutup. Ketika kami di dalam stesen, wap daripada mulut pun boleh keluar. Sejuk sangat ni. Berapakah suhu sekarang ni ek? Disebabkan tiada kehangatan di sini, tanpa membuang masa, kami keluar daripada stesen menuju ke hentian bas.
Suasana pagi kelihatan sangat sibuk. Banyak kenderaan bersesak-sesak di atas jalan raya. Orang ramai berjalan cepat menuju ke destinasi masing-masing. Ramai pemandu teksi yang menawarkan perkhidmatannya. Kami hanya menidakkan dengan tangan.
Kami cuba untuk menghubungi host kami. Lisa (host) memaklumkan kepada kami untuk terus berjalan ke hentian bas seterusnya bagi memudahkan dia mengambil kami. Kami tiba di hentian bas yang tidak pasti sama ada betul atau tidak tempat yang perlu kami tunggu. Nak baca dan fahami tulisan pun tak boleh. Akhirnya kami tunggu sahaja di hentian tersebut sehinggalah ketibaan Lisa bersama suami. 30 minit juga kami menunggu dalam kesejukan.
Inilah satu-satu papan tanda yang kami faham. Itupun sebab ada ditulis dalam Bahasa Inggeris. Takde kena-mengena pun dengan arah yang dicari.
Lega rasanya apabila masuk ke dalam kereta yang mempunyai alat pemanas. Kaki kami dah rasa macam beku. Pad pemanas ditampal bahagian depan dan belakang badan. Dalam poket pun kami tak lupa untuk letak juga. Sejuk yang tak mampu nak bagitahu.
"How much degrees is it right now, Lisa?"
"I quess that would be -16॰C. And it normal here."
Terkedu kami mendengar. Dah mana saljinya? Terkebil-kebil kami melihat langit. Sebab tak ada awan ke salji taknak turun? Rasa kecewa timbul dalam hati kerana tujuan utama ke sini sebab nak main salji. Hancur musnah harapan nak main baling-baling salji ke muka si... Haha.
Rasa kecewa ini diganti dengan pemandangan cantik awal pagi di bumi Hohhot. Kelihatan cahaya matahari memancar indah di balik bangunan berkubah. Masjid ke tu? Kami dibawa makan pagi di salah sebuah kedai makan halal. Minta air kosong, diberinya air Pepsi. Memang masalah betul bab komunikasi di sini.
Selesai makan, kami dijanjikan untuk dibawa ke sekolah rendah swasta iaitu tempat di mana Lisa mengajar. Lisa merupakan guru bagi mata pelajaran bahasa Cina. Tapi tahu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Yang hebatnya, dia hanya belajar sendiri. Tujuannya untuk memudahkan dia berkomunikasi dengan orang asing. Bagi memperkasakan lagi bahasa Inggeris, Lisa mendaftar sebagai host di web couchsurfing. Di situlah kami mengenali Lisa. Kami merupakan tetamu kedua Lisa selepas pengembara dari Rusia sebelum ini.
Setibanya kami di sekolah, kami diperkenalkan kepada guru besar yang juga merupakan kakak kepada Lisa. Patutlah mudah diberi kebenaran memasuki sekolah. Anak-anak kami ditempatkan di salah sebuah kelas dan mempelajari komunikasi bahasa Cina. Pengalaman yang sangat bererti jika anda seorang guru. Dapat mempelajari teknik lain dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Anak-anak turut berpeluang belajar di dalam kelas. "Menggeletar kaki saya ibu." Kata Naura menceritakan pengalamannya. Haha...
Sesi memperkenalkan diri. Main cakap, main tulis, main bantai je. Bolehlah labu... Haip, jangan bersebang murid di sana!
Murid sangat ceria dan berdisiplin.
Bergambar kenangan dengan guru sekolah Children H-B-H Potencial Club. Dari kiri, guru kelas, penulis, guru besar dan Lisa.
Kami singgah sekejap sahaja. Nufail dan Naura masing-masing dihadiahi sebuah beg dan botol air. Malunya kami sebab langsung tidak membawa apa-apa cenderahati. Bab hadiah, fikir semula selepas pulang ke Malaysia nanti. Kemudian, Lisa membawa kami ke hotel yang telah kami tempah awal-awal di Booking.com. Malang bagi kami kerana hotel tu tak wujud pun. Yang ada cuma bangunan kosong yang sedang dibina semula. Kami buka semula website dan masih aktif beroperasi. Dah kena tipu. Duit tetap akan dipotong daripada simpanan bank hari ini. Pembatalan bilik hanya dibenarkan dua hari sebelum menginap. Agak tertekan juga ketika itu. Lisa cuba membantu dengan mendapatkan hotel lain buat kami.
Akhirnya kami menginap di Hotel Now Yu Lou yang berada di kejiranan orang Islam. Alhamdulillah. Allah swt telah ganti yang lebih baik daripada sebelum ini. Berbanding sebelum ni, hotel hantu itu agak susah juga nak mencari makanan halal. Ada hikmahnya, kan.
Kami berjanji dengan Lisa akan berjumpa di Muzium Hohhot pada pukul 1 tengahari. Kami naik untuk membersihkan diri dan bersiap semula untuk turun. Kali ni, pakaian kami lebih tebal berbanding pagi tadi. Tak tahan...
Kami berjanji dengan Lisa akan berjumpa di Muzium Hohhot pada pukul 1 tengahari. Kami naik untuk membersihkan diri dan bersiap semula untuk turun. Kali ni, pakaian kami lebih tebal berbanding pagi tadi. Tak tahan...
Kali ni Lisa tidak datang menjemput kami. Kami perlu mendapatkan teksi untuk ke sana. Masalahnya, pemandu tak faham destinasi yang kami bagitahu. Terpaksa mesej kepada Lisa dan meminta untuk hantar dalam tulisan cina perkataan muzium. Barulah pemandu teksi membenarkan kami masuk ke dalam teksi dan membawa kami ke destinasi yang tepat. Walaupun tiba agak lewat, tapi sempat juga masuk ke dalam muzium sebelum ditutup pukul 4 petang.
Proses mendapatkan teksi. Pemandu lebih rela mengambil penumpang orang tempatan daripada memilih kami kerana sukar berkomunikasi. Lama weh menunggu.
Pemegang pasport luar negara diberi masuk secara percuma. Muzium di sini agak besar dan luas. Kamera tidak dibenarkan dibawa masuk. Tetapi, kalau nak ambil gambar menggunakan telefon bimbit tak menjadi masalah. Lisa tiba selepas beberapa minit bersama suami dan anaknya bernama Tom yang sebaya dengan Nufail.
Sempat kami bersembang mengenai sejarah Inner Mongolia. Outer Mongolia berpisah daripada negara China bagi membentuk negara sendiri. Jika dilihat, budaya dan masyarakat di Inner Mongolia masih mengekalkan adab dan budaya sana. Oleh kerana itulah, tulisan di papan tanda terdapat dua bahasa. Boleh dibaca dalam tulisan Cina dan Mongol.
Di perkarangan Muzium Hohhot. Sangat besar dan luas. Jauh juga berjalan untuk sampai di kaunter tiket.
Tiba-tiba abah sakit kepala dan menyatakan hasrat untuk pulang. Lisa membawa ke farmasi terlebih dahulu untuk memeriksa tekanan darah. Bawah ada sedikit tinggi. Maka pulanglah kami sekeluarga ke hotel. Namun, sebelum siang berlabuh, kami sempat keluar berjalan-jalan di kawasan sekitar. Dapat melihat suasana orang tempatan pulang kerja, ibu bapa menjemput anak-anak dari sekolah dan gerai jualan rancak berurus niaga di sepanjang jalan. Seronok dapat melihat keadaan orang sini menjalani rutin harian.
Sepanjang berjalan, kami sempat singgah di kedai runcit, buah, biskut dan farmasi. Apabila melangkah sahaja ke dalam kedai, mereka seolah-olah panik menerima kunjungan kami. Asyik tergaru-garu, tersengeh-sengeh dan malu-malu. Kami beranggapan, mereka amat jarang menerima orang luar sebelum ni. Di kedai makan pun sama. Mereka yang berada di dapur pun akan turut sama keluar berjumpa kami sekeluarga. Berminat betul mereka dengan kami. Kami jelah terkebil-kebil memandang bingung kerana tak faham apa yang dikatakan mereka. Cara komunikasi kami adalah kertas. Bukan tulis, tapi lukis. Inilah pertama kali kami berkomunikasi dengan cara ini. Hehe...
Orang tempatan sangat ramah dan membantu sedaya-upaya agar masalah kami selesai. Habis satu pekerja kedai keluar untuk berjumpa dengan kami. Ada yang dah lari semasa gambar ini diambil. Mereka malu!
Pada waktu malam, kami hanya berhabis dengan berehat sahaja di dalam hotel. Suhu pada waktu malam lagi rendah berbanding pagi tadi. Tak sanggup juga nak berjalan-jalan. Duduk golek-golek dalam hotel lebih baik. Kumpul tenaga banyak-banyak untuk meredah hari esok.
Terima kasih kerana sudi membaca siri kedua kami ini. Banyak sebenarnya pengalaman hari kedua di Hohhot. Pelbagai perkara kami tempuhi dalam masa satu hari. Semuanya bermula dari pukul 5 pagi lagi. Part paling best ialah misi redah. Banyak perkara tak dijangka telah berlaku. Bukan ke itu yang diinginkan jika anda seorang pengembara?
Nanti ada sambungan untuk siri ketiga. Tunggu!
CHINA LIKE NEVER BEFORE
CHINA LIKE NEVER BEFORE
No comments:
Post a Comment